BAB 7

4.7K 175 3
                                    


"Indera Kayangan Saksi Bisu Perkenalan Dua Jiwa" 

"ABANG! Bangun abang!" Paan menggoncang tubuh Haq.

Haq segera membuka mata dan bangun mengejut. Terkejut Paan dibuatnya.

"Abang mimpi ka? Aku dengar abang meracau."

Haq memandang Paan yang terkebil-kebil kemudian Haq meraup mukanya.

"Tulah pasai orang tua tak bagi tidur lepas asar. Abang pi mandi nuh. Berlengas aku tengok."

Haq tidak berganjak. Dia cuma meraup mukanya dengan telapak tangan. Peluh di leher disapu dengan tangan.

"Ada orang nama Mawar kat rumah kau?" Matanya tercari-cari kalau ada kelibat seorang gadis.

Paan mengerutkan dahi kemudian menggeleng.

"Kakak ada tapi kakak aku namanya Farhah. Adik aku yang tingkatan satu tu nama Fatin." Paan menerangkan.

Haq menghembus nafas berat. Tadi dia bermimpi. Seakan nama Mawar terngiang-ngiang dalam mimpinya. Tiada kelibat sesiapa dalam mimpinya cuma sebaris nama Mawar.

"Abang orang mana?" Paan memberanikan diri bertanya.

"Kuala Lumpur." Ringkas jawapan Haq.

Haq teringat tragedi sebelum dia pengsan di hutan. Malam berdarah menyaksikan Fiffy dan Dato' Nik Bern ditembak. Apa nasib Fiffy dan Mikail agaknya? Dato' Nik Bern, semoga Allah ampunkan dosa kau.

"Wah, jauhnya! Abang ni mesti orang kaya kan?"

Haq mengerutkan dahi memandang Paan. Paan tersengih-sengih. Sengihnya hilang dan kembali menggaru kepala kerana Haq tidak langsung tersenyum.

"Sini ke KL ada public transport?"

Paan angkat bahu tanda tak tahu. "Aku tak pernah pergi KL. Tak tahu sangat."

"Malam ni aku gerak balik KL. Kirim salam mak ayah kau. Cakap terima kasih."

Paan membulatkan mata. "Malam ni? Kalau ya pun teruja, tak boleh tunggu esok ka? Baliklah esok. Nanti ayah marah kalau aku bagi abang balik sakit-sakit macam ni."

Haq menghembus nafas berat. "Kau tak payah risau. Aku bukan sesiapa."

Haq bangkit dari duduk dan menuju ke ruang dapur rumah kayu milik Pak Mail dan Mak Suri.

"Abang, tolonglah tunggu mak ayah balik dulu. Tak elok abang balik tak makan tak minum ni..." Paan menegah. Dia berdiri di sebelah Haq yang sedang membasuh muka di singki. Haq menoleh.

"Aku okey. Aku dah biasa tak makan. Kau jaga mak ayah elok-elok," pesan Haq sekadar berbasa-basi.

"Hmm, abang minum dulu na. Sat, aku ambik roti." Terkocoh-kocoh Paan membuka kabinet dapur. Dikeluarkan roti dan serikaya. Air kopi dituang ke dalam cawan kosong.

"Minum dulu. Kempunan nanti." Cawan dihulur. Roti dibuka.

Haq menjeling Paan sekilas kemudian memaksa diri untuk duduk juga di sebelah Paan.

"Thank you."

"Abang duduk mana kat KL tu?" Paan bertanya sambil memerhati Haq yang sedang menggigit roti.

"Pen dengan kertas. Aku tulis address."

Paan mengangguk lalu berlari laju ke bilik adiknya. Pen dan kertas dihulur pada Haq. Selesai menulis alamat, kertas itu dihulur pada Paan.

"Turun KL, roger. Aku boleh ambik." Haq mempelawa. Tiada kemesraan langsung pada suaranya tetapi jauh di sudut hati, dia ikhlas.

"Set! Number phone abang?"

Haq menggeleng. "Phone aku hilang."

Paan mengeluh hampa. Baru nak mintak nombor. Nanti lost contact payah nak cari balik. KL tu bukan kecik. Hmm.

"Nama penuh abang?"

"Nak buat apa?"

"Kut nanti nak cari abang, senanglah ada nama penuh."

Haq jongket bahu. "Dhiyaulhaq Masri."

"Nama abang macam tak sesuai dengan abang. Muka ganas nama alim." Sekali lagi Paan ketawa terbahak-bahak.

Haq tidak beriak. Tak langsung ketawa.

"Kau hantar aku pergi pekan. Aku ambik cab pergi bus station."

Paan kerut dahi. "Abang naik bas? Err, ada duit tak?" Paan menggaru kepala. Takut salah cakap.

"Pinjam lima ratus. Nanti aku bank in balik." Selamba Haq menuturkan kata.

Paan membeliakkan mata. "Lima ratus? Aku mana ada banyak tu. Lima puluh ja dalam poket ni." Paan mengeluarkan not 50 dari poket seluarnya.

"Pinjam ayah kau. Nanti aku bayar."

Sekali lagi Paan terbeliak. Senang-senang je eh. Ingat lima ratus tu sikit? Amboi! Ni confirm orang kaya. Lima ratus bakhang!

"Bukan tak percaya kat abang tapi aku memang tak ada duit. Aku kerja dengan ayah ja. Gaji ayah simpan. Ayah bagi time aku nak pakai ja. Sorry..."

Haq meletakkan roti yang tak habis dimakan ke pinggan. Dia bangkit lalu membasuh tangan.

"Kau hantar aku sampai bus station. Tambang bas kau bayar." Bukan pertanyaan tetapi arahan.

Paan menggaru kepala lagi. "Err..."

"No excuse."

Haq kemudian menghilang ke belakang rumah meninggalkan Paan yang masih termangu. Ni manusia tak reti kenang budi ka? Tapi tolong orang susah tu tak salah kan? Tak apalah, aku tolong sekali ni.

*****

AKU berjalan masuk ke hutan tebal itu, ke tempat pertemuan pertama kali. Sungguh, aku rindu! Aku renung buluh yang dulu aku tebang untuk membawa Haq pulang ke rumah. Aku terduduk di situ. Tanpa sedar air mataku mengalir sendiri.

Habib, mana habib? Dah dekat azan zohor, habib belum juga pulang. Habib dah lupakan Mawar? Mana janji habib pagi tadi?

Aku menangis semahunya. Teresak-esak sendiri sambil menguis tanah dengan ranting kayu. Masih terbayang wajah kesakitan Haq ketika aku menemuinya dulu. Masih terbayang matanya yang kuyu memandangku. Argh! Aku rindu. Walaupun cuma tujuh hari dia di sini, impaknya amat besar.

Lebih kurang sejam, aku mula bangkit dari duduk. Aku menepuk debu yang melekat di kain lalu berkira memulakan langkah untuk berjalan pulang. Baru langkah pertama, tiba-tiba terasa tubuhku ditarik ke belakang. Mata aku ditutupi kain. Mulutku ditekup sesuatu. Aku meronta.

Allah! Bantu aku! Aku meraung namun raunganku tidak kedengaran di mana-mana. Cuma Allah yang mendengarnya.

Aku mohon, bantu aku!

HAQ MAWAR ✔Where stories live. Discover now