BAB 4

326 10 0
                                    


NORA menjalankan tanggungjawabnya sebagai pramugari yang berdedikasi. Setiap penumpang dilayan penuh tanggungjawab, dia tidak pernah lalai dalam menjalankan tugasnya.

"Ada apa-apa yang boleh saya bantu tuan?" tanya Nora kepada salah seorang penumpangnya yang kelihatan gelisah.

Nora segera mententeramkan lelaki itu.

"Ngak apa si neng, saya cuma takut gayat," ujar lelaki yang berasal daripada tanah Jawa itu sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Nora hanya tersenyum manis. Di pergelangan tangan kanannya terdapat gelang yang menyerupai tangkal berwarna hijau dan dia juga memakai cincin di setiap jarinya. Nora cuba mententeramkan lelaki itu. Mungkin ini kali pertama dia menaiki pesawat.

"Tuan tidak perlu risau, di sini kami akan menjaga tuan. Segalanya akan berjalan lancar," beritahu Nora sambil merenung tepat ke arah lelaki yang sebaya dengan ayahnya itu.

Sedang Nora mahu beredar lelaki itu pantas memegang tangannya.

"Hati-hati neng," ujar lelaki itu sambil menggenggam tangan Nora kemas seperti tidak mahu dilepaskan.

Nora cuba untuk mengelak tetapi lelaki itu hanya tersenyum sinis. Matanya yang betukar menjadi hitam dipicingkan tepat ke arah Nora. Nora yang terkejut sedikit menjerit, sedaya upaya cuba untuk melepaskan tangannya daripada lelaki itu tetapi tidak berjaya. Nora tidak sedap hati lalu dia memanggil rakan setugasnya Lisa.

"Tuan minta maaf, tolong lepaskan tangan kawan saya," ujar Lisa segera bersuara tegas apabila melihat lelaki itu berdegil.

Lelaki yang seperti baru tersedar daripada perbuatannya terus melepaskan tangan Nora dan terpinga-pinga. Nora yang juga panik terus beredar dari situ. Dia amat takut dengan kejadian tadi dan terus menangis teresak-esak.

"Maafkan saya, neng," ucap lelaki itu memohon maaf. Lagaknya seperti tidak mengetahui apa yang terjadi.

Penumpang lain hanya menyaksikan dan menilai sendiri apa yang dilihat. Lisa cuba menenangkan penumpang lain dan keadaan menjadi baik seperti biasa.

Lisa segera melihat keadaan Nora yang berada di bahagian belakang pesawat. Hatinya mula tidak sedap hati, seperti ada yang mengganggu.

"Aku takut. Aku nak jumpa Hazrin sekarang juga," ujar Nora menangis teresak-esak.

Lisa cuba menenangkan Nora yang seperti terkejut dengan apa yang berlaku.

"Sabar Nora, jangan ikutkan sanagt perasaan kau tu," pujuk Lisa yang kebingungan dengan keadaan kawannya yang satu ini.

Nora sudah tidak keruan hatinya hanya memikirkan Hazrin. Setelah apa yang berlaku, dia sudah tidak sedap hati. Air matanya mengalir deras.

"Kau berehat dulu, jangan fikir yang bukan-bukan," ujar Lisa hairan dengan tingkah laku Nora.

Dia tidak selalu begini. Sebaliknya Nora seorang yang tegas dan tidak akan mengaku kalah. Dia juga tahu mengendalikan setiap penumpangnya dengan baik sekali. Tetapi tidak pada kali ini.

Nora menggigil ketakutan, air matanya tidak berhenti mengalir. Nafasnya sesak dan jantungnya berdegup kencang. Lisa mengambil segelas air lalu diberikan kepada Nora.

Nora mengambil gelas itu lalu meminumnya perlahan-lahan. Dia menjadi lebih tenang sedikit dan Lisa menyuruhnya untuk berehat sebentar sebelum menyambung tugasnya semula.

"Hazrin... Hazrin..." panggil Nora yang asyik teringatkan Hazrin kekasihnya.

