Aku memandang ke luar tingkat kereta. Tiada langsung pemandangan yang cantik untuk diamati. Kelihatan hanyalah ladang kelapa sawit dan pokok getah yang tersusun rapi. Perasaanku ketika itu bercampur baur, tidak tahu mengapa. Lagu yang diputarkan langsung tidak diambil peduli kerana asyik berulang-ulang hingga naik muak dibuatnya. Fikiranku jauh melayang-layang dari jasad dan terasa tidak mahu pulang.
Apa aku nak buat bila sampai sana nanti ya?
Bisik hati kecilku ini. Kereta Estimaku sekeluarga memasuki sebuah lorong yang agak sempit. Pada bahagian kiri dan kanan dipenuhi semak samun yang tidak ditebas. Aku seakan-akan kenal laluan ini, tetapi tidak sebanyak ini semak samunnya sebelum ini. Akhirnya aku sekeluarga tiba di rumah nenek selepas 2 jam melentok di dalam kereta. Kelihatan seorang wanita tua berdiri di muka pintu terus tersenyum tatkala melihat kereta kami memasuki perkarangan rumah kayunya.
"Yeay!!! Dah sampai rumah Tok," jerit adik bongsu aku, Hana sambil memerhati sekeliling. Dia tidak sabar-sabar ingin bertemu dengan Tok. Abah memarkirkan kereta di bawah rumah. Sedikit saja lagi bumbung kereta akan terkena lantai rumah kayu itu. Sebaik saja pintu kereta dikuak, adikku melulu keluar menuju ke arah Tok sambil mengapit beg merah jambu kecilnya.
Tok tersenyum gembira melihat gelagat cucunya itu. Mereka terus berpelukkan. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke arah wanita itu. Tok terkejut melihat diriku. Aku berhenti melangkah, membiarkan Tok melihatku seolah-olah aku makhluk asing datang dari pluto.
"Tok, ke... kenapa tengok Nurin macam tu?" soalku kehairanan membetulkan baju kurung yang telah berkedut kerana duduk terlalu buas di dalam kereta tadi.
"Wah!!!" Wajah Tok bertukar teruja. "Dah besar panjang cucu Tok sorang ni!" Dia memeluk tubuhku yang masih langsing ini walaupun sudah bertambah berat beberapa kilogram. Aku membalas pelukkan eratnya itu sambil tersenyum. Pelukkan terlerai lalu aku berundur untuk mengambil beg dari but kereta Estima. Satu persatu adik beradikku beratur dibelakangku tadi bersalaman dengan wanita yang dipanggil, Tok itu. Aku sempat menjeling-jeling melihat wajah gembira Tok. Sudah lama kami sekeluarga tidak menjenguknya. Pasti dia terlalu rindu untuk berjumpa dengan cucu-cucunya itu.
"Marilah masuk dalam dulu..." ajak Tok selepas Encik Rosli, ayahku menutup pintu but dan mengunci pintu kereta. Kami mengangguk lalu menaiki tangga mengikuti Tok yang terkecoh-kecoh berjalan masuk. Sebaik saja memasuki rumah, aku terlopong sebentar.
Wah! Dah lainlah rumah nenek sekarang ni...
Desisku. Aku memerhati sekeliling rumah yang sudah tampak berbeza dengan kali terakhir aku menjenguk ke kampung. Langsir kuning ditukar kepada warna hijau lembut yang menambahkan kedamaian rumah kayu itu. Cadar kusyen juga ditukar warna kuning keemasan membuatkannya kelihatan seperti singgahsana raja di istana. Aku melabuhkan punggung di atas salah satu sofa sambil mendongkat dagu, tidak henti-henti memandang sekeliling.
"Termenung apa lagi Nurin? Pergilah letak beg dalam bilik tu." Tiba-tiba Puan Minah, ibuku bersuara terus mematikan lamunanku. Aku mengangguk lalu berjalan menaiki beberapa anak tangga ditengah-tengah rumah itu, yang mengasingkan ruang tamu, bilik Tok, dapur dan bilik air dengan bilik-bilik tidur dan sebuah lagi bilik air.
Aku menyelak langsir di tangga itu. Tap... Tap... Tap... Kedengaran tapak kaki seseorang seperti melarikan diri dariku. Aku terpaku seketika dihadapan langsir yang telah kembali tertutup itu.
Ada orang lain ke kat rumah Tok?
Getus hatiku menyambung langkah ke bilik yang sentiasaku huni ketika berkunjung ke rumah Tok. Bilik itu akan dikongsi bersama adik bongsuku, Hana, dan kakak sulungku, Kak Suzana. Aku menguak pintu bilik itu lebih luas. Namun aku masih tidak dapat melihat keadaan bilik itu dek langsir yang menghalang.
Tap... TapTapTapTap!!! Tapak kaki berlari-lari semakin kuat kedengaran dari dalam bilik itu. Aku terus menyelak langsir, tetapi tidak menjumpai sesiapa. Mujurlah hari masih siang, tidaklah aku ketakutan memikirkan hal bukan-bukan. Tap... Tap... Tap... Seseorang menghampiri aku, lantas aku menoleh bersedia berhadapan dengan sesiapapun. Langsir bilik itu diselak, kelihatan lembaga besar sedang memasuki bilik itu.
"Uh... kakak rupanya?" Kak Suzana memandangku hairan. Dia menggalas beg untuk diletakkan di dalam bilik itu. Aku menghembus nafas lega.
"Tepilah... Akak nak letak barang ni." Kak Suzana menolakku ke sisi, tidak tahan lagi menggalas beg yang berat itu. Aku mengangguk-ngangguk sebelum beredar ke ruang tamu. Bunyi tapak kaki tadi terus dilupakan sebaik saja aku melabuhkan punggung di ruang tamu bersama ahli keluargaku yang lain.
YOU ARE READING
AMNESIA
ParanormalKedatangan Nurin dan keluarganya di kampung nenek sebelah ibunya bagai tidak diundang, apabila mereka tiba-tiba dihantui satu roh jahat yang telah lama menyimpan dendam. Nurin, anak ketiga dari lima adik beradik itu menjadi penyiasat bagi merungkai...