Bab 1

5.8K 73 0
                                    

PROLOG

Hujan lebat yang turun dari langit tidak mematahkan semangat beberapa orang bomba yang bertugas mengalihkan kenderaan berat yang menghimpit sebuah kereta Hyundai Sonata bewarna putih.

Kemalangan dahsyat itu berlaku disebabkan pemandu lori kontena gagal mengawal kenderaan yang melalui jalan licin. Kemungkinan besar kerana lori dipandu dengan laju sedangkan jalan dalam keadaan licin kerana dibasahi hujan.

Apa yang lebih malang, lori itu telah menghimpit sebuah kenderaan lain sebelum terbalik di pinggir jalan di Lebuhraya Pantai Timur itu.

Seorang anggota polis menghampiri pegawai bomba yang bertugas. Beberapa orang penjawat awam yang lain dilihat sedang cuba menyelamatkan mangsa yang sudah dikeluarkan dari kereta yang remuk.

"Bagaimana keadaan mangsa?" tanya anggota polis.

"Lori sudah dialih tapi kereta tu remuk teruk. Mangsa berjaya dikeluarkan tapi kedua-duanya dalam keadaan cedera parah. Mangsa lelaki tu, selain cedera di kepala, mukanya penuh dengan kaca dan mangsa perempuan tu saya tengok dah macam nyawa-nyawa ikan akibat pendarahan di kepala. Pihak hospital akan segera hantar kedua-duanya ke hospital," terang anggota bomba. Dia sudah biasa mengendalikan kes sebegitu dan berharap mangsa yang merupakan seorang lelaki dan seorang perempuan boleh diselamatkan. Hanya Allah sajalah yang menentukan nasib kedua-duanya.

"Ada apa-apa pengenalan?"

"Ini ada beg tangan yang diambil dari kereta tu. Ada pengenalan mangsa kat dalam. Telefon bimbit pun masih elok. Cuma kami tak jumpa pengenalan mangsa lelaki. Mungkin dalam poket seluar dia. Tuan boleh tanya pihak hospital."

Anggota polis itu angguk dan mengucapkan terima kasih sebelum beredar. Dia membuka beg tangan dan mengeluarkan sebuah pasport bewarna merah hati lalu membaca nama pemiliknya.

"Aira Tihani binti Emran."


BAB 1

"Abang, bangun sayang..."

Suara gemeresik itu umpama melodi indah yang menyapa pendengaran. Andika masih memejam mata. Dia senyum apabila terasa ada hembusan perlahan di telinganya.

"Bangunlah, sayang..." Suara gemeresik itu masih cuba mengejutkan dia daripada tidur.

Pap!

"Auw!!!"

Andika rasa pipinya pijar akibat ditampar. Suara gemeresik hilang diganti pula dengan suara halus yang bising.

"Bangunlah, papa! Bangunlah, papa! Bangunlah!

Andika segera membuka mata. Tangan kecil masih menampar muka dan lengannya.

"Sofia... Kenapa tampar muka papa? Sakit tau?"

Andika bangun dari perbaringan. Dia pandang wajah anaknya, Sofia Tihani yang berwajah cemberut sambil memeluk tubuh. Lagak gaya seperti seorang ibu yang marah anak lelakinya bangun lambat.

"Papa janji nak buat Pia sarapan... Mana lempeng Pia?"

Andika meraup wajahnya. Aduhai... Dia tertidur pula selepas balik solat subuh di masjid.

"Dah pukul berapa ni, Pia?"

"Manalah Pia tau, papa. Pia kan tak reti tengok jam," jawab anak kecil itu. Andika ketawa kecil.

"Sorry, sayang... Papa lupa. Papa Juna mana?"

"Belum bangun..."

"Belum bangun?"

Andika geleng kepala. Bertuah punya adik. Sebelum pergi masjid tadi aku dah gerak, sekarang pun dia tak bangun lagi? Entah dia solat subuh ke tidak tadi! Jaga kau!

Seindah Tujuh Warna PelangiWhere stories live. Discover now