Teaser 2

4.4K 241 3
                                    

“HAH! Baru pandai balik rumah? Ke rumah jantan mana kau pergi?” Belum sempat pun aku menyorong masuk motosikal ke dalam garaj, mak dulu-dulu dah tengking aku. Bingit telinga aku. Sudahlah penat tolak motosikal aku tu. Kena tuduh pulak.

“Mak ni... Tak boleh kuat lagi ke? Biar semua jiran dengar suara mak tu.” Aku perli mak. Kalau dah bertempik tu, tak pandai beragak yang kami ini hidup berjiran. Sudahlah hari dah tengah malam. Suara mak tu boleh dengar sampai kampung sebelah. Mujurlah Mak Yah, jiran sebelah kami itu bukan jenis mulut bising. Selalu saja suruh aku bersabar dengan sikap mak. Bukan aku mahu melawan atau memerli mak. Tapi mak memang selalu buruk sangka dengan aku. Marahkan kak ngah, aku juga ikut terpalit.
Kalau kak ngah buat perangai ikut jantan, takkan aku pun sama? Ingat aku tak ada otak ke? Tak cukup masalah yang ada ni. Lagi nak tambah? Memang tidaklah.

“Kau jangan nak perli aku. Yang balik tengah malam buta kenapa? Kau tau tak aku stres dengan anak haram tu! Melalak je kerjanya. Penat aku ni tau tak!”

Mak sudah bercekak pinggang menanti di muka pintu. Aku buka kasut kerja lalu letak di rak kasut buruk di tepi pintu. Lelah rasa hati aku ni. Tak boleh ke mak memahami tuntutan kerja aku? Kerja aku bukannya macam orang lain. Orang lain mungkin duduk pejabat masuk pukul lapan pagi balik jam lima petang. Aku ni kerja di pasaraya. Dah tentu-tentu ikut jadual yang majikan bagi.
Berat helaan nafas aku. Seberat rasa beban yang aku tanggung
.
“Orang nak upah pengasuh, mak tak mahu. Mak kata biar mak je yang jaga. Boleh bagi mak duit upah mengasuh. Sekarang mak merungut pulak. Mak bising-bising ni bangunlah budak tu nanti mak,” sambung aku memperlahankan suara. Kepala aku jengah ke dalam. Risau kalau anak saudaraku yang baru berusia 2 bulan itu terjaga dari lena. Kadangkala aku tak faham dengan sikap mak yang begini. Bukan aku sengaja nak susahkan dia tapi dia juga yang buat keputusan begitu. Dia yang nak mengasuh Nana.

Aku masuk ke dalam rumah. Punggung aku labuh ke kusyen buat membuang penat. Jelingan mata mak yang memerhati aku itu aku buat tak nampak saja. Leganya dapat bersandar begini. Pinggang aku dah rasa nak patah menolak motosikal tadi.

“Motosikal rosak tadi. Itu pasal Kak Chik lambat balik.” Aku beritahu mak dengan mata tertutup. Rasa nak tidur saat ini juga. Aku betul-betul rasa letih.

“Rosak lagi? Kau ni bawak motor ke kau merempit? Asyik rosak aje. Habis tu macam mana ni?” Mak buat muka tak senang hati. Takutlah tu aku tak bagi duit belanja pada dia sebab baiki motosikal aku itu.

“Mak tanya orang buat apa? Patut mak tanya anak sulung mak tu. Semalam dia yang bawak pergi merempit sampai hancur motor orang! Bukannya Kak Chik yang merempit!” Aku buka mata langsung membidas tuduhan mak. Mulalah aku rasa geram. Mak tak habis-habis nak tuduh aku! Yang anak jantan tak guna dia tu tak ada pula mak nak tanya. Patutlah baik hati hantar motosikal itu pada aku tengah hari tadi. Padahal dia janji nak ambil dan hantar aku. Rupanya dia dah bagi pelingkup!

“Siapa suruh kau bagi dia?” Mak salahkan aku semula. Ya Allah, makin membara panas di dada aku.

“Laki maklah yang suruh! Takut sangat anak kesayangan dia mengamuk.” Aku rengus kasar sambil bangkit berdiri. Dari aku melayan mak lebih baik aku pergi mandi dan tidur. Sebelum tu aku nak tengok Nana. Bayi kecil yang ditinggal kak ngah.

“Kau jaga budak tu malam ni! Aku dah letak dia dalam bilik kau! Lama-lama aku buang jugak budak tu. Melalak tak habis!” Sempat lagi mak melaung apabila aku masuk bilik. Aku tutup pintu bilik rapat-rapat. Belakang ku sandarkan di belakang pintu sambil tangan naik menyentuh dada yang terasa sesak.

Sabar Nadirah. Kau kena kuat. Kau tak boleh menangis. Ini takdir hidup kau. Aku pujuk hati aku berkali-kali. Siapa lagi nak pujuk aku melainkan diri aku sendiri.

🥺🥺🥺

#HatiSeteguhKarang
#ebook

READY FILE

HATI SETEGUH KARANG ( EBook)Where stories live. Discover now