Nafas dihela berat untuk kesekian kalinya. Tarian jemari atas papan kekunci juga secara automatik terhenti. Denyutan di kepala memberi isyarat yang migrain aku bakal menyerang bila-bila masa.
Serta merta komputer riba yang menjadi teman setia dimatikan sebelum dimasukkan ke dalam beg. Aku banyak fikir lagi rasanya. Mana tidaknya, aku mana pernah buat kerja luar alam jadi penunggu bawah pokok macam ni. Selalunya aku terperap sahaja di rumah. Jadi katak bawah tempurung.
Tapi kali ini, entahlah. Rasa sesak dan semak dalam kepala terasa makin berselirat. Teringat perbualan aku dengan Nabihah tempoh hari. Apabila aku tiba-tiba putuskan untuk berhenti menulis kerana terasa benda yang aku suka itu seolah-olah parasit buat pelajaran aku. Aku penat.
"Bukan nak galakkan awak berhenti. Tapi bagi Biha ... selama Biha kenal NoHR, menulis tu dah jadi macam satu terapi untuk awak. Tempat untuk awak luahkan perasaan yang kadang-kadang tak terluah dengan kata-kata. Bukan sekadar hobi seperti yang awak sangka."
Bungkam. Aku memejamkan mata rapat cuba mencari sedikit ketenangan di balik bayu yang menderu menampar wajah. "Kalaulah aku boleh lari daripada semua ni," ucapku dengan nada rendah.
Tiba-tiba suasana yang terasa membahang cerahnya kini menjadi redup dek bayang yang menjengah. Pantas aku mendongak terkejut dengan kedatangan yang tidak disangka.
Dalam aku amati wajah lelaki itu. Dahiku mulai berkerut seribu. Anak mata masih lagi terpaku betul-betul ke arahnya Dia ...
Siapa?
"Kau mesti sedang menghadapi masalah kan? Ambillah kad ni, semoga masalah kau dapat diselesaikan," katanya menyentakkan aku yang gigih benar menggeledah ingatan.
Anak mataku lurus memandang kad berwarna hitam yang dihulur lelaki asing itu. Dalam kepala dah berkira-kira mahu menolak. Manalah tahu ini helah terbaru sindiket penculikan ke apa. Kalau dulu tabiatnya memberi gula-gula. Sekarang mungkin dah bertukar pada ... kad?
Wajah aku kelam memikirkan waras akal di balik spekulasi itu. Apa ke pelik benar taktik untuk menculik zaman sekarang ni? Kad pun boleh jadi bahan. Logik ke? Makin sakit kepala aku memikirkan setiap satu kemungkinan. Akhirnya, huluran itu aku sambut juga. Malas mahu melayan buah fikir yang dah jauh melalut entah ke mana..
Dalam keterpaksaan, senyum aku tarik seikhlas mungkin. Walaupun aku tahu wajah aku sekarang dah ada rupa arnab tercekik biji mangga. Aku mengangguk sedikit sebagai tanda berterima kasih di atas pemberiannya.
Keheningan yang menyelubungi suasana seusai itu menyebabkan beg sandang yang tersadai di sebelah aku sangkutkan ke bahu. Aku berdiri persis patung cendana, menunggu reaksi daripadanya tetapi nil. Jadi aku putuskan untuk berlalu pergi memandangkan urusan aku dan dia, mungkin sudah langsai.
"Oh, ya! Nama aku Amril," laungan lelaki itu mematikan langkah aku serta-merta.
Hujung bibir aku ketap kuat. 'Amril mana pula ni?' Denyutan yang aku rasakan kini semakin menggila. Aku tak peduli. Yang penting sekarang aku kena angkat kaki.
"NoHR," balasku pendek. Sejujurnya aku tidak terasa mahu memberi jawapan pun. Cuma aku perlu jadi lebih matang makanya, adab perlu diutamakan. Sesudah itu tapak aku atur ke hadapan laju.
Kad yang masih di tangan aku kerling sekilas. Dahi berkerut memandang tulisan di atas kad tersebut.
Kedai Magis Inkfinity
Marilah datang ke kedai saya.
Saya menjual cenderamata yang boleh
memakbulkan hajat dengan izin-Nya.
YOU ARE READING
Kedai Magika Inkfinity (On Hold)
Storie breviHai. Selamat datang ke Kedai Magika Inkfinity. Nama saya Urana Exszhana. Saya menjual banyak cenderahati yang comel-comel. Cenderahati saya bukan cenderahati biasa-biasa, kerana ia dapat memakbulkan harapan terdalam di dalam hati anda. Tutup mata, d...