BAB 3

406 11 0
                                    

Nawwar menghampiri lelaki itu. Beberapa saat berdiri, kehadirannya seakan-akan tidak dipedulikan. Tepat seperti jangkaan Nawwar. Dia sedang termenung. Macam dah masuk ke dunia lain saja gayanya.

Nawwar berdeham perlahan dan meletakkan cawan putih berisi karamel latte di hadapan lelaki itu. Tindakannya berjaya mengejutkan lelaki itu, mengembalikannya ke alam nyata.

"Karamel latte. Harap encik suka," ujar Nawwar berteman senyuman.

Lelaki itu mengangguk. Dia menyuakan telefon pintar di tangannya kepada Nawwar.

"Ada kata laluan," ucapnya.

Dahi Nawwar berkerut lagi. Sejak bila telefon rasmi kafe ada kata laluan?

Dengan persoalan yang bermain dalam kepalanya, Nawwar mencapai telefon yang dihulurkan. Patutlah pun. Dia tersalah bagi telefon peribadinya kepada lelaki ini. Nawwar tersengih malu.

"Maaf. Saya salah bagi telefon. Sekejap," balas Nawwar.

Dia menyeluk poket apron dan mengeluarkan sebuah lagi telefon. Dihulurkan kepada lelaki itu.

Lelaki itu menyambutnya. Matanya masih tidak lepas memandang Nawwar.

"Itu ibu awak?"soal lelaki itu.

"Maaf?" balas Nawwar.

Dia tidak faham dengan soalan yang dilontarkan.

"Gambar di skrin telefon itu. Ibu awak?" ulangnya.

Nawwar menatap skrin telefon miliknya.

"Oh... ya, ibu saya."

Lelaki itu mengangguk faham.

Nawwar mengukir senyuman nipis dan bersedia untuk berlalu. Malas dia mahu terus menunggu.

"Kalau encik dah sudah guna telefon tu, boleh serahkan kepada mana-mana pelayan di sini ya," ujar Nawwar.

Belum sempat dia melangkah, lelaki itu menahan.

"Sekejap. Saya perlukan pertolongan awak," balasnya.

Berkerut lagi dahi Nawwar. Tapi, dia menunggu juga. Lelaki itu mendail nombor seseorang.

Nawwar tidak berniat untuk pasang telinga. Dia cuba untuk memandang ke arah lain. Tapi, butir bicara lelaki itu terlalu jelas. Dia menyuruh seseorang menjemputnya di sini.

"Cik Nawwar..."

Lelaki itu menyeru namanya.

"Ah, ya?" balas Nawwar.

"Tolong beritahu kawan saya nama tempat ini dan kawasan apa. Maaf, saya tak tahu," ujar lelaki itu.

Nawwar mengukir senyuman dan mengangguk. Dia mencapai telefon dan memberitahu lokasi One Day Kaffe. Dia juga memaklumkan bahawa lokasi kafe boleh dicari dalam aplikasi Google Maps atau Waze.

Selesai membantu, telefon dihulurkan kembali kepada lelaki itu. Telefon disambut dan lelaki itu masih meminta Nawwar untuk menunggu di situ. Tiada pilihan lain, Nawwar terpacak sajalah buat beberapa ketika.

Setelah berbual, lelaki itu menghulurkan kembali telefon kepada Nawwar.

"Terima kasih," ucapnya.

Nawwar sekadar mengangguk dan mengukir senyuman. Dalam hati, dia berkira-kira ingin bertanya.

Adakah kereta awak rosak? Awak perlukan bantuan? Nak saya tunjukkan bengkel? Atau nak saya panggilkan mekanik ke sini? Atau awak sakit?

Tapi, persoalan-persoalan itu bagaikan tersekat di kerongkongnya. Takut andai dia dituduh menjaga tepi kain orang pula.

PERCAYA KATA CINTAWhere stories live. Discover now