Bab 7

1K 31 0
                                    

DI meja makan, Elyana dan Arhan rancak berbual. Ada saja isu yang mereka bincangkan namun di satu tempat, Aina diam membeku. Mulutnya sedang mengunyah nasi tetapi entah kenapa, Aina rasakan pasir melalui kerongkongnya. Punggung asyik merasa hangat, seolah-olah ada api marak menyala di bawahnya.

Sekali dua dia curi pandang Arhan. Terdetik dalam hati Aina, adakah dia tersalah orang? Benarkah Arhan dan Tengku Arhan Yuzlan ialah orang yang sama? Ya, Aina yakin firasatnya tepat. Tetapi kenapa Arhan bagaikan tidak mengenalinya? Lupakah Arhan padanya? Mungkin juga. Sudah berbelas tahun berlalu, tak mustahil kalau Arhan melupakannya. Tetapi bagaimana seorang anak tukang kebun boleh menjadi seorang Tengku pula? Arhan menipu? Identiti mana yang dia tipu?

"Akak..." panggil Elyana. Kalut Aina arahkan fokus kepadanya bilamana buih-buih soalan lenyap. Mata terkelip-kelip. Elyana muncungkan bibir pada iPhone X Aina di atas meja. Barulah Aina sedar ada panggilan daripada Khalidah.

Tubuh Aina berdiri lurus. Senyuman cuba dipamer agar kelihatan manis namun hakikatnya, Aina tahu senyuman itu kelihatan jelik sekali.

"Akak dah kenyang. Kau orang makanlah. Akak nak rehat sekejap dalam bilik," pamit Aina. Tanpa menunggu jawapan Elyana atau Arhan, Aina buka langkah seribu menuju ke biliknya. Isyarat mata sempat diberi kepada Syamel dan Naufal agar sentiasa berwaspada.

Sampai di bilik, barulah Aina menjawab panggilan Khalidah.

"Aina! Kenapa lambat sangat jawab call?!" Nyaring suara itu menyapa telinga Aina.

"Aina makan tadi. Tak perasan," jawab Aina acuh tak acuh. Sebenarnya, dia melamun dek memikirkan perihal Arhan namun Aina tahu, dia tak perlu laporkan perihal itu kepada Khalidah.

"Okey tak? El suka dia? Aina rasa dia orang sesuai tak?" Soalan-soalan diaju dalam nada perlahan tetapi penuh minat dan panasaran. Dapat Aina bayangkan muka kepoh Khalidah di sebelah sana.

"Okey. Suka kut. Hmmm, sesuai," jawab Aina pendek-pendek.

Aina tidak menipu bila dia katakan Elyana dan Arhan sesuai. Sekufu dari segi paras rupa dan latar belakang keluarga. Diukur dari tahap intelek, tetap juga mereka sepadan. Lihat saja betapa senangnya mereka mengulas isu perniagaan dan isu semasa.

"Hmmm, bagus. Berjalan lancar juga rancangan mama."

Tiba-tiba Khalidah bertutur dalam nada serius. Dapat Aina tangkap ada maksud tersirat di sebalik ayat itu. Rancangan berjalan lancar? Rancangan apa?

"Apa maksud mak?" Aina terus bertanya. Bayangan Elyana dan Arhan sudah ditendang keluar. Dup-dap dup-dap jantungnya menanti jawapan si ibu. Dan seterusnya mata Aina membuntang bagaikan mahu terkeluar dari soketnya!

"Kejadian kat Danga Bay tu... Mama yang rancang. Mama sengaja jadikan kes tu sebagai trigger untuk bangkitkan hal kahwin. Nasib baik Iskandar dengar cakap mama, setuju aje bila mama sarankan Tengku Arhan Yuzlan jadi menantu dia. Baguslah kalau El berkenan. Cepat dia orang berkahwin, cepatlah Aina terlepas daripada tanggungjawab untuk jaga dia." Bersahaja Khalidah tuturkan setiap patah perkataan, langsung tiada sebarang emosi diselitkan.

Aina terkedu. Kalau betullah apa yang dihadam akalnya...

"Mak... Upah orang... Maksudnya selama ni..." Tergagap-gagap Aina mahu menyusun bicara.

"Tak, bukan mama yang rancang kes-kes sebelum ni. Itu memang kerja orang lain. Kejadian kat Danga Bay aje kerja mama. Mama saja ambil kesempatan, upah orang untuk pura-pura culik El," beritahu Khalidah tentang rancangannya.

Istilah 'copycat' barangkali sesuai untuk menggambarkan tindakan Khalidah. Dia meniru idea musuh Elyana demi manfaat dirinya sendiri. Apa kebaikan yang Khalidah dapat? Dia dapat jauhkan Aina dari ancaman musuh-musuh Elyana!

ANASTASIAWhere stories live. Discover now