"Indera Kayangan Saksi Bisu Perkenalan Dua Jiwa"
SUBUH yang bening. Kali pertama suamiku mengimamkan solat kami. Kali pertama aku dengar suaranya mengaji. Kali pertama aku dengar sayunya doa yang keluar dari bibirnya. Kenapa hati ini mula gundah?
"Bapak sayang Haq." Ungkapan bapak juga berlainan benar. Kenapa ya? Apa ini cuma perasaanku semata?
"Haq sayang bapak." Seusai mengungkapkan kata, Haq menangis. Tersedu-sedan dia sambil memeluk bapak.
"Percayalah nak, bapak tiada niat buruk terhadapmu cuma bapak mahu kamu tahu. Biar di mana kamu menghilang, asalmu pasti tempat kau kembali. Bapak tidak berhak ke atasmu, nak..." Bapak mengurut belakang tubuh Haq. Aku nampak wajah bapak sugul sekali.
"Haq pun sama. Bapak dah jaga Haq dengan baik. Bapak ajar Haq mengaji, kenal Tuhan, kenal agama, kenal segalanya. Haq faham bapak. Haq faham..." Diakhir kata, Haq menangis. Teresak-esak di bahu bapak. Aku juga turut sama mengurut belakang Haq. Haq memusingkan tubuhnya menghadap aku.
"Mawar habib..." Haq bersuara sebaris. Wajah aku dipegang dengan kedua-dua tangannya. Jarinya merayap di bawah mataku.
"Jaga diri, sayang. Jaga solat. Jaga bapak..." Haq berjeda. Bergetar nada suaranya. Aku menatap anak matanya dalam.
"Kenapa habib kata macam tu?"
"Tak ada apa. Habib cuma nak cakap, habib sayang Mawar. Sayang sangat." Dahi aku dikucupnya. Terasa air matanya menitik di dahi.
"Habib? Habib nak tinggal Mawar ke?" Akhirnya apa yang membelenggu otak fikiranku kini terluah.
"Maafkan habib sayang..."
Hanya itu yang terluah kemudian cuma esak tangis kami yang kedengaran. Lama kami berdakapan begitu. Tidak dihiraukan bapak yang sedang mendengar.
"Haq, sudahlah. Ingat pesan bapak kelmarin? Sebelum fajar putih." Bapak bersuara.
Aku mengerutkan dahi lalu kulepaskan tubuh Haq. Aku memandang bapak lama. "Pesan apa bapak?"
Haq bangkit lalu beredar meninggalkan tempat solat. Aku yang masih kehairanan terus membuntuti langkah Haq.
"Habib mahu ke mana?" Aku bertanya bila aku melihat dia menyarungkan baju hitam, baju yang mula-mula dipakainya ketika aku menemuinya di hutan.
"Mawar jangan risau, Mawar jaga diri. Jangan tak makan, ya sayang?" Sekali lagi kepala aku dikucup.
"Mawar tak faham. Habib nak pergi mana?" Aku menahan lengan Haq. Dia memberhentikan perbuatannya.
"Habib pergi kejap je. Nanti habib balik, jumpa Mawar tapi sebelum tu Mawar kena janji dengan habib. Mawar setia tunggu habib ya?"
Lambat-lambat aku mengangguk. Dalam keterpaksaan aku melepaskan lengan Haq. Haq mengucup bibirku kemudian dilepaskan semula.
"Assalamualaikum habibi."
"Waalaikumussalam habib."
Disertakan salam dan ciuman di dahi, Haq beredar meninggalkan rumah. Dia berjalan menuju ke hutan. Tidak langsung berpaling. Kemudian, kelibatnya hilang dari pandangan.
Aku bergegas mendekati bapak yang masih bertafakur di tikar sejadah.
"Bapak, maaf Mawar ganggu..." Aku menegur perlahan.
Aku lihat tangan bapak berhenti daripada bertasbih.
"Ya Mawar, ada apa?"
Aku duduk di sebelah bapak. "Haq nak pergi mana? Kenapa dia tak nak jawab?"
YOU ARE READING
HAQ MAWAR ✔
RomanceHaq & Mawar. Dua jiwa yang dipertemukan di dunia berbeza. Kisah cinta misteri mereka merungkai persoalan demi persoalan. HIGHEST RANK #1 IN ROMANCE 💫 ISLAMIC ROMANTIC 💫