P r o l o g
QAIREEN menguis-uis jari jemari runsingnya. Dalam hati gadis itu tidak lepas dari menyumpah seranah lelaki yang sedang duduk bersimpuh sambil bersalaman dengan tok kadi yang tidak lama lagi bakal menjadi suami kepadanya yang sah.
Sedikit pun Qaireen tidak sudi memandang ke arah lelaki berwajah tenang itu yang sedang melafazkan akad nikah dihadapan tok kadi.
Qaireen merengus kasar apabila memikirkan tentang masa hadapannya selepas ini sebaik sahaja dia menjadi isteri kepada lelaki yang dia tidak kenali itu. Tetapi yang pastinya, lelaki yang bakal menjadi suaminya itu merupakan anak kawan baik papanya iaitu, Dato’ Ahmad Amar dan Datin’ Sofia. Menurut mamanya iaitu Puan Umairah, bakal suaminya itu merupakan anak kedua daripada 4 orang adik-beradik. Adik-beradiknya yang lain pun dia tidak kenal, inikan pula bakal suaminya yang tidak lama lagi akan menjadi yang halal untuknya.
“Aku terima nikahnya Qaireen Darlesya binti Amran dengan mas kahwin sebanyak lapan ribu ringgit tunai..”
Sekali lafaz sahaja, Qaireen telah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Fayyad Hidayat. Namun begitu, sikitpun Qaireen tidak merasa terharu atau merasakan perasaan yang bakal mengundang airmata bahagianya jatuh seperti pengantin baru yang lain. Sungguh! Hati Qaireen terasa kosong untuk merasakan apa yang sedang berlaku pada hari itu. Bahagia menjadi isteri kepada anak orang yang bergelar dato-datin? Entahlah. Qaireen benar-benar tidak tahu bagaimana perasaannya saat akad nikah yang terlafaz sebentar tadi.
‘Tapi yang pastinya, aku takkan jatuh cinta dengan dia!’ monolog Qaireen dalam hati.
Dia tekad dengan keputusan yang dibuatnya sejak semalaman bersengkang mata memikirkan hari pernikahannya pada hari ini. Dia tidak akan mudah jatuh cinta dengan lelaki itu hatta lelaki itu merupakan suaminya yang sah.
B a b 1Tepat pukul 11 malam. Usai sahaja majlis perkahwinan antara Qaireen dan Fayyad, wanita itu terus memboloskan dirinya ke dalam bilik tidur. Fayyad yang menyedari ketiadaan isteri yang baru dikahwininya beberapa jam itu, membiarkan sahaja isterinya itu merehatkan diri tanpa menunggunya yang masih lagi setia melayani saudara-mara yang masih lagi belum pulang ke rumah masing-masing.
“Mana isteri kamu, Fayyad?” soal Datin’ Sofia apabila menyedari menantu kesayangannya itu tiada bersama anak lelakinya.
“Isteri Fayyad dah masuk bilik dulu. Letih agaknya..” Fayyad membuat andaian. Tetapi memang benar pun, dia juga menyedari kelihatan diwajah isterinya itu kerana penat melayan para tetamu dan saudara-mara yang hadir.
Datin’ Sofia mengangguk, “Fayyad pun pergilah rehat. Seharian melayan tetamu, takkan kamu tak penat kut..”
Fayyad tersenyum, “Nanti ajelah, mummy. Tunggu saudara-mara balik dulu.” ujarnya sopan kepada Datin’ Sofia.
“Ish.. Tak payah tunggulah. Kamu tu pengantin baru. Patutnya dah ada dalam bilik sekarang ni. Dah pergi masuk bilik.” bebel Datin’ Sofia lembut seraya menolak perlahan tubuh anaknya agar menurut arahannya.
Fayyad tergelak kecil mendengar bicara mummy kesayangannya itu. Lantaran itu, Fayyad terus memeluk Datin’ Sofia dan mencium pipi wanita itu dengan penuh kasih sayang.
“Baiklah, mummy. Terima kasih sebab jodohkan Fayyad dengan Qaireen.” ucap Fayyad gembira. Datin’ Sofia turut tersenyum gembira. Dia bersyukur kerana Fayyad dapat menerima Qaireen yang sememangnya sudah lama dia impikan akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Akhirnya, Allah makbulkan impiannya selama ini.
“Kalau sudah jodoh, takkan kemana juga. Fayyad kena janji dengan mummy..” Datin’ Sofia diam seketika. Ditatapnya anak lelaki dihadapannya itu.
“Jaga Qaireen baik-baik. Dia isteri yang baik. Jangan sakiti dia walau apapun yang akan berlaku dalam rumahtangga kamu. Beri dia kasih sayang sepenuhnya. Mummy yakin... Qaireen boleh berubah.” sambung Datin’ Sofia lagi.
“Fayyad janji mummy. Dia permata berharga bagi saya. Saya takkan sia-siakan dia. Kalau saya sakiti dia, saya sanggup terima hukuman. Tapi..” suara Fayyad tersekat disitu membuatkan Datin’ Sofia mengerutkan dahi.
“Tapi?”
Fayyad tunduk sebentar lalu mengangkat wajahnya semula memandang mummynya, “Mummy percayakan Fayyad kan?”
“Kamu cakap apa ni?” tanya Datin’ Sofia pula. Kepelikan dengan soalan anaknya sebentar tadi.
“Andai kata, jodoh Fayyad dengan dia tak lama, Fayyad rela asalkan dia bahagia.” kata-kata Fayyad berjaya membuat wanita itu tersentak.
“Jangan cakap macam tu, Fayyad. Mummy akan sentiasa doakan kebahagiaan kamu dengan Qaireen akan terus berkekalan sampai jannah.”
***
Qaireen lantas duduk memeluk bantal sebaik sahaja susuk Fayyad berada dalam bilik itu. Dia memaling muka ke arah lain tidak mahu bertentang mata dengan lelaki yang masih asing dipandangan matanya itu.
“Sayang masih tak tidur lagi ke?” tanya Fayyad lembut seraya duduk di sebelah isterinya.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Qaireen kasar membuatkan Fayyad tersentak. Tidak disangka bahawa pertanyaannya yang lembut sahaja dibalas dengan pertanyaan kasar.
“Dah lewat malam ni. Kenapa sayang tak tidur lagi?” meskipun terasa dengan layanan kasar isterinya, Fayyad tetap berusaha untuk berbicara baik-baik dengan isterinya.
“Kau buat apa dalam bilik ni? Jangan nak ambil kesempatanlah. Aku tak nak pun kahwin dengan kau!” Qaireen terus-terusan menengking lelaki itu.
Menyedari riak wajah Fayyad yang berubah, Qaireen terus turun dari katil dan mengatur langkah geram menuju ke pintu bilik dengan membawa bantal yang dipeluknya tadi keluar dari bilik itu.
‘Menyibuk ajelah dia ni!’ bebelnya dalam hati.
YOU ARE READING
Meraih Kasih..
Romance#18 in fiksyen Fayyad dan Qaireen disatukan atas dasar percaturan orangtua masing-masing tanpa mengenal antara satu sama lain. Namun begitu, Fayyad mencuba untuk mengenali isterinya lebih dalam lagi. Tetapi, Qaireen pula sekadar mengendahkan setiap...