BAB 1

673 16 0
                                    


RUMAH Zali semakin dipenuhi oleh jiran tetangga dan sahabat handai, bacaan yasin memecah sunyi pada malam itu. Hari yang sepatutnya diraikan dengan penuh gembira bertukar menjadi hari yang paling sedih di dalam hidupnya. Kebahagiaan yang mahu dikecapi tidak kesampaian. Zali mengelap air matanya yang jatuh ke pipi.

"Sabar Zali, ALLAH menguji kita dengan pelbagai cara," ujar tok imam.

Dia menepuk bahu Zali yang kelihatan sunggul duduk di pangkin. Zali masih tidak dapat menerima kenyataan ini. Air matanya mengalir deras. Zaharah yang meninggal ketika bersalin menyebabkan Zali tidak dapat menerima kenyataan ini. Anaknya juga pergi meninggalkannya. Sekujur tubuh kaku terlantar sepi.

"Kita akan kebumikan arwah isteri dan anak kamu di satu liang lahad" jelas tok imam.

Zali hanya mengangguk faham. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Selepas Solat Zohor mereka terus membawa kedua-dua jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang berada di perkampungan itu.

Setelah talkin dibaca dan doa ditujukan kepada arwah, mereka yang hadir terus beransur pulang ke rumah masing-masing. Zali duduk berteleku di hadapan kubur isterinya. Dia menangis hiba. Kemalangan terjadi sewaktu mereka mahu ke hospital kerana Zaharah sedang sakit mahu melahirkan bayi.

Zali terselamat daripada kecelakaan itu, tetapi Zaharah dan anaknya tidak dapat diselamatkan. Kereta yang melanggar mereka itu hilang entah kemana. Polis juga sedang menyiasat kes ini.

"Malam ini kita adakan majlis doa selamat di surau," beritahu tok imam kepada Zali yang masih bersedih.

Zali hanya tinggal sebatang kara. Tiada ahli keluarga yang datang menjenguknya, mujur ada tok imam dan orang kampung yang banyak membantu. Dia amat bersyukur.

"Terima kasih tok," ucap Zali lalu memeluk lelaki tua itu seeratnya.

Air matanya berjujuran deras. Tok imam itu sudah dianggap seperti saudaranya sendiri. Tok imam hanya tersenyum.

***

MAJLIS bacaan doa selamat untuk Zaharah dan anaknya berjalan dengan lancar. Semua orang kampung turun untuk memberikan kerjasama. Mereka saling tolong-menolong antara satu sama lain. Ahmad berlari menuju ke surau, terdengar jeritannya memanggil tok imam dari jauh lagi. Semua orang kampung tertanya-tanya apa yang berlaku.

"Tok! Tok imam!" pekik Ahmad di luar surau.

Ada perkara penting yang mahu disampaikan. Ahmad begitu lelah. Butiran peluh meleleh didahinya.

"Kenapa ni Ahmad, terjerit-jerit di depan surau?" soal tok imam bergegas keluar.

Orang kampung juga menjengah. Mereka juga hairan melihat kekalutan Ahmad.

"Ada sesuatu yang saya nak beritahu tok imam," beritahu Ahmad menelan air liurnya.

Terasa kering tekaknya kerana berlari tadi. Tok imam dan orang kampung menumpukan perhatian kepada apa yang mahu disampaikan oleh Ahmad.

"Kubur tok... kubur Zaharah!" ujar Ahmad, tercungap-cungap.

Dia mengurut dadanya yang turun naik. Zali yang mendengarnya terus mendesak, mukanya sudah berubah secara tiba-tiba.

"Kenapa? Cuba cerita satu-satu," balas Tok imam sudah tidak sedap hati.

Dia tahu mesti ada sesuatu yang terjadi. Zali mula gelisah.

"Kubur Zaharah dikorek orang tok!" beritahu Ahmad menghabiskan kata-katanya yang tergantung.

