BAB 1

115 3 0
                                    


"DETIK Tengah Malam. Kisah-kisah yang anda dengar di segmen Detik Tengah Malam tidak ada sebarang bukti yang dapat membenarkan kesahihan ceritanya, tetapi tiada apa yang mustahil di atas muka bumi ini kerana ia di sekeliling kita."

Suara hilai tawa wanita menyeramkan dan lolongan anjing yang sayu lagi memilukan kedengaran. Harraz membiarkan suara itu berkumandang di radio sekitar lima saat sebelum memperlahankan volume dan kembali berceloteh.

"Bagi anda yang pertama kali mendengar segmen Detik Tengah Malam di Ohsem FM, setiap cerita yang saya bacakan adalah kiriman daripada pendengar dan bagi anda yang ingin menceritakan sendiri kisah seram yang pernah anda lalui, boleh menghubungi saya melalui panggilan telefon. Cuma ingin saya ingatkan kepada para pendengar, setiap kisah seram yang anda bakal dengari anggaplah ia hanya sekadar hiburan semata-mata."

Suara raungan wanita yang menggerunkan diputarkan oleh Harraz. Suara itu diselang-seli dengan bunyi seakan-akan ketukan bertalu-talu di pintu. Harraz mencapai tin minuman di sebelahnya. Penutup tin dikuak. 

Dia meneguk sekali dua. Sejalur rasa manis dan bergas melalui kerongkong. Matanya perlu dipastikan segar sehingga pukul 3.00 pagi. Segmen Detik Tengah Malam akan bermula sekitar jam 12.00 tengah malam sehingga pukul 3.00 pagi. Dan segmen itu antara salah satu slot radio yang kian diminati ramai.

Harraz kembali berceloteh. Dua buah kisah seram kiriman pembaca yang menjadi pilihannya mula dibacakan sambil diiringi muzik latar yang menyeramkan. Intonasi suaranya melontarkan dialog juga disesuaikan supaya situasi seram dan saspens itu dapat dirasai oleh setiap pendengar. Disebabkan kebolehannya itu, kurang dari setahun namanya telah mula dikenali ramai. Selesai dua buah kisah dibacakannya, Harraz menerima panggilan telefon. Panggilan segera dijawabnya.

"Helo. Siapa di sana?"

"Nama saya Rashid dari Ipoh, Perak."

"Okey Rashid, apakah pengalaman seram yang ingin anda kongsikan bersama saya dan para pendengar segmen Detik Tengah Malam pada malam ini?" soal Harraz.

"Kisah ini berlaku pada diri saya sekitar dua tahun yang lepas. Semasa itu saya menginap di sebuah hotel di utara tanah air atas urusan kerja. Pada mulanya tiada apa-apa masalah. Dari segi kelengkapan semuanya terbaik. Tapi bila lewat tengah malam tu, saya mula perasan akan kelainan dalam bilik tu," ujar Rashid.

"Baik, teruskan." Harraz tekun mendengarnya.

"Sekitar jam 11.15 saya baru sampai ke bilik. Saya tukar pakaian dan terus ke bilik air untuk mandi. Tiba-tiba lampu terpadam dan masa tu saya terasa macam ada jari yang menyentuh leher. Saya kelam-kabut keluar dari bilik air dan saya agak terkejut bilik tidak blackout sebab lampu bilik masih bernyala dan terang. Bila saya lihat, suis lampu bilik air tertutup! Masa tu saya tak ada fikir lain. Saya syak ada yang masuk bilik saya dan cuba main-main. Saya cepat-cepat check pintu. Tapi berkunci. Saya buka dan jenguk keluar. Tak ada sesiapa. Saya kunci semula rapat-rapat dan terus pakai baju." Rashid bercerita panjang lebar.

"Meremang bulu roma saya yang duduk dalam studio ni. Lepas tu apa lagi yang berlaku?" soal Harraz ingin tahu lebih lanjut.

"Ceritanya tak habis di situ saja. Selesai semua, saya pun berbaring. Niat di hati nak tidur. Saya padamkan lampu. Bila mata nak terlelap, saya terkejut katil saya tiba-tiba bergoyang. Terus saya terbangun dan lompat turun dari katil. Saya buka lampu dan renung katil yang saya baring tadi. Masa tu saya dah mula rasa takut. Jantung berdebar tak payah cakaplah. Kalau katil tu ada ruangan di bahagian bawah mungkin saya boleh cakap ada sesiapa yang cuba kenakan saya. Tapi katil yang saya tidur tu mana ada ruangan bahagian bawah!" tambah Rashid lagi.

"Jadi awak ambil keputusan untuk keluar dari bilik tu?" tebak Harraz.

"Tak. Saya beranikan diri untuk terus stay dalam bilik tu. Lampu saya biarkan bernyala. Saya kembali baring atas katil. Pusing kiri. Pusing kanan. Tapi susah pulak nak lelap. Saya capai remote dan buka televisyen. Selang beberapa minit, saya terbau sesuatu yang sangat busuk. Ada macam bau bangkai pun ada. Bau najis pun ada. Cukup memualkan," ujar Rashid.

Kisah Seram Malam Jumaat - DeejayWhere stories live. Discover now