Madihah : Bab 1

158 2 4
                                    

Madihah diam mencuka. Wajah Mikail dipandang tajam. Geram apabila diri itu tak habis-habis membuat onar.

"Pleaselah, Dihah. Kali ni je..."

Kali ini Madihah tak mampu nak diam lagi. "Kali ni kau tu dah beribu kali kau janji dengan aku. Alih-alih, kau muncul lagi macam ni." Langsung tak gentar membalas kata-kata lelaki itu.

"Aku janji... kali ni betul-betul last." Mikail angkat tangan kanan tanda berikrar. Wajahnya penuh mengharap. Dia benar-benar perlukan bantuan Madihah. Lagipun dia sudah terlajak cakap pada Suziyana. Minah bermata sepet ala-ala orang Cina itu kenal pula dengan Madihah. Malah butik Madihah pun Suziyana tahu. Takkanlah dia nak cari 'mak sanggup' lain pula? Kantoilah nanti!

Madihah mengeluh kasar. Termasuk kali ini, sudah berpuluh-puluh kali dia dijadikan 'mak sanggup'. Nasib baik Mikail ini lelaki. Jadinya tak akan muncul di hadapannya dengan perut yang membuncit berisikan bayi. Kalau tidak, tak pasal-pasal dia benar-benar menjadi 'mak sanggup'.

"Kau je yang boleh tolong aku, Dihah. Lagipun Suzi tu dah kenal kau..."

"Cop! Cop! Cop!" Laju Madihah mencelah. "Suzi mana ni?" Dahinya berkerut sambil mata memandang tepat ke wajah Mikail yang sedang duduk di hadapannya.

"Suziyana. Yang aku bawak ke butik kau minggu lepas." Bagai tiada perasaan Mikail menjawab. Tangannya mencapai gelas yang berisi teh o ais yang berbaki lebih kurang satu per sepuluh sahaja itu. Sempat dikerlingnya air sirap limau milik Madihah yang masih belum terusik. Minah ini memang ambil masa hendak minum. Lepas makan harus tunggu sekurang-kurangnya 10 minit baru minum. Kononnya tak nak buncit. Tapi kalau dilihat pada diri Madihah, memang gadis ini slim and slender. Muka pun runcing elok. Bebas jerawat lagi. Kulit mulus sekali. Dia tahulah! Dia selalu cubit pipi Madihah.

Mikail ketawa dalam hati. Sempat lagi dia berangan. Tapi, yang tak syoknya dia berangankan Madihah. Aduh! Ini kalau si mangkuk ayun Eshan itu tahu, mahunya mamat itu memprovok papa agar masuk meminang Madihah. Tidakkk!!!

"Apasal kau tak nak minah tu?" Laju Madihah menarik gelas minumannya. Nampak mata Mikail macam sedang mencari 'mangsa'. Kerap sudah minumannya masuk ke dalam perut Mikail. Dasar muka tak tahu malu!

Kalau diikutkan, dia dan Mikail sama sahaja. Masing-masing jenis tak tahu malu. Kadang-kadang dia sendiri selamba meneguk minuman milik Mikail. Malah tak segan silu menyucuk stik kepunyaan Mikail. Manakala nasi goreng kampung kegemaran Mikail juga selalunya suku pinggan masuk ke dalam perutnya. Nasib baik Mikail sudah lali dengan perangainya. Tapi, kira adillah kan? Mikail pow dia punya, jadi dia pow pula Mikail punya. Biar fair and square bak kata omputih.

"Aku tak ready lagi nak serius, Dihah."

Kata-kata ringkas dari Mikail itu membuatkan Madihah terdiam.

"Aku tak rasa mereka-mereka yang aku kenal tu boleh dijadikan pasangan sehidup semati aku," sambung Mikail lagi.

"Habis tu, yang kau gatal keluar dengan dia orang kenapa?"

"Saja suka-suka."

Sekali lagi Madihah mengeluh. "Tak elok kau permainkan perasaan orang perempuan ni, Mikail..."

Dengar Madihah sebut nama penuhnya, Mikail tahu yang Madihah bakal berleter padanya. Jadinya, baik dia diam sahaja. Nanti, panjang lebar leteran Madihah itu.

"Kami ni ada perasaan. Kau ajak keluar, kau mesra-mesra... kami mesti assume yang kau ada hati kat kami. Aku dari dulu dah pesan banyak kali dengan kau. Kau nak berkawan boleh, tapi biar berpada-pada. Jangan tunjuk yang kau ambil berat kat dia orang. Jangan tunjuk yang kau boleh bagi apa saja kat dia orang. Simpan sikit sifat caring dan pemurah kau tu. Kami ni orang perempuan cepat perasan. Kau macam tu... kami akan anggap yang kau sukakan kami dan sayangkan kami."

"Termasuk kau ke, Dihah?" Saja Mikail nak mengusik.

