"Saya tak mahu kahwin lagi. Saya dah beritahu emak semalam."
Terasa kering darah Wina mendengarnya. Dua minggu Zarul mendiamkan diri, malah semua panggilan mahupun mesej yang dikirimkannya langsung tidak berbalas. Hari ini Zarul mengajaknya keluar. Hatinya terasa berbunga. Namun belum pun hidangan yang dipesan mereka sampai, Zarul sudah pun mematikan seleranya.
"Habis tu, kita nak tunggu sampai bila?" Lembut Wina bertanya. Moga-moga terbukalah hati Zarul hendaknya. Entah apa lagi yang mahu ditunggu Zarul. Usia Zarul sudah masuk ke angka tiga puluh dua tahun, umur yang sesuai untuk berkahwin.
"Kenapa? You dah tak sanggup nak menunggu ke?"
"Bukan macam tu. Cuma tak eloklah kita bertunang lama-lama macam ni. Apa pula kata orang nanti."
"Wina... Hidup kita, kita yang tentukan. Kalau kita nak fikirkan tentang kata-kata orang, kita tak akan ke mana-mana. Orang tu ke yang akan tolong kita waktu kita susah? Orang itu ke yang akan memujuk kita waktu kita sedih? Bukan, kan? So, kata-kata orang tu tak perlulah awak fikirkan sangat. Kita bertunang, bukannya kita buat benda yang tak baik. Jadi, apa yang tak eloknya kalau kita bertunang lama-lama?"
Payah! Memang payah rasanya bercakap dengan Zarul. Memang betul seperti kata Zureen. Zarul ini, kalau hitam katanya, maka hitamlah. Jangan cuba-cuba beri cadangan warna yang lain, langsung tidak akan diterimanya.
"Umur I dah dua puluh tujuh tahun, Zarul. Mak usu dan pak usu dah risau kita bertunang lama-lama. Mereka bukan main teruja nak mengadakan majlis perkahwinan kita."
"Wina..." Kata-kata Zarul terhenti seketika bila pelayan sudah pun sampai menghantar pesanan. Selesai hidangan diletakkan di atas meja, pelayan yang memakai uniform berwarna biru air itu meminta diri sambil diiringi ucapan terima kasih daripada Wina.
Zarul berdehem seketika. Cuba mencari-cari ayat yang sesuai supaya Wina faham dan tidak terlalu mendesaknya. Dia tidak bersedia.
Bukan! Dia masih belum berjumpa titik keserasian antara dia dengan Wina sepanjang mereka bertunang. Wina masih belum mampu membuatkan hatinya berdebar-debar seperti yang pernah dilakukan oleh gadis bermata hazel itu dulu. Sayangnya gadis itu sudah pun dimiliki.
"Zarul..."
Melihat Zarul yang kelihatan seolah-olah hanyut dalam dunianya, Wina memanggil. Entah apa jugalah yang diangankan Zarul. Sedang menghadap hidangan pun fikiran boleh melencong ke arah lain.
"Hurm... Makanlah dulu. Nanti lepas makan kita sambung berbincang," putus Zarul akhirnya.
Wina diam. Seleranya sudah tiada sebenarnya. Tahu yang perbincangan yang dikatakan Zarul tadi tidak akan membawa apa-apa makna selain daripada menangguhkan majlis perkahwinan mereka.
Wajah Zarul ditenung Wina. Entah mengapa, walaupun lelaki ini acuh tidak acuh melayannya, namun hatinya tetap terpaut sayang kepada lelaki yang berkulit cerah dan manis senyumannya ini. Ya Allah, kau bukakanlah hatinya untuk menerima aku, bisik hati Wina.
"Haip, monyoknya muka! Kata jumpa Zarul tadi," tegur Aufiya sebaik sahaja wajah lemah dan lesu Wina terpacul di depan muka pintu.
"Hurm..."
"Kenapa ni?" Muk yang berada di tangan diletakkan di atas meja. Kasihan pula melihat wajah Wina yang layu semacam.
"Tak ada apa-apalah. Letih aje," balas Wina tidak bersemangat. Mahu bercerita tentang apa yang dikatakan Zarul tadi rasanya tidak patut pula. Buat memalukan diri sendiri. Nampak sangat dia pula yang terhegeh-hegeh mahukan Zarul.
"Betul ni tak ada apa-apa?" Aufiya minta kepastian. Bimbang kalau-kalau Wina memendam perasaan dan menyimpan segala masalah sendiri.
"Betul. Janganlah kau risau."
"So, semuanya berjalan lancar tadi?" Aufiya cuba mengorek rahsia.
"Alah, keluar makan-makan aje. Bukannya ada apa-apa yang special pun. Kau pun macamlah tak kenal bos kau tu macam mana? Hari jadi aku pun dia tak ingat."
Aufiya ketawa kecil mendengar omelan Wina. Mujurlah Taufik bukan begitu orangnya. Setiap kali tiba tarikh-tarikh istimewa pasti dia akan diraikan walaupun cuma sekadar makan-makan di restoran tiada bintang.
"Tak kesahlah tu. Asal Zarul tu layan kau dengan baik, sudahlah."
"Aku nak masuk bilik dululah. Nak mandi. Rimas sejak dari pagi aku dengan baju kurung ni. Dah berbau semacam."
"Yalah." Aufiya memerhatikan tubuh Wina yang menghilang ke tingkat atas. Dia tersenyum sendiri sebelum melabuhkan punggungnya di atas sofa. Sebentar lagi drama Korea kegemarannya bakal ditayangkan. Dia tidak pernah terlepas walau satu episod pun setakat ini.
Wina menutup pintu biliknya rapat-rapat. Tubuhnya disandarkan pada belakang pintu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba dia menekup muka. Tubuhnya bergegar. Esakan mula kedengaran.
YOU ARE READING
SEADANYA AKU
General FictionTajuk: Seadanya Aku Penulis: Rissa Ahdiya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-101-1 Muka Surat : 496 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018