Bab 15

2.7K 37 9
                                    

Grand Continental Hotel, Kuala Terengganu.

Masuk sahaja ke dalam bilik, luggage yang dibawa terus diletakkan di tempat yang disediakan. Tudung yang tersarung di kepala dibuka lalu ikatan di rambutnya dileraikan dan dikemaskan. Perut yang mula berkeroncong dipegang. Apa tidaknya, sejak pagi tadi dia hanya menjamah sebuku roti coklat sahaja. Memang menjadi kebiasaannya apabila memandu sendirian, dia tidak akan berhenti makan di mana-mana. Kurang selesa dan takut sebenarnya. Maklumlah, bila bersendirian macam-macam hal boleh berlaku.

Perutnya berbunyi lagi. Tidak terus tercegat di hadapan cermin, dia berjalan menuju ke katil. Telefon dicapai lalu nombor F&B ditekan. Setelah membuat pesanan, tubuh terus direbahkan ke atas tilam.

Perlahan-lahan nafas dihela dan matanya dipejamkan sambil menggeliat kecil untuk menghilangkan rasa letih kerana memandu sendirian hampir tujuh jam lamanya. Nasib baiklah dia bergerak seawal tujuh pagi, jadi dapatlah dia memandu dalam keadaan tenang. Hairi dan Fauzan pula akan bertolak dari Kuala Lumpur selepas maghrib nanti. Orang bujang seperti mereka bolehlah. Dia memang sudah tidak larat hendak memandu pada waktu malam. Hendak menumpang mereka, tak mahulah dia. Segan rasanya.

Izham? Entah, dia sendiri pun tidak pasti Izham ke situ dengan apa. Mungkin dengan kapal terbang atau memandu sendirian. Sejak perbualan mereka tempoh hari, mereka langsung tidak berhubung lagi. Izham pun hanya senyap sahaja. Mungkin sudah faham apa yang dia maksudkan agaknya.

Biarlah! Lagi senang hidup dia, desis hatinya. Teringatkan yang dia belum solat zohor lagi, dia bingkas bangun. Luggage dibuka dan telekung yang dibawa dikeluarkan kemudian tubuh terus diloloskan ke dalam bilik air. Usai menunaikan solat, tubuh direbahkan ke atas katil dan mata dipejamkan semula.

Baru sahaja dia ingin terlelap, tiba-tiba dia terdengar loceng pintu biliknya berbunyi. Mata dibuka dan pandangan dibuangkan ke pintu. Teringatkan pesanan untuk makan tengah harinya tadi, dia bingkas bangun. Tudung yang disangkutkan di kerusi dicapai dan disarungkan ala kadar ke kepala. Dengan tergesa-gesa kaki diayun menuju ke pintu. Tanpa menjengah melalui cermin kecil di pintu, daun pintu terus dikuak. Sebaik wajahnya diangkat, Safiya tergamam dan tetamu yang tidak diundang di hadapannya itu dipandang tidak berkelip.

"Assalamualaikum," sapa Izham dengan senyuman.

Safiya berdeham. Tudung yang hanya dililit ala kadar, lekas-lekas dikemaskan.

"Waalaikumussalam," jawabnya sedikit kalut. Haih! Macam mana pulalah Izham boleh tahu yang dia menginap di hotel itu dan tahu nombor biliknya?

"Maaflah kalau saya mengganggu." Melihat kekalutan Safiya, Izham serba salah. Dia pun main aci redah sahaja. Bukankah lebih elok kalau dia telefon Safiya terlebih dahulu sebelum dia ke situ?

Safiya sengih sahaja. Hendak mengakui yang lelaki itu sememangnya mengganggu ketenangannya, tidak terluah pula.

"Errr... Macam mana Encik Izham boleh ada dekat sini? Emmm... Maksud saya, macam mana Encik Izham boleh tahu saya stay dekat sini dan ini bilik saya?" soalnya polos.

Izham tergelak kecil. "Saya rasa tak susah nak tahu Fiya stay dekat mana." Kening dijongket.

Teringatkan penginapannya itu ditempah oleh HR, Safiya ketap bibir. Haih! Sudah tentulah Izham akan tahu! bisiknya.

"Hurm... Maknanya, Encik Izham pun stay di sini?" Teragak-agak dia bertanya.

Bersama anggukan, Izham tersenyum. "Bilik saya selang dua buah dari bilik Fiya." Biliknya ditunjukkan. Memang sengaja dia memilih bilik berdekatan dengan bilik Safiya.

Safiya ternganga. Bulat matanya memandang arah yang ditunjukkan lelaki itu. Jadi maknanya, dia menginap satu tingkat dengan Izham? Arghhh! Semakin dia cuba menjauhkan diri, semakin dekat pula Izham dengannya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 27, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cinta KeduaWhere stories live. Discover now