Bab 2

3.4K 73 2
                                    

WAJAH mama dan ayah direnung tajam. Kedua-dua orang tuanya langsung tak nak faham apa yang dia cuba sampaikan. Bukan dia tak mencuba, tapi apakan daya, dah orang tak suka. Nama baik mama dengan ayah? Heh. Habis tu, hati dia ni macam mana? Nak aje dia jerit tapi dia tahan kerana dia bukan wanita begitu.

"Pergi jumpa Haikal sekarang. Dian kena matang dalam hal-hal macam ni..." pujuk mama.

Dian senyum tipis pada diri sendiri. Matang? Apa maksud matang yang mama nak sampaikan tu? Tak cukup matang lagikah dia bila menghadapi kerenah Haikal dan keluarga lelaki itu malah kehendak dan kemahuan keluarga sendiri? Sejak dulu, sekalipun dia tak pernah letak kehendak sendiri di depan mama dan ayah. Dia hanya ikut segala yang telah diatur untuknya tanpa membantah. Jauh sekali mahu luahkan hasrat hati. Malah, sehingga saat ini.

Tapi sekarang... Dia dah letih.

"Dian dah tak tahu nak matang macam mana lagi, ma..."

Dia pandang mata mama. Berharap pada pengertian seorang wanita bergelar ibu.

Dulu, dia dipaksa terima Haikal. Dia angguk. Akur. Biarpun dua hari lepas bertunang, baru dia kenal batang hidung Haikal, dia juga tak apa. Dia terima dengan hati terbuka. Dia belajar untuk mencintai lelaki itu. Tapi sekarang, salah Haikal. Kenapa mama dan ayah susah nak nampak?

"I've done nothing wrong, mama..."

Dian paut tangan mama. Tolonglah, ma. Fahamlah hati Dian.

"Siapa cakap Dian tak buat salah apa-apa?!" sergah ayahnya pula.

Dian alih pandangan. Ayah tajam merenungnya. Dia juga tak kalah. Kali ini, apa nak jadi... Jadilah. Dia bukan boneka. Dia nak jadi manusia. Yang bergerak atas kudrat dan lenggok sendiri. Bukan patung yang bergerak mengikut lenggokan tali.

"Jadi, ayah memang nampak Dian yang salah?"

"Ya," jawab Esmail berang. Menjawab pula budak ni sekarang. Sejak bila pandai menjawab ni?

"Kalau kata Dian tak buat perangai, Haikal takkan semudah tu nak putuskan pertunangan kau orang berdua!"

"Hah?" Sungguhlah dia kehilangan kata.

Apalah jampi yang Haikal dah baca pada mama dan ayah hinggakan ayah begini sekali nampak baiknya Si Haikal tu? Dan nampak semua silap dia?

"Dian ni anak ayah..."

"Ya, sebab anak ayahlah ayah kenal perangai Dian. Sejak dulu memang Dian tak nak dekat Haikal tu, kan? Kami yang paksa kamu, kan? Kau tu jenis tak boleh nak terima aturan orang tua!"

Dian terus angkat tubuh. Sampai hati ayah tuduh dia macam tu. Dua puluh lapan tahun dia hadap segalanya.

Dian... Masuk sekolah asrama penuh. Dia ikutkan.

Dian... Pastikan jadi pelajar terbaik. Dia belajar seperti nak mati.

Dian... Jadi arkitek. Dia capai impian biarpun itu impian ayah. Bukan cita-citanya.

Dian... Dah sampai masa bertunang. Dia angguk.

Dian... Ayah dah jumpa calon yang sesuai. Pun dia turut.

Tapi sekarang... Air matanya mengalir perlahan.

"Kalau ayah tahu yang Dian buat semua tu terpaksa, kenapa ayah tetap paksa Dian?" soalnya. Lembut.

Nadanya berbaur kekesalan. Kesal kerana ayah dan mama tak pernah bertanya biarpun sepatah tentang impiannya.

Dahi Esmail berkerut. Dian dah pandai menjawab!

"Berani kau jawab ayah sekarang, ya? Ni dengan siapa kau belajar ni?"

"Dian tak belajar dengan sesiapa pun, ayah," nafi Dian perlahan.

Sugar?Where stories live. Discover now