"Ni , apahal senyum-senyum ?"
Wajah Charlisa dipandang. Pelik juga dengan gelagat Charlisa. Semenjak dia menapak masuk dan berdiri di pintu, gadis tersebut tidak berhenti senyum sendirian. Kehadirannya juga seolah tidak dipedulikan. Dia masih dengan gelagatnya senyum sendirian.
"Apa cer ? Senyum sorang-sorang ni ?" Sergahnya sambil menepis lembut tubuh Charlisa dengan jaket di tangannya. Gadis itu mengangkat wajah. Telefon di tangannya diletak ke atas meja.
"Awak, temankan Lisa keluar jap. Lisa nak cari beg sandang. Nak cari jajan sikit. Untuk bekalan," ujar Charlisa sambil bangkit dan mengambil telefonnya di atas meja.
Dia memandang gadis itu tanpa berkelip. Satu keluhan dilepaskan. Hatinya tidak senang mendengar ungkapan dari mulut gadis tersebut.
Dia baru sahaja balik dari luar. Rancangannya hendak berehat sahaja tapi bila mem besar sudah beri arahan, dia terpaksa akur.
"Saya mandi dulu. Awak masak nasi tak ?" Tanyanya lagi. Matanya tunak memandang batang tubuh yang berdiri di depannya itu.
"Ada. Lisa masak simple aje," jawab gadis itu dan melangkah ke dapur.
"Awak masak apa pun, saya akan makan," balasnya dan bangkit mengikuti jejak langkah gadis tersebut. Dia membelok ke arah bilik kamarnya di belakang, sementara gadis tersebut terus menuju ke dapur.
Charlisa mengambil pinggan nasi. Diletak ke atas meja makan. Tengahari tadi dia telah memasak nasi dan lauk ikan goreng serta sup sayur sahaja. Itupun disebabkan Ashman yang minta. Lelaki itu menelefonnya memberitahu hendak makan tengahari di rumah. Dia keluar sekejap kerana ada urusan kerjanya di hari minggu itu. Lelaki itu jarang lekat di rumah. Sibuk dengan kerja dan urusan peribadinya. Dia sendiri tidak pernah ambil tahu perihal lelaki itu. Dia tahu mereka hanya serumah tapi tidak sekamar. Walaupun lelaki itu kerap meminta dia untuk memasak setiap hari minggu dan dia dengan senang hati menyanggupinya.
Lauk dan sayur telah diletakkan ke dalam pinggan hidangan. Dia membancuh sejag jus oren dan meletakkan dua biji gelas. Hampir sepuluh minit juga dia menunggu lelaki itu muncul di pintu dapur.
Dia sudah menukar pakaiannya dan wajahnya juga kelihatan lebih segar selepas mandi.
"Awak masak apa ?" Tanya lelaki itu sambil menarik kerusi lalu duduk. Charlisa mengambil pinggan nasi kosong dan meletakkan beberapa senduk nasi. Dia kemudian meletakkan di depan lelaki itu. Segelas jus oren dituang dan dihulur kepadanya.
"Lisa masak simple . Ini aje,"jawab Charlisa sambil membuka tutup saji.
"Okey dah ni, awak masak apa sahaja saya makan," jawabnya dan menggosok tangannya. Dia kemudian membersihkan tangannya dengan teko yang disediakan oleh Charlisa. Tangan ditadahkan dan doa makan dibaca. Charlisa turut sama mengaminkannya.
Mereka makan sambil berbual mesra. Waktu ini sahaja mereka berdua berpeluang untuk berbual dan bercerita. Hari lain masing-masing sibuk dengan kerja dan Charlisa dengan kuliahnya.
"Lisa jadilah nak pergi perkampungan orang asli tu?" Tanya Ashman sambil menyuap nasi. Dia makan dengan berselera. Dia sudah serasi dengan air tangan anak bekas jiran sebelah rumahnya yang memang pandai memasak seperti ibunya juga.
"Jadi. Prof cakap seminggu juga berkampung di sana. Sebab itu Lisa plan nak ajak awak temankan, keluar beli barang sikit," jawab Charlisa. Dia mencubit sedikit lauk ikan goreng dan mengunyahnya perlahan.
