"Kamu selesaikanlah masalah kamu sendiri. Mama dah tak larat nak tolong kamu. Dah berpuluh, malah beratus ribu duit mama dan papa yang dah terbang kerana nak menyelesaikan hutang-hutang kamu dulu. Kali ini, kamu pandai-pandailah uruskannya sendiri." Datin Dalilah bersuara tegas. Sudah tidak larat dinasihati, sudah tidak mampu untuk ditolong. Ada sahaja masalah yang dibawa Hadi kepadanya dan juga Datuk Husin.
"Mama, kalau mama tak tolong Hadi dengan siapa lagi Hadi nak minta tolong?"
"Eh, keluarga isteri kamu tu kan orang berduit juga. Takkanlah tak boleh nak tolong menantu sendiri? Lagipun, waktu kamu dengan Si Elina tu bersuka ria, ada kamu ingat dekat mama dengan papa kamu ni? Nak campak seratus dua pun tidak. Bila susah, tahu pula kamu cari kami."
"Mama ni, dengan anak sendiri pun nak berdendam. Mama dengan papa dah cukup kaya, takkanlah duit anak pun nak kikis juga."
Datuk Husin berdehem. Surat khabar yang dipegang, diselaknya kasar. Geram pula dia mendengarnya. Sejak dari tadi, dia hanya memasang telinga. Malas mahu masuk campur perbualan antara isteri dengan anak ketiga mereka itu. Cuma, sudah dipesannya awal-awal kepada Datin Dalilah, usah beri muka kepada Hadi lagi. Perangai Hadi semakin hari semakin menjadi-jadi. Jika tidak bertegas, mahu papa kedana mereka dibuatnya.
"Mama, papa. Tolonglah Hadi untuk sekali ini sahaja lagi. Bukannya banyak pun. Cuma seratus ribu sahaja. Kalau tidak, habislah kereta Hadi dan Elina ditarik bank."
"Biarlah kalau bank nak lelong atau nak tarik sekalipun. Dah tahu tak mampu, nak juga berlagak pakai kereta mewah. Orang lain berniaga, kita pun nak berniaga. Orang lain untung berjuta-juta, kita pula rugi berganda-ganda. Berniaga buluh kasap! Masuk angin keluar asap. Untung tak nampak, kamu dengan isteri kamu tu bukan main berjoli katak. Bercuti sana sini, beli itu ini langsung tak ingat dunia. Beg tangan isteri kamu tu pun, bukan mama tak tahu, belasan ribu harganya. Apa nak susah, kad kredit kan ada. Swipe aje. Lupa agaknya modal berniaga tu dulu dapat dari mana? Ha, sekarang merasalah!"
Hadi mendengus. Balik-balik itu yang disebut mamanya. Masa tengah ada duit, siapa yang tak mahu joli? Kalau boleh, gedung membeli-belah pun dia mahu beli.
"Ma, mama sanggup tengok cucu mama tu hidup susah ke? Hidup merempat? Macam orang gelandangan, tidak berumah. Mama nak tengok keluarga anak mama ni jadi macam tu ke?" Baik. Kalau guna cara yang biasa tidak nampak jalan, apa kata kita gunakan umpan yang lain. Seorang datuk dan nenek pastinya tidak mahu lihat cucu mereka hidup dalam keadaan susah. Hadi sudah ketawa dalam hati. Dia yakin umpannya kali ini pasti akan mengena. Mamanya itu sayang sangat dengan semua cucu-cucunya.
"Tak ada susahnya. Kalau betul rumah kamu kena lelong, kamu baliklah tinggal dengan keluarga Elina. Rumah Datuk Darus dan Datin Sukainah tu pun boleh tahan besarnya. Banglo tiga tingkat. Takkanlah setakat kamu tiga beranak mereka tak boleh nak berikan bilik sebuah pun?" Berdas-das tembakan Datin Dalilah berikan kali ini. Dia sudah cukup bersedia untuk menghadap permainan Hadi kali ini. Biar apapun kata-kata pujukan Hadi, sudah dipasakkan dalam hati, cukuplah segala bantuan dan ihsan yang dia dan Datuk Husin berikan.
"Kita nak ke rumah Haji Fadil sekejap lagi ni. Ada kenduri akikah cucunya lepas asar nanti. Awak jangan lupa pula. Dah hampir pukul empat ni. Abang nak naik ke atas dulu. Nak mandi, nak bersiap. Awak jangan lama-lama sangat di bawah ni. Dah habis apa yang awak nak cakap, naik ke atas. Kita jemaah sama-sama."
Datuk Husin mengangkat punggung. Malas mahu berlama-lamaan di situ. Mendengar kata-kata Hadi yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu beralah, membuatkan hatinya mendidih pula. Tahunya buat masalah, buat hutang. Yang akan tolong selesaikan, dia dan Datin Dalilah. Huh! Jangan kamu harap kali ni papa dan mama akan berlembut dengan kamu, Hadi, desis hati tuanya.
YOU ARE READING
SEADANYA AKU
General FictionTajuk: Seadanya Aku Penulis: Rissa Ahdiya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-101-1 Muka Surat : 496 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018