Bab 4

1.1K 36 0
                                    

ELYANA membuka pintu kereta sebaik sahaja seorang lelaki bertopeng memasuki keretanya. Namun keluar saja, dirinya ditolak masuk ke dalam sebuah kereta lain. Lelaki bertopeng pertama yang sudah pun duduk di tempat pemandu menarik lengan Elyana manakala lelaki bertopeng kedua masih berusaha menolak Elyana ke dalam.

Cuba meronta tetapi gabungan tenaga dua lelaki itu menguasai kudrat wanitanya. Dalam kekalutan, Elyana sempat memikirkan sesuatu. Lantas dia panjangkan kaki dan sasarkan bahagian sulit si penyerang kedua. Berjaya. Lelaki itu menyeringai sambil menunduk menahan sakit. Di kesempatan itu, Elyana rentap tangannya sekuat hati. Terkocoh-kocoh dia turun dari kereta.

"Akak!!!" Elyana menjerit memanggil Aina semahu hatinya. Air mata ketakutan mulai membasahi pipi. Terpampang perkataan 'cuak', 'takut' dan 'sesal' di muka. Elyana mula membuka langkah untuk berlari ke arah Aina tetapi lelaki bertopeng kedua sempat menjambak rambutnya. Di luar kerelaan, Elyana terdorong ke belakang.

Demi melihatkan itu, Aina berlari laju ke arah mereka. Tangan cuba menarik Elyana tetapi separuh badan Elyana sudah ditolak masuk semula ke dalam kereta. Aina terpaksa berhadapan dengan lelaki bertopeng kedua. Tumbukan dilepaskan lelaki tersebut. Segera Aina menunduk. Sesaat kemudian, tubuhnya kembali tegak lalu tumbukan dilepaskan ke rahang si penyerang.

Apabila si penyerang membongkok, Aina ambil kesempatan itu untuk menarik lengannya dan merengkuh ke belakang. Tangan kiri Aina menyentuh belakang kepala si penyerang lalu tanpa sebarang amaran, kepala itu dihantuk ke cermin kereta.

Pecah. Darah pekat mulai mengalir di kepala lelaki itu. Ada serpihan kaca tercucuk di mukanya tetapi Aina tidak merasa sebarang empati sama sekali.

"Kurang ajar!" Lelaki bertopeng pertama menempik. Dia turun dari kereta, meramas-ramas jemarinya di setiap langkah mendekati Aina.

Dari arah bertentangan, Aina turut berjalan menujunya. Aina cuba menyerang terlebih dahulu namun tersasar bilamana lelaki itu mengelak. Kini leher Aina sudah pun dicekak lelaki itu dari belakang. Nafas kasar lelaki itu kedengaran jelas di telinganya. Kepala Aina terdongak bilamana lelaki itu kuatkan lagi cekakannya tetapi Aina tidak berputus asa. Sikunya dihentak ke rusuk si penyerang. Berkali-kali.

"Urgh!"

Seiring dengan seringai itu, cekakan terlepas lalu Aina berjaya loloskan diri. Aina cuba meraih lengan Elyana yang sudah pun bersembunyi di belakang kereta sebelah. Tak sempat dia lakukan itu, lengan kanannya dilelar si penyerang. Lengan Aina dipulas ke belakang sebelum lutut kanannya ditendang. Automatik Aina terduduk melutut pada kaki kanannya.

"Akak!" Elyana terjerit. Dalam posisi sebegitu, dia tahu sukar untuk Aina melepaskan diri. Pandangan mata sempat bertaut sesaat dua sebelum mata Elyana 'dihidangkan' dengan satu aksi yang benar-benar memeranjatkan.

Dalam pada Aina melutut sebelah kaki dan tangannya direngkuh ke belakang, Aina gunakan tangan kirinya untuk mencengkam baju di bahagian bahu si penyerang. Nafasnya disekat lalu seluruh tenaga dikerah di tangan kiri. Sambil bahu kanan disengetkan sedikit, Aina tarik si penyerang sekuat hatinya sehinggakan dia baring terlentang di sisi Aina. Tidak menunggu lama, buku lima terus dilepaskan ke muka si penyerang. Apabila cengkaman lengan terlepas, Aina segera berdiri. Kaki dihentak pada perut sebelum menyasar kepala si penyerang. Akibat daripada itu, menyembur darah keluar daripada mulutnya.

"El!" Aina meluru mendapatkan Elyana. Tiada sesi berpelukan, tiada sesi memeriksa keadaan masing-masing. Mereka terus membuka langkah seribu untuk menjauhi si penyerang. Sempat Aina menghubungi Naufal dan Syamel, pengawal-pengawal peribadi Elyana yang sedang menanti di dalam sebuah kereta lain.

"Ready. Once kita orang masuk aje kereta, terus pecut!" arah Aina. Di sebelahnya, Elyana tidak mampu berkata apa. 

ANASTASIAWhere stories live. Discover now