Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Seorang remaja perempuan lengkap beruniform sekolah tercatuk di tengah-tengah koridor, tidak tahu mahu pergi ke mana. Beg masih tersandang di bahu, fail jad manila berwarna merah jambu, yang berisi dokumen penting pula dipeluk erat di dada.
Pelajar-pelajar sekolah yang lain, kebanyakkannya mahu ke kantin. Ada juga yang sibuk dengan hal sendiri. Gadis itu bagaikan halimunan di mata mereka.
"Adik?"
Gadis itu menoleh ke arah empunya suara, wajahnya tiba-tiba bertukar kemerahan dek segan. Seorang remaja lelaki yang kacak dan kelihatan lebih tua daripadanya sedang berdiri di sebelahnya, matanya merenung fail yang masih dalam pelukan itu. Dia beranjak sedikit ke tepi, mulutnya membisu.
"Tak pernah nampak adik sebelum ni. Pelajar baru ke?"
Gadis itu hanya mengangguk perlahan. Rasa malu masih menguasai. Matanya melirik ke arah tag nama pada kemeja lelaki itu - Rahmat Sallehudeen.
"Nak ke pejabat?"
Hanya anggukan perlahan sebagai respon.
"Mari. Abang tunjukkan."
Dengan perlahan, dia membuntuti remaja lelaki itu. Kepalanya tunduk ke arah lantai. Tangga paling hampir ke pejabat didaki selepas meminta kebenaran pemgawas bertugas.
"Nama adik, siapa?"
Remaja perempuan itu kelihatan teragak-agak.
"Adik boleh panggil abang, Salleh."
"Er... Baik, abang Salleh."
Salleh angguk sekali. Langkahnya terhenti di tingkat dua. Hampir sahaja gadis itu berlanggar dengan belakangnya.
"Er..." Salleh berpusing ke arah gadis remaja itu. "Adik jalan je terus. Pejabat ada di hujung koridor sana. Boleh pergi sendiri kan?"
Gadis itu hanya angguk sebagai respon.
"Okey. Abang pergi dulu."
Salleh terus berjalan ke arah tangga.
"Mawar."
Langkah Salleh terhenti seketika. Dia berpaling ke arah remaja itu. "Ha?"
"Nama saya Mawar. Mawar Baiduri."
"Er...Baiduri..." Salleh senyum janggal. Sudahlah nama sekolah ini...
SMK Taman Baiduri.
"Ya. Saya tahu. Nama sekolah kan. Sebab tu panggil saja saya, Mawar." Gadis itu tunduk seketika. "Terima kasih, abang Salleh."
Salleh hanya senyum sambil mengangguk. Sekejap sahaja dia menghilang dari balik tangga, kemudian muncul di tingkat bawah, sedang berlari-lari anak. Gadis itu pula mengukir senyum malu sebelum berjalan ke arah pejabat sekolah.
YOU ARE READING
Trance : Valentino
Mystery / Thriller*Cerita pendek yang panjang eheheheh* Apa yang akan anda lakukan apabila anda diberitahu bahawa seseorang ada crush dengan anda? Itulah yang dialami Salleh. Disebabkan satu insiden yang menyebabkan dia dan Andi dituduh pasangan cinta sejenis, dia t...