BAB 6

320 11 0
                                    

NAWWAR mengeluh rimas. Terasa setiap langkah dan pergerakannya diperhatikan. Tingkah lelaki itu membuatkan dia sangat tidak selesa. Tapi, dia tidak akan mengalah.

"Kau boleh bezakan tak antara keperluan dan mengada-ada? Kalau tak ada barista yang boleh buat karamel latte dia tu, aku akan mengalah. Itu namanya keperluan. Sekarang ni, dia tu mengada-ada. Faham?" terang Nawwar.

Ini lagi seorang yang buat dia rimas. Siapa lagi kalau bukan Nadia. Tidak faham kenapa Nadia bersungguh-sungguh mahu dia melayan kerenah si Zareef itu.

Biarlah Zareef mahu mogok duduk di kerusi itu selama mana yang dia mahu. Biar sampai kematu punggungnya. Nawwar peduli apa. Hendak dihalau, bukan lelaki itu peduli.

Dia sudah buat kafe ini seperti rumah sendiri. Selamba dia saja membuat aktiviti peribadi tanpa memesan apa-apa selain karamel latte. Itu pun, dia tidak mahu minum jika bukan Nawwar yang buat.

Betul-betul tidak masuk akal!

"Dia nak berkawan aje kut. Apa yang kau marah sangat?" soal Nadia tidak puas hati.

Ini pertama kali sepanjang mereka berkawan, dia melihat seorang lelaki segigih ini mahu mendekati Nawwar. Selalunya, kalau Nawwar sudah tunjukkan yang dia tidak berminat, memang lelaki itu akan angkat kaki.

Tapi, tidak Zareef.

Sudah masuk hari ketiga dia datang tanpa memesan apa-apa, selain karamel latte. Masih juga mahu Nawwar yang buatkan. Dua hari lepas dia pulang dengan hampa.

Tapi, dia tetap tidak putus asa mencuba. Hari ini dia datang lagi. Sama seperti waktu sebelumnya. Dia akan datang dari waktu selepas zohor dan pulang sebaik masuk waktu asar.

Sikap Zareef yang satu itu juga yang membuatkan Nadia suka kepada Zareef. Sibuk hendak memikat Nawwar pun, tidak lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Itu yang lebih meyakinkan Nadia bahawa niat Zareef baik dalam mahu berkenalan dengan Nawwar.

"Tak terjejas pun kehidupan kau kalau kau buatkan karamel latte tu untuk dia. Kau sendiri yang rimas kan, bila setiap hari dia datang dan perhati kau? Turunkan sikit ego tu, pergi buatkan air untuk dia. Kan selesai masalah?" cadang Nadia.

Nawwar mengerling Nadia.

"Kau pasti? Bukan menambahkan masalah? Hari ini aku buat, esok dia akan minta lagi. Percayalah."

"Buat air aje pun. Bukan suruh kahwin!"

Nawwar merengus geram. Nadia ini memang minta ditonyoh cili ke mulut agaknya. Biarlah apa pun yang terjadi. Dia tidak akan sama sekali melayan Zareef. Tidak akan!

"Kak Nawwar, sini kejap."

Atila berlari ke arah kaunter, seakan-akan ada masalah besar.

Nawwar dan Nadia menghentikan sementara peperangan antara mereka dan mengekori langkah Atila. Mereka menuju ke arah sebuah meja yang diduduki pelancong asing.

"Mereka pelancong dari Jepun. Tak pandai bahasa Inggeris. Puas dah Tila cuba nak berinteraksi dengan dia orang. Tapi, tak boleh. Dia orang macam ada masalah dengan menu kita," jelas Atila.

"Dah cuba telefon Indra?"soal Nawwar.

"Dah. Tapi, tak angkat. Mungkin dia tengah memandu. Macam mana ni kak?" soal Atila.

Nawwar menggigit hujung bibirnya. Ini satu masalah.

Hanya Indra yang mahir dan menguasai pelbagai bahasa. Nawwar hanya menguasai bahasa Inggeris, Indonesia dan faham sedikit bahasa Korea. Tapi, tidaklah sepenuhnya. Itu pun kerana dia minat menonton drama Korea.

PERCAYA KATA CINTAWhere stories live. Discover now