Bab 5

2.2K 28 0
                                    

Daun pintu bilik Izham diketuk bersama debaran. Sejak malam tadi lagi hatinya tidak tenang memikirkan pertemuan itu malah debaran dalam hatinya langsung tidak berkurang sehingga pagi ini. Semakin waktu menghampiri pukul sebelas pagi, semakin kuat debarannya terasa. Dalam kepala pula ligat berteka-teki tujuan sebenar lelaki itu ingin menemuinya. Paling ditakuti andai pertemuan itu ada kaitan dengan kerjanya yang juga merupakan sumber rezekinya di situ.

"Masuk."

Terdengar lantang suara lelaki menyahut dari dalam, degupan di dada Safiya semakin kuat dan terasa hampir pecah. Matanya dipejamkan dan dia terus beristighfar untuk meredakan perasaan sendiri. Sebaik debarannya sedikit reda, tombol pintu dipegang dan perlahan-lahan dipusingkan. Dengan helaan nafas, daun pintu terus dikuak.

"Assalamualaikum," sapanya dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

Izham mendongak dan tubuhnya terus disandarkan ke kerusi. Melihat Safiya di hadapan mata, degupan di dadanya terus menyapa. Arghhh! Kenapa tiba-tiba dadanya berdebar? Cuba berlagak tenang, duduknya dibetulkan.

"Waalaikumussalam. Silakan." Tangan ditunjukkan ke arah kerusi di hadapannya memberi arahan kepada Safiya supaya duduk.

Safiya akur. Langkah dibuka kembali. Sebaik berdiri di hadapan Izham, kerusi ditarik dan dia terus duduk. Melihat raut tenang di hadapannya itu, debaran di dadanya surut tiba-tiba. Perkara yang berlegar di dalam kepala juga terus hilang entah ke mana.

"Hurm... Kenapa Encik Izham nak jumpa saya?" soalnya teragak-agak.

Wajah tenang itu dipandang bersama kerutan. Sejak bekerja di situ berbelas-belas tahun yang lalu, hanya beberapa kali sahaja dia pernah berurusan dengan Izham. Itupun ketika dia baru mula bekerja. Setelah Izham dinaikkan pangkat, memang tidak pernah lagi mereka bersemuka kecuali terserempak di mana-mana majlis atau acara anjuran syarikat tetapi tidak pernah bertegur sapa.

"Maaf kalau saya terpaksa menggunakan cara yang agak sarkastik begini untuk bertemu dengan Fiya." Izham memulakan bicara. Tenang dan lancar sahaja tutur katanya. Sememangnya dia sudah bersedia untuk meluahkan apa sahaja yang bermain dalam kepalanya kepada wanita itu. Selebihnya biar Safiya yang menentukan sendiri.

Kerutan di dahi Safiya semakin berlapis-lapis. Sungguh! Dia tidak faham.

"Errr... Maksud Encik Izham? Errr... Saya... Tak faham." Polos dia bertanya dan degupan di dada kembali menyapa.

Izham senyum segaris dan duduknya dibetulkan agar lebih selesa.

"Saya tahu mungkin pertemuan ini akan membuatkan Fiya rasa tak selesa, tapi saya nak Fiya tahu setiap apa yang akan saya katakan ini adalah lahir daripada hati saya yang ikhlas," ucapnya membuka bicara. Wajah resah di hadapannya itu dipandang dengan senyum segaris yang masih terukir.

Air muka Safiya berubah tiba-tiba dan degupan di dada semakin tidak sekata. Ya Allah, entah apalah yang Izham ingin perkatakan agaknya? Aduh! Berdebar pula dia rasa.

"Saya ingin melamar Fiya untuk jadi isteri saya." Izham menyambung bicaranya. Tenang, yakin dan bersahaja.

Safiya ternganga dan Izham dipandang tidak berkelip. Izham, COO syarikat dia bekerja melamarnya? Betulkah apa yang baru dia dengari itu? Dia bukan bermimpi, kan? Oh! Tuhan.

Melihat reaksi Safiya, senyum Izham tersungging lebar. Sudah dia agak begitulah reaksi yang akan dia terima.

"Saya tahu semua yang awak lalui, Fiya. Tentang bekas suami awak. Tentang kesusahan awak mendapatkan apa yang awak miliki sekarang dan tentang kesakitan yang awak tanggung kerana dikhianati oleh orang yang pernah awak cintai," ucapnya dengan nada yang masih seperti tadi sedang mata langsung tidak berkalih merenung wajah yang kebingungan itu.

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now