SUARA Mbah Astadewi berlagu mantera kedengaran. Dengan mata yang terpejam, dia ralit di dalam dunianya yang tersendiri. Dia terus-terusan berkumat-kamit. Sesekali, jari-jemarinya mencubit cebisan halus kemenyan lalu dicampak ke dalam dupa bara. Sekonyong-konyong meruap asap putih berkepul-kepul memenuhi ruang udara lalu menyebarkan bauan yang cukup menyengat rongga hidung.
"Siapa namanya?" soal Mbah Astadewi kasar.
Pandangan matanya berlaga bersama pengunjung yang datang membawa hajat hitam. Hajat yang akan ditunaikan dengan cara yang cukup kejam. Si pembawa hajat langsung tidak peduli akan untung nasib orang yang diusulkan. Asal hatinya puas, hal-hal lainnya langsung tidak dihiraukan.
"Kamelia, mbah. Kamelia binti Kamarulzaman."
Mbah Astadewi mengangguk kecil sebelum kembali terkumat-kamit. Matanya kembali dipejamkan rapat dan dia terus-terusan fana di dalam kerjanya. Asap putih yang berkepul menghentam muka yang sudah mulai dijejehi peluh, langsung tidak dihiraukan.
"Kamu yakin, tidak menyesal? Orang ini akan diganggu secara perlahan-lahan. Akan ada sesuatu yang akan aku hantarkan untuk terusterusan mengganggu dirinya," ujar Mbah Astadewi lagi.
"Err... dia takkan mati kan, mbah?" soal si pembawa hajat.
"Tidak! Selagi kamu tidak memutuskan untuk aku habiskan riwayatnya, dia akan kekal hidup dan akan terus-terusan diganggu," balas Mbah Astadewi keras.
"Baik. Teruskan mbah, aku takkan menyesal. Dah lama aku berdendam dengan dia."
"Baik, aku turutkan apa yang telah kamu hajatkan. Tapi perlu kamu ingat, kiranya dia bertemu seseorang yang mampu mematahkan ilmu, kamulah yang akan dicari, bukan aku!" balas Mbah Astadewi sebelum kembali memejamkan mata dan melagukan serapah mantera durjana.
YOU ARE READING
Kisah Seram Malam Jumaat - Khianat
Horror"Aku diutus untuk sentiasa bersama dengan dirinya! Mengapa kalian mahu mengusirku?"