Aira memakai sarung tangan getah yang diambil dari kotak first aid. Kemudian dia mengambil sedikit kapas. Sofia dan Andika hanya jadi pemerhati setiap perbuatannya. Aira memegang tangan Andika lalu dia membersihkan darah yang masih mengalir di tapak tangan.
"Auch!"
Andika sengaja menjerit dan buat muka sakit.
Aira mengerlingnya tanda tak puas hati. Sofia menepuk-nepuk lengan Andika.
"Papa... Tahan sikit tau," pujuk Sofia.
"Sakit, Pia..." Andika masih berpura-pura. Siap berkerut-kerut mukanya. Geram pula Aira dibuatnya lalu dengan sengaja ditekan tempat luka yang agak panjang dan dalam itu. Kali ini Andika terjerit kerana betul-betul sakit.
"Auntie... Perlahan sikit. Kasihan papa Pia sakit."
"Haah... Janganlah kasar sangat. Sakit." Andika menyandarkan kepalanya di bahu Sofia. Anak itu mengusap pipi ayahnya.
Aira mengecilkan matanya. Bukan main drama lagi dia.
"Kesian papa, auntie. Kalau mama Pia ada mesti mama yang tolong papa. Tapi Pia tak ada mama," omel Sofia dengan muka sedih.
"La... Sofia nak mama ke? Nanti papa carikan mama baru untuk Sofia." Andika tersengih. Tapi tak lama kerana sekali lagi Aira menekan luka di tapak tangannya.
"Aduh..."
Wajah Aira mencuka.
Mama baru, ya? Masa ni juga nak buat perangai miang dia tu!
"Pia nak mama baru. Nak yang macam auntie," jawab Sofia.
"Kenapa ni?"
Tiba-tiba Maryam keluar dari kabin. Dia segera menyarung selipar dan mendekati Aira yang sudah pun membalut luka Andika selepas disapu iodin.
Iskandar dan Arjuna tepuk dahi melihat kemunculan Kak Yam.
"Aduh... Kak Yam pula dah kacau daun." Arjuna yang sedang mengipas bara menggeleng kepala.
"Kak Yam!" teriak Deniz.
Maryam yang baru nak bercakap sesuatu kepada Aira berpaling.
"Apa dia?"
"Sinilah... Tolong kita orang bakar ayam ni."
"Kejaplah... Aku menengokkan Andika ni hah. Dah kenapa?" balas Maryam.
"Papa luka, umi..." beritahu Sofia.
"Oh... Teruk ke?"
"Tak pun, Kak Yam. Tapi orang tu saja yang melebih-lebih sakitnya," jawab Aira.
Andika tayang senyuman nakal. Berdebar jugalah hati Aira melihat senyuman itu. Dia menarik nafas lalu berpura-pura sibuk mengemas semula ubat-ubatan dan alatan yang digunakan ke dalam kotak.
"Oh... Ingatkan apalah tadi yang dikecohkan sangat." Maryam tersenyum-senyum melihat Aira yang masih prihatin terhadap Andika.
Bunyi enjin kereta mematikan perbualan mereka. Kelihatan dari jauh Audi Q5 diparkir bersebelahan kenderaan milik Andika.
"Dah sampai pun Reyhan dengan Aisy..." Maryam menggamit Reyhan dan Aisyah yang baru tiba. Cepat-cepat Andika bangun dan mendukung Sofia.
"Jom salin baju, Pia.."
Andika tak mahu Reyhan nampak dia sedekat itu dengan Aira. Dia tak tahu kenapa, dia rasa malu dan segan jika Reyhan tahu dia cuba menarik perhatian Aira walaupun secara spontan dan tidak dirancang.
"Kenapa tangan tu, Andi?" tanya Reyhan pula sebaik sampai di situ. Dia berpegangan tangan dengan Aisyah.
"Tangan papa luka..." Laju saja Sofia jawab.
YOU ARE READING
Seindah Tujuh Warna Pelangi
Ficción GeneralTajuk: Seindah Tujuh Warna Pelangi Penulis: E-Man Sufi Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-81-6 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)