Bab 6

2.2K 38 0
                                    

Beberapa tahun yang lalu...

Hujan renyai turun ketika cuaca panas terik. Jam di tangan menujukkan pukul 3.30 petang. Aira tidak peduli dengan hujan yang turun. Kalau nenek dan datuknya masih ada, sudah tentu dia sudah dipanggil pulang ke rumah.

Tok ayah akan marah dan berkata bahawa hujan panas boleh menyebabkan demam panas tapi dia tak pernah peduli dengan amaran itu. Dia tetap setia duduk di atas pangkin di bawah pokok bersama payung di tangan.

Sekali lagi matanya melirik jam di tangan. Sudah 3.40 petang. Orang yang ditunggu masih belum muncul.

"Mana Zara ni tak sampai lagi? Entah dia baca ke tidak mesej aku hantar tadi."

Mujurlah dia memang jenis yang tahan sabar. Setakat nak menunggu sejam dua dia masih boleh bertahan.

Hujan sudah berhenti. Di kaki bukit berhampiran sudah muncul pelangi berkembar yang menarik perhatian Aira. Cantiknya!

Pantas dia mengambil telefon pintar di atas pangkin lalu merakam gambar pelangi itu. Itulah sebabnya dia tak pernah peduli dengan larangan nenek dan datuknya kerana dia tahu selepas hujan renyai pasti akan muncul pelangi di kaki bukit sana.

Aira ralit merenung gambar pelangi yang sudah dijadikan kertas dinding skrin telefonnya. Dia sangat sukakan kecantikan tujuh warna pelangi. Melihat gabungan kesemua warna itu membuatkan hatinya jadi tenang.

"Sorry lambat!"

Hampir terlepas telefon pintar dari tangan Aira kerana terkejut dengan sapaan itu.

"Zara! Terkejut aku. Kau kenapa lambat?"

"Alah, kan hujan..."

"Hujan renyai aja pun!"

"Errr... Sebenarnya aku singgah gerai Mak Kuntum."

"Aku dah agak dah..." Aira geleng kepala. Dia ketawa kecil melihat Zara yang muncul bersama plastik-plastik makanan di tangan.

"Aku beli untuk kau sekali. Nah!" Zara hulur bekas minuman yang berisi air kelapa.

Aira ambil tanpa membantah. Dia beralih duduk untuk memberi sedikit ruang kepada Zara.

"Sana lagi..." Zara menolak sedikit bahunya. Aira ketawa lepas dan memberi ruang yang cukup besar buat Zara yang bersaiz XXXL itu.

"Eh, aku baru teringat. Ada orang kirim salam kat kau."

"Siapa?"

"Anak Mak Kuntum la. Reza."

"Oh... Waalaikumussalam..."

"Untunglah orang cantik. Selalu ada aja yang kirim salam."

"Apa-apa ajalah, Zara. Aku suruh kau datang ni sebab nak beritahu kau pasal aku dah..."

Tiba-tiba wajah Aira berona merah.

Zara yang sedap mengunyah keropok masih menanti.

"Aku dah..."

"Dah apa?"

Kali ni Aira angkat tangan kanan. Dia tayang jari manis yang sudah bercincin emas belah rotan.

Zara tersedak lalu segera menyedut air kelapa.

"Bertunang?" tanya Zara dengan mata membulat.

Aira angguk dengan senyuman manis dan tersipu-sipu malu.

"Dengan siapa?"

"Abang Andi."

"Huh? Serius? Kau biar betul?"

Seindah Tujuh Warna PelangiWhere stories live. Discover now