Saya tergamam. Memang tidak saya duga datuk akan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan sedemikian. Rasa cemas masih menguasai rongga dada saya.
"Kamu jumpa benda-benda pelik?"
Datuk terus sergah, bila melihat saya dalam keadaan tidak tentu arah. Saya segera menoleh ke kiri dan ke kanan.
"Cakap Tamar!" Gertak datuk.
"Ya tuk, ya saya lihat," bertalu-talu saya anggukkan kepala macam burung belatuk tebuk lubang.
"Tak mengapa," nada suara datuk merendah. Hati saya terasa damai, "perkara semacam tu memang tidak boleh dielakkan," sambung datuk. Saya merenung ke arah Pak Imam yang sudah pun menutup Al-Quran.
Pak Imam segera alihkan pandangan ke arah datuk. Bunyi buah durian luruh terus mengasak lubang telinga saya. Angin yang bertiup terasa cukup dingin sekali bila menyentuh kulit muka.
"Sudah, lupakan semua tu," datuk tatap wajah saya.
"Ya, lupakan," sahut Pak Imam sambil menghulurkan Al-Quran kepada saya.
"Kau ambil dan kau baca," datuk keluarkan arahan setelah melihat saya agak ragu-ragu mahu mengambil Quran yang dihulurkan oleh Pak Imam. Saya tidak boleh mengelak lagi. Sila pun saya kemaskan. Naskah Al-Quran sudah pun berada di tangan. Dan papan rehal segera datuk letakkan di hujung lutut saya.
"Kau bacalah Tamar, saya nak tidur sekejap," ujar Pak Imam. Segera saya renung ke arah datuk. Dia anggukkan kepala.
"Orang yang membaca Al-Quran dijauhi syaitan," tutur datuk lembut bersama senyuman. Bila datuk berkata demikian, ertinya dia menyuruh saya mematuhi permintaan Pak Imam.
"Mulakan, tunggu apa lagi," terdengar suara Mat Prai dari halaman. Entah berapa kali dia berlegar-legar di halaman pondok macam kucing jantan ketagih kucing betina. Serentak datuk dan Pak Imam merenung ke arah Mat Prai.
"Cuba kau duduk diam," datuk luahkan kata-kata untuk Mat Prai.
"Kalau duduk diam, badan terasa sejuk. Bila berjalan macam ni terasa panas," dalih Mat Prai. Pak Imam menarik nafas panjang dan datuk senyum sinis.
Bila saya memulakan bacaan Al-Quran (sebenarnya menyambung pembacaan Pak Imam), saya lihat Pak Imam segera rebahkan badan ke lantai. Datuk terus berdiri untuk memulakan sembahyang sunat malam.
Selesai saja datuk menyempurnakan sembahyang sunat malam, dia terus sandarkan belakang ke tiang pondok. Saya sudah faham, bila datuk berbuat demikian menandakan yang dirinya amat mengantuk. Beberapa saat kemudian, datuk terus berdengkur. Saya terus membaca Quran dengan tenang. Buah durian yang cukup masak terus jatuh ke bumi.
Mat Prai tidak mahu naik ke pondok. Masih berlegar-legar di halaman pondok. Setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, keadaannya menjadi tidak tenang dan tenteram.
"Hummmmm..."
Saya terkejut hingga Quran di depan tertepis ke kiri. Mat Prai melompat empat anak tangga dan terus duduk bersila di depan satya. Dengan rasa cemas dan hairan saya ambil Quran yang tertangkup di atas lantai.
"Kenapa?" Tanya saya.
Mat Prai tidak menjawab, malah bergerak menuju ke arah datuk. Bahu kanan datuk digoyangkan beberapa kali. Datuk membuka kelopak mata.
"Kamu minta kebenaran dari aku supaya Tamar menemani kamu mengutip buah durian," itu yang datuk luahkan dari mulutnya. Pak Imam yang tidurnya terganggu terus menggosok-gosok mata. Renung kiri, renung kanan. Akhirnya menatap muka Mat Prai.
"Ya, memang itulah niat hati saya Ayah Alang".
"Tak boleh kutip durian yang gugur," tiba-tiba Pak Imam bersuara. Saya terkejut. Apa hak Pak Imam melarang Mat Prai mengutip buah durian kepunyaannya. Barangkali Pak Imam juga tidak jujur. Mungkin dia ada maksud tertentu.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 8 ) (COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...