3

493 67 2
                                    

〰️〰️ ♍♎♒ 〰️〰️

IVY berjalan perlahan-lahan sambil menggenggam lengan bapanya. Malam ini, dia tidak ubah seperti seorang puteri. Menjadi perhatian mata para jemputan elit. Sambutan hari lahir yang julung kali diadakan buatnya. Sebelum-sebelum ini mereka sekeluarga hanya menyambut hari lahirnya di restoran atau hotel. Dan seringnya Adrian akan menempah meja khas buat mereka sekeluarga. Namun malam ini, setelah beberapa tahun Ivy di London, Hubert Alastair seperti ingin memberitahu kepada semua tentang Ivy yang selama ini belum diketahui ramai. Kerana kebanyakan tetamu lebih mengenali Adrian berbanding Ivy.

"Adrian sudah beritahu Ivy?" Kepala Hubert sedikit memiring membisikkan sesuatu kepada Ivy. Bibirnya sepanjang masa tersenyum kepada para tetamu yang melintas di depan mata.

"Beritahu..."

Bahasa Ivy tidak bersambung apabila, tumpuan Hubert beralih kepada salah seorang tetamu pentingnya. Mereka berbalas senyuman sebelum Hubert membawa Ivy menuju kepada seorang wanita. Soalan Hubert berlalu begitu sahaja. Ivy membongkokkan sedikit tubuh sebelum menyambut huluran tangan wanita hampir sebaya daddy. Penampilannya tidak seperti rakan taulan daddy yang lain. Gayanya lebih kepada kerabat diraja. Setelah beberapa baris ayat bertukar antara daddy dan wanita tersebut, tahulah Ivy bahawa wanita ini saudara terdekat Princess Margaret of Connaught. Perbualan yang berlangsung antara daddy dan wanita tersebut mula menjemukan Ivy. Pandangan Ivy meliar serata wajah tetamu. Dia mula teringatkan Emma dan Lilian. Dua temannya itu sudah berjanji untuk hadir malam ini. Tetapi sejak satu jam tadi Ivy belum nampak batang hidung mereka. Kata Emma, dia mahu 'culik' Ivy keluar secara senyap-senyap. Mereka akan 'larikan diri' ke kota London, bersuka ria di sana. Mendengarkan idea itu, Ivy tersangat teruja. Apatah lagi majlis begini bukan kesukaannya. Ini sebenarnya majlis bapa. Atau majlis Adrian.

Oh, sebut nama Adrian, Ivy belum lagi melihatnya. Ah, mungkin dia sibuk dengan teman-teman pentingnya. Dalam mata Ivy terus meliar ke sana sini mencari kelibat Emma dan Lilian, perhatiannya bertembung dengan Adrian. Berdiri agak jauh daripada tetamu lain bersama seorang wanita menawan di sisi. Ivy amati wanita berambut pendek separas leher dan bergaun labuh merah hati. Rantai mutiara menghiasi dadanya yang terdedah dengan gaun lurus bertali halus. Tiba-tiba hati Ivy dihurung rasa tidak senang melihatkan kemesraan wanita tersebut. Tangannya berlingkar erat di lengan kiri Adrian.

Dengan wajah garang, Ivy membuat isyarat jari telunjuk dan hantu - V-sign ditunjukkan ke matanya sebelum menghalakan V-sign itu ke arah Adrian. Gaya Robert de Niro dalam Little Fockers bermaksud 'I am watching You'. Wajah serius Adrian segera berganti senyum. Sebuah ketawa pendek mengiringi. Ivy kembali membetulkan lengan dan postur tubuh apabila tiba-tiba namanya dipanggil Hubert Alastair di sisi. Dia pura-pura kembali sopan dan tertib mendengar ucapan wanita penting tadi.

"ITU Ivy?" Abigail menduga, sebaik mendengarkan ketawa Adrian yang tiba-tiba berderai dalam senyap sunyi bahasanya sejak tadi.

"Ya." Adrian membetulkan suara. Jus di tangan kanannya disisip perlahan. Dia kembali serius.

"Cantik," puji Abigail secara berbisik. Matanya lurus ke arah Ivy.

Adrian kembali memerhati Ivy. Memang dia tidak menyangkal pengakuan Abigail. Ivy sebenarnya mengutip setiap kecantikan ibu dan bapa mereka. Dia seperti anak patung porselin memukau mata sesiapa sahaja yang memandang. Rambut perang emas lurus dan mata biru laut mengambil ciri-ciri bapa. Mata dalamnya dihiasi bulu mata panjang dan lebat. Hidung kecil dan bibir menawan kepunyaan ibu. Ivy seperti sebuah keajaiban yang maha menakjubkan di muka bumi. Harta paling disayangi oleh mendiang ibu. Dan sesuatu yang paling 'berharga' buat Adrian sendiri.

Ramesses IIWhere stories live. Discover now