"Cikgu, ini semua salah fahamlah..." Salleh berkata, ada nada kesal dalam suaranya.
"Betul, cikgu. Kami tak buat apa-apa," kata Andi pula, dahinya yang mula kemerahan diusap sebelah tangan.
Cikgu Zana, guru kaunseling baru, sedang merenung dua remaja lelaki, pakaian masing-masing sedikit basah dan berlumpur, yang sedang berdiri tegak di hadapannya. Dia menggantikan Cikgu Lim buat sementara - dek kaunselor sekolah itu ditimpa kemalangan jalan raya tiga minggu sebelum musim persekolahan bermula, dan masih lagi bercuti rehat. Almaklumlah, patah tulang kaki kanan dek dirempuh PATI yang menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.
"Tak sengaja? Tak buat apa-apa? Kamu berdua bercumbu dalam tandas! Siap berguling atas lantai lagi. Saya sendiri nampak, ya!" Cikgu Zana berpeluk tubuh.
"Kami tak bercumbu!" Kedua-duanya berkata serentak.
"Yalah tu," kata guru itu sambil senyum sinis. "Saya dah call ibu bapa kamu berdua, biar mereka dengar sendiri."
Salleh hela nafas. Nampak sangat guru itu enggan percaya pada hal sebenar. Dahi yang terasa perit dibiarkan sahaja.
(...)
*Beberapa minit sebelum*
Langit mula mendung kembali, selepas hujan renyai di awal pagi. Kebanyakan pelajar sudah meninggalkan kawasan sekolah walaupun jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Cuma ada beberapa orang pelajar sahaja yang tinggal di sekolah, juga guru-guru yang menguruskan program yang berlangsung pada hari ini.
Hari ini hari Sabtu. Hari 'Maraton Baiduri'. Mujur juga sepanjang maraton berlangsung, hujan tidak turun langsung. Cuma padang sahaja - di mana larian maraton itu berakhir - masih berlecak dek hujan awal pagi itu. Adalah beberapa orang yang tergelincir sebelum sampai ke garisan penamat.
Dan, disebabkan itu, ada beberapa orang yang mengambil kesempatan untuk mandi di tandas berhampiran padang - yang juga satu-satunya tandas yang dilengkapi shower di kubikel paling hujung. Siap bilas baju kotor di sana lagi walaupun tiada sabun untuk membasuh. Maka, lantai tandas yang asalnya kering dan bersih itu kini dibasahi dengan tompokan lumpur merata-rata.
"Kotornya lantai..." Gumam Andi perlahan sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam tandas. Salleh mengekori dari belakang.
"Gasaklah. Dah tak tahan..."
Salleh, yang memegang perutnya yang terasa memulas sejak tadi, terus berlari masuk ke kubikel paling hampir dengan pintu tandas. Andi hanya menggeleng sambil sengih. Langkahnya terus menuju ke kubikel bersebelahan.
(...)
Paip dibuka, lalu tangan dibasuh bersih. Andi membetulkan sedikit rambutnya di hadapan cermin - hanya sekeping sahaja yang wujud walaupun ada tiga singki berderet di situ. Yang lainnya, sekadar lubang kecil di dinding.
Tanpa dia sedari, Salleh menghampiri Andi dengan perlahan dan tanpa suara, bagaikan pencuri, sambil sengih nakal. Serendah mungkin dia membongkok sambil berjalan, mengelakkan diri dari kelihatan di cermin itu. Setelah agak hampir, dan Andi masih tidak menyedari keberadaan Salleh di sebelahnya, Salleh terus berdiri tegak dengan laju.
"Boo!" Tangan Salleh terus menepuk kuat bahu Andi.
"Wah!"
Andi terus tergelincir, melanggar kaki Salleh, lalu mereka berdua terjatuh di atas lantai tandas. Kebetulan pula Cikgu Zana bersama beberapa oramg pelajar lalu di hadapan tandas itu. Pintu tandas terus dibuka. Mata mereka membulat.
"Apa yang kamu berdua buat ni?" Cikgu Zana berteriak apabila di hadapan matanya, dua orang pelajar lelaki di atas lantai tandas, salah seorangnya menindih rakannya, dan...
Muka masing-masing bagaikan bercantum.
(...)
Puan Fauziah mengetuk pintu Bilik Kaunseling di mana Andi dan Salleh kini menghadap Cikgu Zana. Pandangan Cikgu Zana terus beralih dari mereka berdua kepada Puan Fauziah.
"Ya, ada apa, puan?" Cikgu Zana bertanya.
"Saya ibu Salleh, cikgu ada call ke?"
"Oh. Ibunya Salleh ya... Masuklah, puan." Cikgu Zana senyum penuh makna. Sesekali dia menjeling dua pelajar itu - yang bagaikan sudah putus asa mahu meyakinkan guru itu, bahawa mereka sebenarnya saling berlaga kepala dek terjatuh, dan bukan bercumbu.
"Ada apa cikgu panggil saya ni?" Puan Fauziah terus bertanya sebaik sahaja masuk ke dalam bilik Kaunseling itu.
Cikgu Zana diam sebentar, bagaikan memikirkan ayat yang sesuai untuk dikatakan.
"Anak puan ni... Dia dah terpengaruh dengan gejala LGBT."
Dahi Puan Fauziah berkerut seketika. Dia kemudian pandang Salleh dan Andi bersilih ganti. Dia kemudian pandang semula Cikgu Zana.
"Maksud cikgu?"
"Saya nampak mereka bercumbu dalam tandas tadi. Kalau dibiarkan, mereka akan jadi... Gay. Kunyit."
"Bercumbu?"
Puan Fauziah merapati Salleh, lalu merenung dalam-dalam wajah anaknya. Dia kemudian pandang Andi pula. Sekadar merenung, tanpa sepatah kata.
"Jadi... Itu sahajakah yang cikgu nak beritahu saya?" Puan Fauziah bertanya selamba. Riak wajah Cikgu Zana terus berubah terkejut.
"Maksud puan?" Cikgu Zana bertanya. "Takkan puan nak biar anak puan jadi kunyit?"
"Cikgu pasti ke, cikgu nampak mereka bercumbu?"
Cikgu Zana angguk laju.
"Cikgu nampak macam mana?" Puan Fauziah bertanya. Bagaikan detektif pula lagaknya.
"Er... Mereka baring di atas lantai tandas. Anak puan di bawah, kawannya di atas."
"Okey..." Puan Fauziah angguk sekali. "Tapi kenapa saya nampak dahi mereka lebam ya? Bibir mereka elok je. Tak bengkak atau merah pun."
Cikgu Zana terus bungkam.
YOU ARE READING
Trance : Valentino
Mystery / Thriller*Cerita pendek yang panjang eheheheh* Apa yang akan anda lakukan apabila anda diberitahu bahawa seseorang ada crush dengan anda? Itulah yang dialami Salleh. Disebabkan satu insiden yang menyebabkan dia dan Andi dituduh pasangan cinta sejenis, dia t...