〰️〰️ ♍♎♒ 〰️〰️
KUDA ditunggangi Ivy berlari laju mengejar bola polo putih. Ivy berkejaran dengan pemain nombor dua pasukan lawan untuk mendapatkan bola tersebut. Bola berjaya diperoleh. Pemain nombor dua lawan mula bersendel kudanya dengan kuda Ivy. Ivy sedar lawan sedang menolaknya keluar dari garisan bola. Begitu pun, Ivy tetap berusaha menolak bola ke dalam garisan. Namun Ivy gagal membaca taktik hooking yang cuba digunakan lawan. Kayu pemukul lawan menyangkut kayu Ivy menyebabkan Ivy terlepas bola polo dengan sia-sia. Tetapi caranya membuat hooking sudah menyentuh tubuh Ivy. Satu faul sudah dilakukan. Ivy tidak berpuas hati. Ivy menyigung sikunya menolak tubuh lawan yang memakai jersi nombor dua. Marahnya lagi bila pengadil tidak membunyikan wisel. Seharusnya dia mendapat satu pukulan penalti tadi.
Adrian di luar padang memerhati penuh debar, aksi Ivy dalam perlawanan polo ini. Sudah beberapa kali Adrian berpesan agar Ivy lebih bersabar. Sembunyikan perasaan tidak puas hati itu. Tetapi Ivy sering terlupa segala pesanannya. Cara Ivy menyigung lawan tadi sudah menyalahi etika permainan. Mungkin pengadil terlepas pandang sahaja tindakan Ivy.
Adrian kembali memberikan perhatian apabila sekali lagi Ivy memperoleh bola. Kedudukan Ivy sebagai pemain nombor tiga sangat berbahaya kerana dalam posisi sebagai pemain taktik dia harus cukup kuat untuk menghantar bola kepada pemain nombor satu dan dua. Disebabkan itulah pemain terbaik dari satu pasukan lazimnya sering digondol pemain nombor tiga. Kerana selalu mendapat handicap tertinggi. Manakala Ivy, melihatkan gayanya sekarang lebih menggunakan emosi daripada fizikal. Adrian kacip bibir bawah, risau.
Ivy buang rasa tidak puas hati itu. Desis hati Adrian sudah mula kurang tenang melihatkan cara Ivy bermain.
Saat Ivy laju menunggang kudanya, dan dia sudah bersedia mengangkat kayu pemukul tiba-tiba pemain nombor dua pasukan lawan sekali lagi cuba melakukan hooking. Kali ini kudanya agak dekat dan dia mula menghentak sisi kuda Ivy. Lantaran terperanjat, kuda ditunggangi Ivy mula mendompak terkejut. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Dan tubuh Ivy turut terloncat-loncat di atas pelana. Ivy hampir hilang imbangan.
"Ivy!" teriak Adrian. Adrian melompat pagar kayu pengadang. Dia cuba berlari ke tengah padang.
Namun kemahiran yang dipelajari Ivy, berjaya meredakan larian tidak tentu arah kudanya. Dengan tangan kiri, tali kekang ditarik sehabisnya hingga kepala kuda itu terteleng ke sisi. Manakala untuk imbangi tubuh sendiri agar tidak terjatuh, Ivy mengenggam ketat hujung pelananya. Perlahan-lahan kuda itu mula reda daripada aksi agresifnya. Beberapa pelatih kuda segera memasuki padang untuk membantu. Adrian memperlahankan larian apabila melihat Ivy berjaya menenangkan kuda tersebut.
Apabila kuda tersebut kembali tenang. Ivy mengusap belakang tengkuk kuda sebelum sebelah kaki Ivy menekan rakap dan membawa sebelah kaki lagi turun dari kuda tanpa apa-apa isyarat. Tali helmet di dagu cuba dibukanya dengan kasar. Dia sudah dengar pengadil membunyikan wisel menghentikan seketika permainan sekejap tadi. Malah pemain nombor dua lawan juga sedang diberikan amaran dan penalti. Tetapi rasa geram Ivy tidak cukup dengan itu. Dia hampir ditimpa kecelakaan tadi. Hampir sahaja terjatuh ke tanah. Ayunan langkahnya keras menuju ke arah gadis berambut perang. Aksinya di perhati semua.
YOU ARE READING
Ramesses II
Ficción históricaBarangkali dia dihukum lantaran perasaannya terhadap Adrian. Mereka saudara sekandung tidak seharusnya memiliki hatta sebesar hama perasaan demikian. Tetapi daripada Adrian dia kenal segala. Malah daripada Adrian bercambah rasa cinta terlarangnya. U...