"Jangan lupa beli ubat nyamuk, losyen dan barang keperluan peribadi awak tu. Kat sana mesti banyak nyamuk," ujar Ashman separuh berpesan. Dia sentiasa mengingatkan Charlisa apa yang perlu dibawa nanti.
"Awak ada kerja lain ke petang ni?"
" Takpe, kita selesaikan hal awak dulu. Saya boleh cancel program saya," jawab Ashman memberi jaminan. Dia tahu setiap hari minggu dia cuba luangkan masa bersama Charlisa. Itu janjinya kepada kedua ibubapanya. Janji untuk menjaga Charlisa dan kebajikannya. Gadis itu gemar mengikuti aktiviti luar. Kali ini dia bergabung dengan rakan bekas universitinya masuk ke perkampungan orang asli, aktiviti bersama masyarakat.
Akhirnya petang itu, pasangan itu menaiki kereta milik Charlisa menuju ke pusat bandar.
Mereka singgah di kedai hardware mencari bahan keperluan dan pelbagai keperluan lain. Kedai peralatan rekreasi juga dituju.
Akhirnya petang itu, bonet belakang kereta Charlisa penuh dengan barang keperluan. Jenuh Charlisa menolak apabila Ashman mengesyorkan beberapa barang keperluan tambahan.
"Awak ingat saya nak pergi menetap kat situ ke ? Semua benda awak nak suruh bawa," tempelak Charlisa geram sambil mencubit lengan Ashman yang berbaju kemeja lengan panjang.
"Sepit udang awak tu tetap tajam walaupun beralas baju saya," Ashman menyeringai sakit sambil mengosok lengannya yang beralas baju dipakainya. Charlisa ketawa ceria. Dia menuju ke tempat pemandu lalu masuk. Ashman juga membuka pintu disebelah pemandu. Apabila mengguna kereta Charlisa, gadis tersebut yang akan memandu sendiri keretanya. Begitu juga sekiranya mengguna kereta Ashman, lelaki itu yang akan memandu.
"Saya dah hantar servis Storm tu. Tayar spare pun ada dua. Hati-hati bawak 4x4 tu. Basikal awak pun saya dah check semuanya. Tayar bunga baru. Saya tukar untuk perjalanan lasak. Jangan lupa bawak charger telefon dengan walkie talkie. Awak selalu lupa salah satu," panjang lebar Ashman berpesan. Dia faham benar dengan sikap pelupa Charlisa. Semua benda harus diingatkan. Walaupun telah di list tetapi tetap ada yang cicir.
"Yes, sir ! Kalau boleh awak pun saya nak bawak ," jawab Charlisa sambil mengangkat tangan kanannya gaya tabik hormat. Tangan kiri mengawal stereng. Ashman mendegus. Dia menunjal kepala Charlisa dengan hujung jarinya seraya tertawa. Terhibur dengan sikap ceria Charlisa.
" Tiga minggu saya tak ada ni, awak jangan pula makan maggi ya. Kalau malas masak beli aje tapau kat kedai." Charlisa pula bersuara memesan.
"Yes, mam !" Jawab Ashman pula membalas tabik hormat.
Pasangan itu kelihatan gembira bersama dalam perjalanan pulang.
"Awak, saya nak makan ayam goreng. Awak belanja boleh ?"
"Hem ! Berhentilah !"
Mereka berpimpin tangan masuk ke dalam Restoran Makanan Segera itu dan sama-sama beratur memilih hidangan. Waktu itu pelanggan agak ramai. Mereka terpaksa beratur di belakang sekali.
"Awak pergilah duduk. Cari meja kosong. Biar saya beratur," ujar Ashman mencuit bahu Charlisa di depannya. Charlisa mengangguk dan meninggalkan Ashman beratur memesan makanan.
Mata Charlisa melilau mencari tempat duduk. Mungkin rezekinya apabila satu pasangan keluarga baru meninggalkan meja yang kelihatan bersepah dengan bekas makanan.
Charlisa segera duduk di situ dan menyusun bekas kotor itu.
Pelayan restoran datang membantunya dan membersihkan meja.
"Terima kasih cik," ujar Charlisa senyum mesra. Dia tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang membantunya.
Sambil menunggu makanan tiba, Charlisa memandang sekeliling restoran yang penuh dengan pelanggan.
Tidak lama kemudian Ashman tiba dengan hidangan makanan miliknya dan mereka menikmati makanan tersebut dengan ceria.
