BAB 8

288 11 0
                                    

BUAT seketika, tiada suara antara mereka bertiga. Zareef sudah penat agaknya hendak bersoal jawab.

Nawwar pandang Zareef yang diam membisu. Nampak Zareef cuba menenangkan dirinya daripada melepaskan kemarahan. Nawwar menggeleng. Dia mengalih pandangan ke arah budak itu semula.

Dik, baik kau jawab sebelum makhluk Allah ini meletupkan lava gunung berapi dia, bisiknya dalam hati.

"Kau tak nak jawab, kan? Bangun, kau bangun sekarang. Abang bawa kau pergi balai!"

Zareef memberi kata putus.

Hah, kan dah kata!

Nawwar mengetap bibir. Baru saja dia kagum dengan kelembutan lelaki itu memujuk tadi. Tapi, kalau dia di tempat Zareef pun, mungkin dia akan melakukan hal yang sama.

Kelembutan tidak jalan. Kenalah guna sedikit kekerasan. Takkan nak dibiarkan saja budak ini? Silap hari bulan, dia pergi mencuri barang orang lain pula.

Budak lelaki itu tiba-tiba menangis dan meronta.

"Jangan, bang. Aku minta maaf. Aku lapar! Dah dua hari aku tak makan. Janganlah bawa aku pergi balai. Adik aku tengah tunggu aku dekat rumah. Dia tengah kelaparan. Kesian dia,bang. Aku cuma nak duit, nak beli makanan. Aku tak tipu!"

Rayuan itu menyentak hati Nawwar. Juga membuatkan Zareef terdiam. Tidak jadi untuk menarik dan memaksa budak itu untuk bangun.

Melihat budak itu yang teresak-esak menangis, cengkaman tangannya dileraikan. Dia mengeluh perlahan dan memandang budak itu dengan pandangan simpati.

"Ampun, bang. Adik aku lapar. Kalau aku tak curi, aku tak ada duit. Aku cuma nak makan aje. Aku tak nak adik aku mati kelaparan," ucapnya dalam sendu.

Melihat sendu budak lelaki itu, hati Nawwar jadi walang. Nawwar palingkan wajahnya ke arah lain. Bimbang air matanya pula yang akan gugur.

Dia tidak pasti jika budak kecil ini sekadar berlakon atau ia benar-benar daripada hatinya. Tapi, jawapan itu seakan-akan tulus diucapkan. Tidak mungkin sekadar lakonan untuk melepaskan diri.

"Betul kau tak tipu?" soal Zareef.

Budak lelaki itu mengangguk dengan sendu yang masih berlagu. Sesekali dia menarik baju untuk mengesat air mata. Tapi, semakin dia cuba mengawal, semakin galak air matanya mencurah.

"Tapi kau tahu, mencuri tu berdosa. Banyak lagi cara lain nak cari makanan kalau kau betul-betul lapar," ujar Zareef.

Budak lelaki itu kembali menundukkan kepalanya.

"Nanti aku minta ampun dengan Allah," ucap budak lelaki itu.

"Aku dah minta makanan baik-baik, tapi tak ada orang nak bagi. Aku minta kerja pun, tak ada orang nak ambil aku bekerja. Semua halau aku, kata aku budak jahat," sambungnya.

Mendengar jawapan budak itu, empangan air mata Nawwar pecah akhirnya. Pantas tangannya naik menyapu air mata yang gugur.

Zareef juga kehilangan kata-kata. Seketika, mereka berdiam. Tangannya naik melurut tubuh budak lelaki itu yang masih tenggelam dalam tangisan.

"Dah, jangan menangis. Jom, abang belikan kau makanan. Kita beli untuk adik kau sekali," tutur Zareef.

Perlahan-lahan budak lelaki itu bangun. Takut-takut dia mahu mengekori Zareef.

"Ab... abang tak bawa saya ke balai, kan?" soalnya.

Perlahan saja nada suaranya. Tidak lagi beraku engkau.

Zareef tersenyum. Dia mengusap kepala budak lelaki itu perlahan.

"Aku pun tengah lapar. Kita pergi kenyangkan perut sama-sama."

