Gelak sinis Zainal membuatkan hatiku pecah berderai. Sendat dadaku menahan rasa pedih. Perasaanku mula bercampur baur. Tetapi, berpatah arang tidak sama sekali. Senyum palsu ini masih tersungging di bibir, cuba mengaburi pandangan Zainal daripada meneka kebenaran yang terbit daripada sekeping hati. Aku perlu meneruskan kepura-puraan ini, meyakinkan Zainal bahawa aku begitu teguh dengan apa yang baru terlontar dari dua ulas bibirku.
"Izzah, saya tak setuju.. kenapa awak minta saya berkorban sampai macam ni sekali? Kenapa saya Izzah? Kenapa saya?" Zainal menggeleng-geleng. Hampir tidak terkeluar suaranya menahan rasa tidak percaya.
"Patutlah awak dah berubah sejak akhir-akhir ni. Saya call tak jawab, atau kalau jawab pun.. selalu mengelak kan? saya mesej, whatssap..apa semua, awak tak ingin nak reply pun kan? jadi inilah puncanya." Serkap Zainal. Wajahnya jelas kecewa.
Buat seketika kami berdiam. Kaku bibirku untuk menepis kata-kata itu kerana semuanya benar belaka.
"Saya juga terpaksa Nal," keluhku hiba.
"Ulya tak minta Izzah, Ulya tak pernah cakap apa-apa pada saya. Kenapa awak pandai-pandai nak tafsirkan semua ni sendiri? kenapa awak tiba-tiba buat cadangan gila ni? saya tak setuju," bentaknya berang.
Aku mengetap bibir. Ulya tidak meluahkan pada Zainal. Benar, tetapi semua rasa yang terpendam bertahun lama itu sudah diluahkan padaku dua minggu lepas. Aku terperanjat besar sehingga hanya mampu membisu sepanjang dia bercerita. Sungguh sakit dan menyeksakan mendengar Ulya yang sudah aku anggap bagai saudara kandung sendiri bercerita tentang lelaki yang sudah lama dia idamkan. Lebih menyakitkan, kerana lelaki itu Zainal Iskandar. Lelaki yang bertakhta di hati ini.
"Saya tak ada apa-apa perasaan pada dia, Izzah. Tak ada. Tak pernah ada. Zero. Malah, saya tak pernah pandang dia lebih daripada seorang kawan. Saya berkawan dengan dia sebab dia kawan awak. Tak lebih daripada itu."
"Dia sukakan awak. Ulya cintakan awak. Dia dah lama cintakan awak, Nal.."
"So what??" Zainal menjerit marah. "Dia cintakan saya, dia suka saya... saya peduli apa? Itu masalah dia. Saya cuma sayang awak Izzah. Saya cintakan you. You know better. Selama ni hubungan kita terbina kerana kita berdua saling mencintaikan? Sayang, please..dengar sini, kalau awak rasa tersepit sekarang ni, saya akan berterus terang dengan Ulya, saya akan beritahu dia tentang hubungan kita."
"Nal, jangan!" tegahku. Ada kesal yang datang singgah di hati. Serba salah. Melihat keruhnya tampang Zainal, aku tahu dia berduka dengan keputusanku. Aku juga dalam persimpangan. Bukan sedetik dua aku berfikir untuk memutuskan hubungan ini.
"Apa yang awak nak sebenarnya ni? lepas dua minggu awak mengelak dari saya, tiba-tiba awak whatsapp saya kata nak jumpa, lepas tu awak bagi saya khabar berita macam ni. What do you expect me to do, Izzah? terima dengan senang hati? angguk setuju je? awak ingat saya apa Izzah? Hati batu? tak ada perasaan? saya lelaki. Saya ada ego saya, Izzah. Saya bukan lelaki yang awak boleh pijak sesuka hati."
Amarah Zainal membuatkan aku menarik nafas panjang. Tidak pernah terlintas di benak fikiran mahu menyusahkan dirinya. Rasa cintaku pada Zainal tidak boleh dijual beli tetapi aku juga tidak sampai hati melukakan hati Ulya. Lantas, jalan inilah yang aku rasakan paling tepat buat masa ini. Biarpun, kesudahannya aku akan derita.
