Bab 12

1.6K 17 0
                                    

"Hurm... You ke Safiya?" Sambil bersandar di kerusi dengan kaki bersilang, susuk tubuh Safiya dikerling bersama cemikan. Hurm... bertudung rupa-rupanya, ejeknya dalam hati. Wajah isteri Farhan itu diamati pula. Cantik, memang dia akui isteri Farhan cantik orangnya tapi penampilannya kelihatan biasa sahaja. Dengan mengenakan blaus ungu dan slack hitam, wanita itu tetap nampak kolot walaupun Safiya seorang yang berkerjaya. Patutlah Farhan tergila-gilakan dia yang seksi dan pandai bergaya.

"Ya." Safiya bersahaja. Pandangan sinis wanita di hadapannya itu dibalas tanpa perasaan.

"I, Maya. Rasanya tentu you dah kenal siapa I, kan?" sinisnya.

Safiya mendengus kecil. Maya dijeling benci.

"Kenapa nak jumpa saya? Nak minta izin saya untuk berkahwin dengan Farhan?" semburnya melepaskan geram. Perempuan tak tahu malu. Merampas hak orang tapi langsung tiada rasa bersalah.

Maya tergelak kecil. "Minta izin?" Kepala digeleng.

"Tak... I tak perlu minta izin dengan you sebab I tahu Farhan tetap akan kahwin dengan I walaupun you tak izinkan," selambanya.

Melihat reaksi wanita itu, sekali lagi dengusan dilepaskan. Ya Allah, Kau sabarkanlah hatiku ketika berdepan dengan wanita seperti ini, bisiknya dalam hati. Bimbang dia andai tangannya tiba-tiba naik ke muka cantik itu. Maklumlah, sabar dia pun ada hadnya. Bimbang juga andai emosi menguasai akal.

"Kalau dah yakin dapat kahwin dengan Farhan, kenapa perlu jumpa saya lagi?" sindirnya pula.

Maya ketawa lagi, lebih sinis daripada tadi.

"Sebenarnya I sengaja nak tengok siapa isteri Farhan. Hurm... Barulah I tahu kenapa Farhan selalu kata tak berselera tengok you..." kata-katanya terhenti sedang mata tajam melirik ke arah Safiya.

"Emmm... Macam mak cik-mak cik," ejeknya.

Air muka Safiya terus berubah. Amboi! Sedapnya mulut mengata. Dia ingat dia tu cantik sangat? Dengan make up tebal berinci-inci tu dia ingat dia lawa? Macam badut sarkas saja lagaknya. Sudahlah pakai baju ketat menampakkan susuk tubuh. Duduk pula mendada begitu. Sengajalah tu hendak menunjukkan nasi lemak lima ringgit dia tu! Pakai push up bra bolehlah. Cuba buka, entah-entah dah terlondeh juga. Hati membebel geram.

"Lebih baik nampak macam mak cik daripada orang tu yang dah memang layak dipanggil mak cik tapi masih tak sedar diri!" Ha! Ambik! Sekali dia bagi memang padu. Biar perempuan itu sedar diri sedikit.

Maya tegakkan tubuh dengan muka berkerut geram.

"Kau cakap apa? Aku tak sedar diri?" marahnya dengan suara yang sudah naik senada.

"Terasa ke?" Safiya senyum segaris. Kalau diikutkan hatinya, hendak saja dia ketawa tetapi takut pula dibaling dengan gelas. Tak pasal-pasal jadi drama pula pada waktu-waktu hampir senja di kedai mamak itu nanti.

"Cakap tu baik sikit! Walaupun aku dah 45 tahun, aku lebih bergaya daripada kau. Sebab itulah laki kau tergila-gilakan aku!" bedilnya.

"Kak Maya... Emmm... Saya panggil kak, ya, sebab saya tak nak jadi kurang ajar. Lagipun akak memang lebih tua daripada saya." Sengaja Safiya memprovokasi. Geram pula dia dengan perangai tak semenggah bakal bini baru Farhan. Hurm... Perempuan begini yang menjadi pilihan Farhan rupa-rupanya. Kesian!

"Untuk pengetahuan akak, sebenarnya saya tak hairan pun kalau akak nak ambil suami saya. Ambillah... Saya bagi free aje sebab saya pun dah lama tak ada hati dengan dia. Saya bersama dia sebab anak-anak aje. Bila akak nakkan dia, lega rasa hati saya sebab dah tak payahlah saya nak tanggung beban lagi," selambanya dan terus berdiri.

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now