Bab 14

1.1K 35 0
                                    

BUKA saja pintu gim, satu susuk tubuh yang cukup dikenali sedang berlari di atas treadmill. Aina ketap bibir. Lambat-lambat pintu gim ditarik semula hingga ia terkatup rapat. Sengaja Aina melambat-lambatkan langkahnya menuju ke treadmill sebelah insan itu. Botol air diletakkan di tempatnya sebelum Aina menekan butang merah. Kelajuan ditetapkan pada kadar perlahan terlebih dahulu.

Kaki mulai berjalan di atas running area yang sedang bergerak. Di kesempatan itu, Aina mencucuk earphone ke telinga. Muzik baroque mula memenuhi pendengaran Aina.

Detik itu, kewujudan Arhan di sebelah tidak dihiraukan sama sekali. Lelaki itu sendiri buat-buat buta, langsung tidak menegurnya. Takkanlah Aina mahu terhegeh-hegeh memulakan perbualan dengannya? Cukuplah rasa malu masih bersisa dalam diri dek pesanan ala-ala prihatin itu. Aina enggan membiarkan dirinya kelihatan bodoh lagi di hadapan Arhan.

Pada saat kelajuan bertambah, Aina kerahkan seluruh fokus pada lariannya. Otak tak lagi dipenuhi nama Arhan, apalagi lelaki itu sudah berhenti menggunakan treadmill. Telinga yang disumbat dengan earpiece menghalang Aina daripada mendengar sebarang bunyi maka Aina tak dapat menebak sama ada Arhan masih ada lagi di sini atau pun tidak.

Kira-kira setengah jam kemudian, Aina berhenti. Botol dicapai. Niatnya mahu menggunakan peralatan lain pula.

"Arhan!" Tubuh Aina spontan berundur beberapa tapak ke belakang tetapi cepat-cepat dia kawal diri. Aina kembali berdiri tegak. Botol air dipegang sekejap-kejapnya. Berbakul makian dikhususkan untuk Arhan detik ini walaupun tidak terluah di bibir.

Arhan masih lagi di sini. Dia tidak menggunakan sebarang peralatan. Sebaliknya Arhan duduk di atas sit-up bench tanpa melakukan sebarang aktiviti. Fokus Arhan tertumpu sepenuhnya pada Aina.

"Apa pandang-pandang? Nak gaduh?" Selepas menyedari soalan itu tersangatlah kebudak-budakan, rapat-rapat Aina ketap bibirnya. Malu.

"What's wrong with you? Kenapa awak selalu lost control setiap kali dengan saya?" Tak diduga, soalan itu ditanya Arhan.

"Sebab awak suka buat saya terkejut," jawab Aina geram.

"Ka..."

Pantas Aina potong kata-kata Arhan. Sebelum lelaki itu menempelaknya, lebih baik dia letak noktah di situ.

"Saya tahu musuh El takkan announce kemunculan dia orang. I know it well but at least, dia orang takkan muncul tiba-tiba macam awak."

"Macam mana?"

"Macam inilah. Macam dulu. Tiba-tiba aje muncul jadi anak tukang kebun. Kononnya lari sebab pak cik gardener tu hutang dengan along. Sekarang pula, awak tiba-tiba muncul jadi Tengku Arhan Yuzlan. Setiap hari, tiba-tiba awak muncul depan saya dengan seribu satu perangai. Eh saya tak fahamlah."

Selang sesaat, Arhan mengajukan soalan seterusnya.

"Perangai apa?"

"Sekejap baik. Sekejap dingin. Sekejap sombong."

"Sekarang?"

"Sekarang ni awak tengah kepoh. Eh, sekejap. Kenapa saya layan soalan-soalan awak? Dan awak sendiri... Boleh tak stop tanya saya soalan macam-macam?"

Barulah Aina sedar sekarang. Setiap kali dia bercakap dengan Arhan, lelaki itu akan bertanya soalan bertubi-tubi kepadanya. Aina pula akan menjawab dengan polosnya sebelum dia tersedar dan kembali kepada topik asal.

Sepertinya omelan Aina ibarat angin lalu, Arhan tidak berikan sebarang respons. Kedua-dua tangan dibawa ke belakang kepala sebelum badan mulai duduk-baring. Detik itu, terserlahlah segala urat-urat di tangan Arhan. Segera Aina alihkan pandangan ke tempat lain. Aina tak berperasaan sama sekali walaupun wanita-wanita lain mungkin dah berdarah hidung menonton babak itu.

ANASTASIAWhere stories live. Discover now