"Saya tak pernah anggap awak macam tu Nal, sebab saya sayang you." Ujarku perlahan membuatkan Zainal terdiam kaku. Tunak matanya merenungku. Terpaku. Lama kami saling berpandangan. Bagai terbias di mataku pandangan kasih yang selalu dia lemparkan tatkala kami keluar bersama.
"What's happening to you Izzah? to our love? mana Izzah yang saya selalu sayang? Mana sayang saya?"
Terkedip-kedip mataku. 'Mana sayang saya?' Ah! pedihnya mendengar tuturan lembut penuh makna itu. Kata-kata yang selalu diucapkan Zainal dengan nada mengusik dan aku hanya mampu tersenyum malu.
"Saya.. saya tak jadi nak sambung belajar di sana. Saya dah terima tawaran di Malaysia. I 'm so sorry.." Aku dihimpit rasa bersalah,. Sedari awal lagi, aku sengaja menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuannya.
"Izzah!" Zainal terperanjat.
"Ulya ada. Ulya akan bersama awak di sana.."
"Ulya! Ulya! Ulya! Dah muak telinga saya dengan nama tu. No! Stop Izzah.. Saya tak nak dengar nama dia lagi. Saya tak datang ke sini untuk dengar nama dia. Izzah, apa awak buat ni? awak dah gila ke? lagi sebulan kita nak ke sanakan? Apa gunanya kita buat persediaan ke luar negara kalau you tolak saat akhir macam ni?"
"Ulya sakit Nal.. Ulya ada kanser," luahku tidak tertahan. Zainal terlongo dan tersandar di kerusi. Lama. Matanya terkebil-kebil. Dahinya berkerut sendiri. Akalnya sedang memproses apa yang baru sahaja didengari.
"Ulya sakit dan abang saya accident. Papa saya tak bagi saya ke luar negara. He needs me. Sebab tu saya tak boleh ikut awak dan Ulya," jelasku.
"Saya.. saya baru tahu tentang Ulya.. Dia satu-satunya sahabat saya Nal, kawan yang saya sayang dunia akhirat. Saya tahu dia tak akan setuju dengan keputusan saya tapi saya nekad, I have no choice. Jadi, Nal, kalau awak sayangkan saya.. kalau awak betul-betul cintakan saya.. tolong.. tolong jaga Ulya di sana," tersekat-sekat nafasku.
Zainal tergelak kecil. Kehampaan mewarnai anak matanya. "Macam ni awak nak saya balas rasa kasih saya pada awak, Izzah? sayangkan kawan awak sama?"
"Kahwini Ulya, Nal."
"Izzah!" Zainal terjerit. Mata-mata sekeliling tertoleh pada kami. Aku segan sendiri.
"Kahwini dia, supaya awak dan dia berbahagia di sana." Aku pandang dia,. Tanpa sedar, juring mataku basah. Biarpun sudah aku tahan sekuat hati. Aku tidak ingin kelihatan lemah di mata Zainal. Aku tidak ingin kelihatan terpaksa di hadapannya. Tetapi, aku gagal. Aku tetap tewas mengawal hati yang robek teruk kerana keputusan yang aku cipta sendiri.
"Sampai hati awak, Izzah. Awak permainkan saya. Cinta kita tak ada makna pada awakkan?" Lirih benar suara Zainal. Air mukanya berubah keruh.
Jawapanku hanya dengan anggukan sahaja. Jika itu boleh membuatkan Zainal setuju untuk melepaskan aku daripada hatinya, biarlah dia dengan anggapannya. Dengan sedikit teragak-agak aku melangkah pergi. Sedikit pun, aku tidak menoleh lagi. Takut, jika keyakinanku goyah kembali.
Air mataku menitis perlahan. Rasanya baru semalam aku berangan dan bertekad mahu menjadikan Zainal lelaki pertama dan terakhir di hati, hari ini, aku sudah terpisah jauh dengan dirinya. Maafkan saya Zainal.. maafkan saya kerana tidak dapat pertahankan cinta kita. Bisik hatiku pilu.
YOU ARE READING
PABILA KAU HADIR
Romance~Hulurkan hatimu, Dengan cintaku.. Akan kubawa dirimu keluar dari daerah sepi itu~Izzah -Tika merenung bintang, aku terkenang tentang kita- Iskandar