Nawwar menguntum senyum mendengar jawapan Zareef. Sekali lagi dia berasa kagum. Zareef mempunyai keperibadian dan sifat empati yang tinggi. Mudah betul hatinya sejuk dan memaafkan.

Nawwar juga percaya. Budak kecil ini tidak menipu. Dia benar-benar dalam kelaparan.

"Cik Nawwar, boleh bangun tak?"

Soalan itu menyedarkan Nawwar. Baru perasan dia seorang saja masih bersila di atas pasir. Nawwar tersengih malu dan bersedia untuk bangkit.

Tapi, tidak berjaya untuk berdiri dengan betul. Buku lalinya terasa perit.

"Kenapa?" soal Zareef.

Nawwar ketap bibir menahan sakit. Aduh, kaki pun. Masa inilah kau nak terseliuh.

Nawwar sekadar tersenyum dan menggeleng.

"Tak ada apa. Kebas agaknya. Okey aje," balas Nawwar.

"Betul, okey? Ada sakit dekat mana-mana lagi tak?" soal Zareef.

Nawwar jatuhkan mata pada badan sendiri. Okey aje kut. Tak ada sakit dekat mana-mana lagi. Tapi, dahinya berkerut tatkala melihat tompokan warna merah di hujung kaki skirtnya.

Apakah? Darah ke?

"Tangan akak..." Budak lelaki itu bersuara.

Nawwar angkat kepala memandang budak itu. Tangan?

"Tangan akak berdarah," sambungnya.

Mendengarkan itu, Nawwar membelek tangannya. Oh, betul. Ada tompokan darah di bahagian siku. Mungkin tergesel batu saat jatuh tadi. Patutlah macam pedih.

Langsung dia tidak perasan kemeja yang dipakai terkoyak sedikit. Mujurlah dia memakai inner di bahagian dalam.

"Tak apalah. Sikit aje," balas Nawwar dengan senyuman.

"Adik okey ke? Tak ada luka dekat mana-mana?" soal Nawwar lalu tunduk memeriksa tubuh budak lelaki itu.

Dia menggeleng. Wajahnya bertukar sayu sekali lagi.

"Maaf kak," ucapnya.

"Tak apa. Akak okey aje. Adik kena janji, jangan buat macam ini lagi. Mencuri bukan caranya," pesan Nawwar.

Budak itu mengangguk.

"Saya bawa awak pergi klinik. Kaki awak pun nampak macam terseliuh tu. Kalau biarkan melarat pula nanti."

Zareef bersuara.

"Eh, tak payah susah-susah. Bukan apa sangat pun. Kaki ni, tuam sikit eloklah nanti. Betul, saya okey. Jangan risau," tolak Nawwar lembut.

Satu kerja pula hendak ke klinik dengan Zareef. Sudahlah pertemuan mereka ini adalah tidak disangka-sangka. Ah, tak payah mengada-adalah Nawwar. Setakat sakit sedikit, apalah sangat.

"Jangan macam tu. Kalau jadi apa-apa, kan susah? Jangan risau. Saya bayar kos rawatan. Saya bawa awak pergi klinik saja. Habis rawatan, saya hantar awak balik," ucapnya.

"Tak apa, Encik Zareef. Terima kasih banyak-banyak. Saya okey. Saya pergi dulu ya," balas Nawwar dan bersedia untuk melangkah.

"Cik Nawwar. Jangan degil boleh tak? Kalau melarat kan susah," ujar Zareef.

Nawwar ketap bibirnya geram.

"Saya tengah sakit ni, Encik Zareef. Kalau Encik Zareef tak mahu menambahkan sakit saya, tolong jangan memaksa macam ni. Saya dah kata saya okey, kan? Saya belum tahap nak pengsan pun lagi. Saya masih boleh berjalan sendiri. Assalamualaikum," ucap Nawwar.

Kali ini dia betul-betul pergi. Walaupun langkahnya perlahan, dia cuba untuk berjalan selaju yang boleh. Lantaklah kalau Zareef mahu menahannya lagi.

Sebelah kaki saja yang sakit. Sebelah lagi masih kuat kalau mahu menendang lelaki itu. Jangan berani nak cabar Nawwar Sufiy!

PERCAYA KATA CINTAWhere stories live. Discover now