"Nak ikut aku dengan Wina tak malam ni?" Zureen mengangkat kepalanya. Merenung Aufiya dengan pandangan penuh tanda tanya.
"Nak ke mana? Tengok wayang?" soal Zureen.
"Taklah. Aku dengan Wina nak keluar makan-makan. Taufik dan Zarul pun ada sekali. Ajaklah kau sekali, takut bosan pula kau sorang-sorang dekat rumah tu. Jomlah! Kita keluar sama-sama."
"Dan kau nak aku jadi pemerhati pada pasangan-pasangan yang sedang bercinta? Berlagak bodoh macam aku tak terasa apa-apa? Tak payahlah, Aufiya. Terima kasih ajelah," tolak Zureen dengan nada jengkel.
Buat apa dia ikut kalau dia sahaja seolah-olah tunggul kayu mati di situ. Orang lain berpasangan dan dia sahaja yang berseorangan. Oh, tidak! Aku tak mahu nampak seperti orang bodoh di situ, bisik hatinya.
"Lah, bukannya kami abaikan kau pun. Just pergi makan-makan aje. Lagipun kau pun tahu kan, kami ni bukannya macam pasangan bercinta yang lain. Biasa-biasa aje. Tak mungkin akan ada adegan saling menyuap atau saling mengesat bibir pasangan masing-masing," balas Aufiya tenang.
Jika tidak diajak, bakal berlubanglah telinga mendengar sindiran penuh api kemarahan daripada Zureen. Tapi jika diajak, beginilah biasanya jawapan yang diberikan Zureen. Serba salah dia dibuatnya. Diajak pun macam berdosa, tidak mengajak pun macam besar benar kesalahannya.
"Huh! Thanks but no thanks. Aku tak mahu nampak sangat macam akulah yang paling tak laku dekat situ nanti. Seronoklah kau dengan Wina kalau orang tersenyum-senyum menyindir bila tengok aku nanti, kan? Mustahil tak nampak janggal bila kau dengan Wina ada pasangan dan aku aje yang nampak macam kera sumbang dekat situ."
Aufiya diam. Malas berbalas kata. Bimbang makin melarat pula andaian demi andaian yang dibuat Zureen nanti.
"Hurm... Kalau dah macam tu kata kau, tak apalah. Aku sekadar bertanya, kalau-kalau kau nak ikut." Aufiya mengangkat punggung. Sudah bersedia mahu beredar sebelum berpaling apabila terdengar suara Zureen memanggilnya.
"Bahagia kau dengan Wina tak perlulah nak tayang sangat pada orang lain. Beringat-ingat, belum tentu bahagia tu akan berpanjangan. Dan aku harap, fikirlah juga perasaan orang yang masih single macam aku ni." Aufiya mengeluh perlahan. Berpaling semula ke muka pintu. Combol dipulasnya dengan membawa bersama helaan nafas yang panjang.
"Zureen mana?" Wina yang baru sampai bertanya. Aufiya hanya sekadar mampu mengangkat bahu.
"Dia tak mahu ikut? Bila tak ajak, marah-marah kata kita lupakan dia. Bila diajak macam-macam pula alasannya. Kali ini apa pula alasan yang dia berikan?" bebel Wina. Sudah kenal dan tahu benar dengan perangai Zureen tu.
"Dia sibuk. Dahlah, tak payahlah kita panjang-panjangkan cerita Zureen tu. Yang penting kita dah ajak dia, jadi kalau dia nak marah-marah pun, bukan salah kita dah." Malas Aufiya mahu mengulang semula kata-kata Zureen. Tidak pasal-pasal Wina pula yang naik angin nanti dan dia pula bakal digelar sebagai batu api.
"Mesti dia ada cakap apa-apa ni..." Wina melirikkan pandangan nakal. Aufiya menepuk tangan Wina yang berada di atas meja.
"Kau tak payahlah nak jadi mak cik bawang sangat, ya. Ni, kau datang naik apa? Aku ingatkan kau datang dengan Zarul."
"Hurm... Naik apa lagi? Kereta akulah. Zarul nak datang ambil aku tengah-tengah waktu puncak macam ni? Kirim salam ajelah, Fiya. Kau pun datang sendiri ke? Taufik tak datang jemput kau?"
"Dia ada kerja di Putrajaya hari ni," balas Aufiya ringkas. Matanya liar memerhatikan sekeliling kawasan restoran yang memang selalu menjadi pilihan mereka berempat untuk berjumpa.
"Tu. Dah sampai pun cik abang kau." Mulut Aufiya memuncung panjang menunjukkan ke arah Zarul yang sedang berjalan masuk ke ruang dalam restoran tersebut. Tali leher yang dipakainya sudah dilonggarkan dan hujungnya pula dimasukkan ke dalam poket kemeja berwarna hitam yang dipakainya. Lengan kemeja pula sudah disingsingnya sehingga ke paras siku.
YOU ARE READING
SEADANYA AKU
Fiksi UmumTajuk: Seadanya Aku Penulis: Rissa Ahdiya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-101-1 Muka Surat : 496 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018