SESEKALI dia senyum pada Nel yang sedikit berjarak. Telefon masih lagi melekap ke telinga. Suara dan pesanan mama masih gagah masuk ke pendengaran.
"Ya, mama. Dian jaga diri. Ala... Bukan Dian tak pernah balik lewat. Dian nak pusing-pusing cari barang kejap..."
"Ya, mama tahu. Cuma risau bila ayah balik tengok Dian tak balik lagi. Dian tahulah ayah tu sekarang macam mana..."
"Mama cakaplah dengan dia, Dian keluar dengan Nel. Senang. Lagipun memang betul apa Dian keluar dengan dia ni."
Malaslah nak mencipta alasan. Memberi pembohongan pada mama.
Bukan boleh kira. Haikal tu ramai kaki. Buatnya ada salah seorang nampak dia dengan Nel, sampai ke telinga Haikal... Lepas tu mendarat pada gegendang telinga ayah... Lagi pedih telinga dia nanti.
"Okey, ma. Tren dah sampai ni..."
Talian diputuskan.
Dia terus dekati Nel.
"Kita nak pergi mana?"
Tadi, dia pun tak tahu Nel beli tiket untuk ke mana. Dia ikut ajelah dah alang-alang Nel tekad ponteng kerja. Dia tak hasut, ya.
"KL Sentral aje..."
"Lor, ingatkan manalah tadi..."
Dian kedengaran kecewa.
"Hai..."
Nel toleh pada Dian sebaik saja mereka sama-sama masuk ke dalam perut monorel. Mengeluh kecewa nampaknya.
"Awak ingat saya nak bawa awak bercuti dekat awan biru ke apa?"
Nel ketawa dengan gurauan sendiri bila Dian tarik muka.
Rasanya, Dian tarik muka lebih indah dipandang jika nak dibandingkan dengan wajah yang begitu sarat dengan kesedihan dan kepahitan.
"Cukuplah tu dulu. Takkan awak ingat saya nak bawa awak ke dalam hati saya pula?" seloroh Nel dengan senyuman tipis.
"Isy, awak ni..."
Dian kerut kening. Rona wajahnya telah berubah. Bahang tiba-tiba.
"Saya tak cakap gitu pun, kan?"
Wajah merajuk.
Nel tahan tawa tapi dia biarkan saja. Sesekali dia kerling Dian yang memandang terus ke depan.
"Pernah naik public transport?"
"Dah lama tak naik..." jawab Dian jujur.
"Ini pun lepas tiga belas tahun tak?"
"Wah... Memang dari zaman sekolah dah pakai kereta ke apa? Tak pun jangan cakap awak ada driver?" telah Nel.
Dia tekup mulut dengan mata yang bulat. Sengaja dia buat wajah terkejut.
"Saya sekolah asrama penuh dari tingkatan satu sampailah habis SPM. Bila-bila nak keluar, saya akan cakap dengan orang tua saya. Dia orang akan hantar driver. Macam tu juga kalau saya nak balik rumah atau nak balik semula ke asrama. Lepas masuk universiti, ayah bagi kereta dengan driver sekali..."
Dia ingat lagi. Masa tu ayah dah berjaya. Dengan bantuan Dato Seri Hamdan yang pastinya. Bapa kepada Si Haikal.
Dia berkeras nak dok asrama. Ayah terpaksa mengalah biarpun pada mulanya tak setuju. Bila dia nak balik rumah, ayah pasti sediakan sebuah kereta siap dengan driver dan kerana tak nak ada driverlah, dia pilih untuk memandu sendiri sekarang ni. Tidaklah nampak macam puteri sangat.
"Cik El?" panggil Nel. Jauh tu mengelamun. Mana lagilah Dian terbang ni.
"Ya?" sahut Dian menoleh pada Nel. Terkebil-kebil pada lelaki yang sedang ukir senyum itu.
YOU ARE READING
Sugar?
General FictionTajuk: Sugar? Penulis: Rehan.Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-127-1 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mei 2019 DAPATKAN SEKARANG DI APLIKASI KARYASENI ATAU PM MAKCIK KARYASENI DI FACEBOOK DAN NIKMATI D...