Mata Madihah sudah menjegil. "Jangan nak perasan!"

"Tapi aku memang sayangkan kau pun." Mikail mengenyit nakal.

"Jangan nak cakap merapulah, Mike oi! Buat sakit hati je dengar." Madihah mencebik. Namun dalam hati, hanya dia dan Sang Pencipta sahaja yang tahu.

Mikail melepaskan tawa. Wajah masam mencuka Madihah itu menghiburkan hatinya.

"Kau merapu lagi, aku tak nak tolong kau!" Ugut Madihah yang semakin geram dek melihat Mikail sengaja mempersendanya.

"Okey! Okey! Aku serius." Mikail cuba mengawal ketawanya. Dia berdeham beberapa kali. "Tolong aku eh, Dihah?" pujuknya. "Kau nak apa? Aku belanja."

"Apa-apa je?"

"Yeee..."

"Kau kena belanja aku beg LV satu."

"Hah??? Kau ni..." Mikail mengetap gigi. Wajah Madihah dipandang geram. Tambah pula Madihah sudah mengangkat-angkat kening yang tebal terbentuk elok itu.

"Tak belanja beg LV, aku tak nak tolong. Aku ni sedang bersubahat menipu dengan kau tau? Kau tau apa aku akan tanggung nanti? Dosa tau tak?"

"Rasanya kalau menipu untuk kebaikan tak pe kan?" balas Mikail. Aduh! Beg LV? Bukan murah Dihah oi!

"Macam mana? Beg LV atau Suzi? Kalau tak, aku tak nak ambil risiko." Madihah angkat-angkat kening lagi. Memang dia sengaja nak mengambil kesempatan. Lagipun, perempuan mana yang tak nak beg LV? Dunia sekarang, nak muatnaik apa-apa di Facebook ataupun Instagram perlu ada jenama. Nanti orang kecam. Tambah pula kalau dikenali ramai. Macam dirinya ini.

Madihah ketawa dalam hati.

Dirinya dikenali ramai ke?

Setakat pemilik bersama Butik Kasih Suci itu, dikira popular ke?

Tapi, pengikutnya di Instagram adalah juga 18K. Pengikut Butik Kasih Suci pula hampir 25K. Hah! Kira popularlah tu kan? Nak pula muka dia yang menjadi model tudung dan pakaian yang dikeluarkan oleh Butik Kasih Suci.

Tengok nama butik macam tak menahan kan? Tapi kira sesuailah tu... tudung dan pakaian yang dijual sememangnya sesuai untuk muslimah. Kiranya pakaian yang ready to solat. Walaupun dia dan Najihah iaitu kakaknya taklah sewarak mana, tapi mereka tak mahu dipersoalkan di akhirat kelak mengenai perniagaan yang mereka jalankan. Hu hu... takut! Lagipun, permintaan sangat tinggi di dalam fesyen muslimah ini. Namun yang menjualnya sangat terbatas. Malah fesyennya juga kurang menarik. Jadinya dia dan Najihah cuba mengeluarkan fesyen yang moden namun masih di landasan yang sepatutnya.

"Yelah... yelah... LV pun LVlah. Lepas ni kalau kau demand melampau lagi, aku suruh papa masuk meminang kau je. Senang. Ini tidak, duit gaji aku asyik habis kat kau je."

Balasan dari Mikail setelah terdiam lama tadi membuatkan Madihah tersenyum lebar.

"Dari kau perabis kat perempuan-perempuan tu semua, baik kau habiskan kat aku. Ada untungnya."

Mikail mendecit geram.

Madihah senyum menang. "Kau tak beli, siap kau!"

"Kau tak tolong, siap kau!"

Ugutan berbalas ugutan. Namun, tak ada siapa pun yang gentar.

Perkenalan lebih dari 10 tahun membuatkan mereka arif benar dengan diri masing-masing. Suka duka, sama-sama mereka kongsi. Biarpun berbeza jantina, namun itu tidak membataskan Madihah dan Mikail bersahabat baik. Malah citarasa dan juga perangai juga berbeza. Hanya Mikail dan Eshan sahaja bagai kembar siam. Sebijik! Serupa! Perangai dan juga tingkah. Nasib baik Allah memberi kesedaran awal kepada Eshan untuk berkahwin. Kalau tidak, samalah Eshan dan Mikail. Kononnya pencinta wanita. Tapi sebenarnya, pemusnah harapan wanita. Acapkali mengecewakan orang perempuan. Melayan orang bagai tiada perasaan. Tapi bila difikir-fikir balik, rasanya orang perempuan ini yang sering salah sangka. Cepat perasan. Pantang orang lelaki ambil berat lebih sikit. Mulalah nak fikir yang lelaki itu sukakan dia.

Argh! Madihah buntu. Tapi apa yang dia yakin, kedua-duanya salah. Full stop!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 15, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Madihah Bab 1Where stories live. Discover now