PELUH membasahi wajah dan turun menitik di atas pipi. Langkahnya seakan-akan tersekat di dalam ruang lingkup rumahnya sendiri. Bahaya seakan-akanmemburunya di mana-mana. Seluruh isi rumah itu seakan-akan tidak selamat baginya.
Sudah puas dia berlari mencari jalan keluar. Tetapi penyudahnya, dia masih lagi berlegar di dalam kawasanyang sama. Isya merenung tepat ke arah anak tangga yang menyambungkan ruangan itu dengan tingkat atas.
Pantas dia memanjat anak tangga itu. Jalan keluar perlu dicari sebelum dia bertukar menjadi gila. Terperangkap d idalam rumah sendiri dan diburu dengan ketakutan yang tidak ada penghujungnya sangat menyempitkan dada.
Dia menyerbu masuk ke dalam bilik utama. Pintu dihempaskan sekuat-kuat hatinya. Matanya melilau ke segenap ceruk bilik itu dengan nafas yang turun naik .Dengan tidak semena-mena, suara seseorang sedang merintih kesakitan menjamah pendengarannya. Semakin lama semakin jelas.
"Isya... lari nak..." rintih suara itu, sayu.
Perlahan-lahan Isya berundur merapati dinding bilik itu. Kepalanya seakan-akan kaku untuk menoleh ke mana-mana.
"Dia semakin dekat. Pasungannya akan dibuka.Selamatkan diri, Isya," rayu suara itu lagi.
"Siapa kau? Apa yang kau nak?" soal Isya dengan nafas yang tercungap-cungap menahan debar. Matanya masih liar mencari kelibat yang sedang mengejarnya.
Tiba-tiba jendela terbuka luas. Angin malam menyerbu masuk menampar tubuh Isya. Isya terkedu memandang dada langit. Serentak dengan itu, sekujur tubuh terbang melayang dan masuk ke dalam bilik itu.
Pantas Isya menekup mulut dengan kedua-dua belah telapak tangan. Jeritan yang terhambur seakan-akan tertelan masuk ke dalam tekak. Kelibat yang berlumuran dengan darah itu memandangnya sayu. Ibu... gumam Isya.
"Selamatkan diri, Isya. Jangan jadi macam ibu," rintih kelibat di depannya.
Isya melongo menghadap makhluk itu. Semakin lama ruangan itu semakin menyesakkan! Satu kelibat muncul di belakang makhluk itu. Anak mata putih mencerlung tajam memandang ke arahnya.
"Kau akan menemaniku dalam matiku!" jerkah kelibat itu dengan rambut yang menggerbang dan berserabai.
Telunjuknya menuding tepat ke muka Isya. Bau hamis darah mula menusuk ke dalam hidung. Serentak dengan itu, makhluk yang berlumuran dengan darah itu menangis mendayu-dayu. Darah semakin membuak-buak keluar dari celah lehernya yang terkoyak luas!
Dengan tidak semena-mena, tubuh Isya diseret jatuh di atas lantai. Dia menjerit lantang. Deraian hempasan kaca tiba-tiba menjamah telinga. Spontan Isya berkalih memandang ke arah cermin di sudut dinding. Cahayayang memancar menyilaukan mata. Sepasang tangan mula menjulur keluar daripada cermin itu! Pantas kakinya ditarik menghampiri objek itu. Isya mencakar lantai sekuat-kuat hatinya. Jeritan tidak berhenti terhambur daripada mulut wanita itu.
"Mana kau nak lari? Akan kutuntut sumpahku! Darah harus dibayar dengan darah!" jerkah satu suara di hujung telinganya.
Isya semakin hilang arah! Jeritan kuat bergema memekakkan telinga. Tangannya terawang-awang menepis angin.
Tiba-tiba, rambutnya direntap dari belakang. Spontan Isya terdongak. Kilauan belati yang tajam kelihatan bersinar di hujung mata. Sepasang tangan yang rentung kehitaman menyentuh lehernya dengan lembut. Kemudian, satu tusukan mula dirasakan. Pedih!
Isya menggelupur di atas lantai. Darah bersimbah membasahi tubuhnya. Hilaian ketawa mula membingit bertingkah dengan tangisan sayu. Isya semakin kehabisan nafas!
***
HAZRI berlari memanjat anak tangga. Kerja yang sedang disiapkan dibiarkan sahaja di atas meja. Tumpuannya terganggu sebaik sahaja mendengar jeritan lantang Isya daripada tingkat atas rumah itu. Dia beristighfar panjang sebaik sahaja melihat Isya menggelupur di atas katil dengan tangan yang mencekik leher sendiri.
YOU ARE READING
Projek Seram Cermin - Rasukan Ayunindya
رعب"Ku bawa kau dalam matiku!" Teruja untuk mengetahui apa yang terselindung di sebalik sehelai kain batik, Suraiya telah membebaskan sesuatu yang telah dipasung berpuluh tahun dahulu. Gangguan mula menghimpit. Nyawa Isya menjadi taruhan. Ayunindya ban...