Orang ramai terperanjat dengan kata-kata Ahmad itu. Tok Imam juga tidak sangka perkara ini akan terjadi.

Baru sahaja jenazah Zaharah dan anaknya ditanam selepas Zohor tadi, sebelah malam ada pula orang yang sanggup mengoreknya kembali. Tok imam risau. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Dia mesti berbuat sesuatu.

Tok imam, Zali dan beberapa orang kampung bergegas ke tanah kubur untuk melihat apa yang berlaku di tanah perkuburan.

"Astaghfirullahalazim..." ucap tok imam.

Dia tidak menyangka perkara ini akan terjadi di kampung mereka. Zali betul-betul berasa hiba, kenapa keluarganya yang menjadi mangsa.

"Siapa punya kerja ni?" soal Tok imam.

Dia mengarahkan beberapa orang kampung untuk menutup semula lubang kubur zaharah. Mereka juga diarahkan untuk berjaga-jaga malam ini kerna ditakuti orang yang melakukan pekerjaan terkutuk itu datang lagi ke kubur itu.

"Apa dosa saya tok imam? Kenapa mereka layan saya begini?" soal Zali mengeluh.

Dia seolah-olah menyalahkan takdir. Dia terduduk ke tanah apabila melihat keadaan kubur isterinya yang dikorek semula.

Tok Imam hanya mampu menyuruh Zali bersabar, dia berjanji akan membuat laporan polis mengenai perkara ini. Zali buntu. Dia tidak tahu mahu berbuat apa.

"Hanya ALLAH yang tahu segalanya, kita hanya berserah pada ALLAH supaya orang yang melakukan perkara ini menerima pembalasan yang setimpal kelak," nasihat tok imam cuba menenangkan hati Zali. Dia tahu Zali amat sedih dengan apa yang telah terjadi.

***

DUA orang lelaki bergegas menaiki motorsikal menuju ke tempat yang dijanjikan. Mereka khuatir orang kampung akan tahu pekerjaan mereka. Mereka menuju ke hujung kampung, yang terdapat sebuah pondok kecil. Enjin motosikal dimatikan dan mereka melihat sekeliling. Kedua-dua lelaki itu tidak mahu rahsia mereka terbongkar. Cangkul yang telah digunakan diletakkan di bawah pondok. Peluh membasahi baju mereka berdua dan pakaian mereka kotor akibat bermain dengan tanah.

"Ada kau buat apa yang aku suruh?" soal seorang pawang bertanyakan kepada anak buahnya.

Kedua-dua lelaki itu mengangguk perlahan. Lelah yang dirasakan masih belum hilang lagi.

"Bagus, berikan kepada aku," minta pawang itu sambil menghulurkan tangannya.

Terdapat cincin yang memenuhi setiap jari dan tangkal menghiasi lehernya. Pawang itu ketawa, anak buahnya hanya tersenyum tawar. Pawang itu terus mengasap botol kecil yang diisi dengan minyak orang mati. Dua orang lelaki itu hanya menyaksikan tanpa kata. Bau kemenyan yang dibakar memenuhi ruang kecil itu. Pawang itu juga telah membaca sesuatu yang tidak difahami lalu meniupkannya ke arah botol kecil itu.

"Ini aku serah kepada kau, jaga baik-baik," arah Pawang itu sambil menyerahkan botol kecil itu kepada seseorang yang sudah lama berada disitu.

Dua orang lelaki itu hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka semua ketawa bersama-sama. Tiada apa yang boleh menghalang kehendak mereka sekiranya mahukan sesuatu. Walau apa sekalipun. Pawang itu menghulurkan sejumlah wang kepada dua orang lelaki itu sebagai upah. Mereka berdua tersenyum gembira. Segala kerja keras mereka dibayar lebih daripada apa yang dijanjikan pada awalnya.

"Terima kasih tok," ucap mereka berdua dan terus beredar dari rumah pawang itu dengan gembira. 

Projek Seram Airport - Destinasi TerakhirWhere stories live. Discover now