Setiap saat rasa rindunya amat menebal. Air matanya gugur apabila teringatkan lelaki itu.

***

PENERBANGAN dari Indonesia telah selamat sampai ke destinasinya. Nora tidak sabar mahu berjumpa kekasih hatinya. Nora berjalan pantas menuju ke balai ketibaan Lapangan Terbang Sri Andalas, dia mengharapkan Hazrin akan datang untuk menyambutnya. Rasa rindu untuk menatap wajah kekasihnya Hazrin.

Dia berjalan pantas, matanya meliar melihat sekeliling. Nora sangka Hazrin berada di antara orang ramai yang berada disitu, tetapi hampa Hazrin tidak kelihatan.

Nora teringatkan kafe yang dikunjungi Hazrin apabila dia menghantarnya ke lapangan terbang tempoh hari. Tanpa berfikir panjang, dia terus menyusuri sepanjang lorong kedai untuk sampai ke kafe itu. Kelihatan lorong itu sunyi sepi, tiada sesiapa yang kelihatan. Hanya bunyi kasut tumit tingginya sahaja memecah sunyi.

Tiada sesiapa pun yang lalu di situ. Nora merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia melangkah perlahan perlahan. Terasa ada seseorang yang memerhatikannya. Dia menoleh ke belakang. Nafasnya tersekat-sekat apabila merasakan ada orang yang mengekori dirinya.

"Nora, saya di sini."

Nora menoleh apabila terdengar suara Hazrin sayup dicuping telinganya. Langkahnya mati, matanya melilau mencari dari mana datangnya suara itu.

"Hazrin!" panggil Nora apabila terlihat ada kelibat yang melintas dihadapannya.

Nora tahu itu adalah Hazrin. Nora berlari anak apabila kelibat Hazrin itu semakin jauh meninggalkanya.

"Hazrin, tunggu saya!" jerit Nora lagi tetapi kali ini agak kuat.

Nora melalui jalan keluar dan menuju ke lift. Dia terus menekan butang ke bawah untuk tempat letak kereta. Apabila pintu dibuka terlihat seorang wanita yang berbaju putih sedang merenung tajam ke arahnya. Dia berdiri tidak jauh daripadanya. Rambutnya yang panjang menutupi sebahagian wajahnya. Nora yang terperanjat terus menjerit sekuat hati.

***

"ARGH!" jerit Nora di dalam lenanya.

Lisa yang berada di tempat duduk berhampiran di dalam pesawat terkejut apabila mendengar jeritan Nora.

"Astaghfirullahalazim..." Lisa mengucap panjang.

Suara jeritan Nora yang kuat mengejutkan para penumpang. Mereka semua terus panik.

"Apa yang berlaku?" soal salah seorang penumpang berdiri dan cuba membuat bising.

Kamil rakan setugas Nora cepat-cepat menahan lelaki itu daripada terus membuat kacau.

"Sila duduk encik, bawa bersabar ya," ujar Kamil cuba mententeramkan lelaki itu.

Dia tidak mahu penumpang yang lain juga turut melakukan perkara yang sama. Bunyi bising yang kedengaran di dalam pesawat membuatkan keadaan menjadi kecoh. Seorang wanita yang merasakan dirinya terancam terus menangis teresak-esak. Lelaki yang berdiri itu, tidak mahu mengikut arahan Kamil. Dia terus-terusan mahu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Suasana menjadi hingar bingar.

"Sila ambil perhatian, pihak kami meminta maaf di atas kesulitan yang berlaku sebentar tadi. Para penumpang diminta untuk duduk di tempat masing-masing. Terima kasih," ucap salah seorang kru penerbangan melalui pembesar suara.

Para penumpang mula dibelenggu tanda tanya. Bermacam-macam persoalan mula timbul di fikiran mereka. Pesawat membawa penumpang daripada Indonesia kini dibelenggu ketakutan. Lisa dan kru yang lain segera mententeramkan keadaan, suasana menjadi stabil semula. 

Projek Seram Airport - Destinasi TerakhirWhere stories live. Discover now