1

1K 88 17
                                    

〰️〰️ ♍♎♒ 〰️〰️

London

RENUNGAN Ivy kian jauh. Dari jenang jendela kamar, dia lebarkan pandangan lurus ke arah padang rumput hijau luas saujana pandangan mata. Musim panas sudah bermula. Padang rumput hijau menjamah matanya seolah-olah sebuah padang golf. Terjaga rapi dan indah. Rumah agam dengan reka bentuk gaya simetri dahulu kala jelas menggambarkan jiwa pemiliknya.

Bapa Ivy seorang ahli kaji purba Mesir - Egyptology. Pemilik Syarikat Perundingan Arkeologi terkemuka di England. Banyak menghabiskan masa di tapak penggalian di Mesir dan Sudan. Sehinggakan Ivy sendiri jarang dapat bertemunya. Itu pun hanya beberapa kali dalam satu tahun. Masanya banyak dihabiskan di Afrika. Mungkin lantaran itulah, Ivy turut berminat ke arah bidang diceburi bapa. Dia kini dalam tahun pertama dalam Pengajian Oriental (Pengajian Mesir dan Negara Timur Purba). Dan sudah bercita-cita untuk menyambung pengajian sehingga ke Doktor Falsafah dalam bidang Egyptology seperti bapa.

Menyusuri susur galur keluarga, bapa Ivy berdarah bangsawan Inggeris berkahwin dengan ibunya dari Malaysia. Setelah tujuh tahun bersama, ibu dan bapa memilih untuk berpisah. Ivy yang ketika itu masih bayi dibawa ibu kembali ke Malaysia. Manakala abangnya, Adrian yang masih kecil tinggal bersama bapa di England. Semenjak itulah, mereka tidak pernah lagi berhubung. Apatah lagi apabila ibu berkahwin lain dan sering bertukar tempat tinggal. Manakala bapa sendiri juga sudah mempunyai isteri baharu di England. Ivy benar-benar terpisah daripada bapa dan abangnya. Sehinggalah penghujung Disember lima tahun lalu, ibu meninggal dunia. Hidup Ivy bagaikan sebatang kara. Setahun kemudian, Adrian berjaya menjejakinya dan tanpa berlengah-lengah membuat tuntutan penjagaan Ivy daripada bapa tirinya. Ivy dibawa ke sini untuk tinggal bersama-sama di England.

Ternyata, Ivy agak kejanggalan berada dalam kelompok keluarga elit budaya di sini. Sejak kecil, dia sudah terbiasa dengan budaya Timur. Baik dalam makan minum, masyarakat apatah lagi keadaan cuaca di sini. Semua membuatkan Ivy jadi teramat kekok. Namun, abangnya Adrian sering membantu memberikan tunjuk ajar. Adrian lah guru paling sabar menyalurkan semangat dalam kekekokan berbanding adik-beradiknya yang lain. Selain Adrian, bapa juga mempunyai dua orang anak tiri kepada isteri lain. Iaitu; Jonas dan Mark. Namun dalam keluarga Alastair. Ivy lah satu-satunya puteri kepada Hubert Alastair. Dan keistimewaan ini menyebabkan dia lebih disayangi oleh ahli keluarga terutama sekali Adrian.

Bunyi deruan enjin kereta berjaya mengalihkan seluruh konsentrasinya. Matanya memandang ke arah pintu pagar besar dari jauh. Sebuah Bentley Mulsanne hitam menyusur masuk laluan panjang ke dalam halaman rumah agam sebelum tiba di bulatan laman tengah. Bulatan air pancuran berukiran patung kesateria perkasa diperbuat daripada batu yang sedang memegang pedang. Ivy segera campakkan buku di tangan tentang The Tomb-Builders Of The Pharaoh tulisan Morris Bierbrier ke atas katil. Dia ingin menemui Adrian. Sudah beberapa hari Adrian berada di Mesir. Dan baru hari ini dia kembali.

"Abang!" jeritnya berlari laju menuruni dua tingkat tangga rumah mereka untuk ke pintu hadapan.

Dari jauh, Ivy sudah nampak senyuman tampan Adrian di muka pintu sedang menghulurkan kot kepada pembantu rumah. Beg pakaiannya pula diheret oleh pemandu. Ivy menerpa laju ke dalam pelukan Adrian.

Ketawa Adrian pecah melihatkan gelagat Ivy. Dia usap belakang kepala Ivy. Gelagat Ivy menjentik rasa lucunya. Wajah terdongak Ivy ke arahnya ditatap seluruhnya. Hanya seminggu dia pergi. Seminggu! Ivy sudah begini. Bagaimana kalau dia lebih lama di Mesir?

Ivy leraikan pelukan, matanya tercari-cari salah seorang pembantu rumah.

"Matilda!" panggil Ivy. Pembantu bernama Matilda segera muncul.

"Sudah siap kan?" tanyanya lagi tidak sabar.

"Sudah, Cik..." maklumi Matilda.

Ivy mencari pergelangan tangan Adrian dan memimpinnya ke arah ruang makan utama. Adrian mengekori termangu-mangu.

Ramesses IIWhere stories live. Discover now