Prolog

1.1K 15 6
                                    

MELATI- paras kemelayuannya indah. Gemersik suara bak puluh perindu tatkala melantun nyanyian dan lenggok badan gemalai saat membuka tarian kecil, sekadar menggerak-gerakkan tubuh mengikuti rentak muzik. Keindahan seorang wanita bernama Melati telah menghambat jiwa sang jejaka tidak kira usia untuk jatuh suka, sekaligus menginginkan wanita itu menjadi sang ratu penyeri hidup.

'Jinak-jinak merpati' Melati membuatkan lelaki-lelaki yang menaruh hati dirusuh resah. Layanan mesra tidak bermakna suka. Bicara manis tidak bermaksud cinta. Melati senang didekati namun begitu sukar hendak dimiliki. Satu per satu cinta sang jejaka ditolak penuh tertib dan akhirnya mereka yang mendambakan Melati terpaksa gigit jari.

***

TEPUKAN gemuruh memenuhi ruang kelab. Masing-masing berdiri lantas menjulang rasa kagum terhadap seorang wanita bernama Melati.

Melati menundukkan sedikit badannya, memberi tanda hormat serta terima kasih di atas sokongan yang telah diberikan oleh pengunjung kelab ini. Biarlah orang kiri kanan berbisik, memandang serong pekerjaannya sebagai penyanyi dan pelayan di kelab itu, namun dia tahu ini sahajalah pekerjaan yang mampu menampung sara hidupnya.

Langkah Melati diperhatikan oleh mata-mata jejaka yang mengidam memiliki wanita itu. Segaris senyuman mekar di ulas bibirnya membuatkan sang pemerhati memendam rasa. Apatah lagi gaya manja Melati dipacu ke arah seorang lelaki yang duduk bersendirian di penjuru kelab itu.

"Abang Din..." Melati menyeru dengan lirikan mata yang kelihatan sangat menggoda. Punggungnya berlabuh rapat di sisi lelaki yang tidak merayapi pandangan ke wajah Melati seperti kelaziman.

"Abang?" Melati menyentuh dada lelaki kesayangannya. Hati dipagut resah. Sakitkah lelaki ini?

Kamaruddin angkat wajah. Mulus raut Melati direnung lama. Segumpal nafas dilepaskan dari rengkungan.

"Kenapa abang?" soal Melati. Hujung jarinya bermain di sekitar pipi Kamaruddin bersama perasaan kaget ekoran tetingkap telinga menangkap desahan nafas yang terlepas berat dari mulut lelaki itu.

Kamaruddin tidak menyahut. Dia melepas panahan mata ke hadapan. Dahinya terbentuk kerutan-kerutan halus. Melati bergundah-gulana. Kamaruddin tidak pernah berkeadaan begini. Kalau pun ada masalah, lelaki itu tetap mengoyak senyum saat mereka saling bertatapan.

Kamaruddin bingkas bangun. Lengan Melati dipegang erat, lalu menarik wanita itu keluar dari kelab berkenaan.

"Abang?" Melati meneliti riak yang menakungi wajah Kamaruddin.

Kamaruddin menarik nafas dalam-dalam. Sentuhan Melati ditepis perlahan. Melati terpanar seketika.

"Kita tak boleh berterusan macam ni," tutur Kamaruddin.

Kening Melati hampir bertaut. "Apa maksud abang?"

Kedua-dua belah lengan Melati dicengkam lembut. Kolam mata wanita itu ditenung dalam-dalam.

"Aku akan berkahwin, Melati." Kamaruddin berkata.

Membuntang mata Melati. "Apa?"

Kamaruddin meraup muka. Kemudian dia berjalan menjauhi wanita itu. Mata dipejam rapat. Serentak dengan itu, muncul seraut wajah seorang perempuan berusia dalam lingkungan dua puluhan di lapangan minda.

Mereka tidak pernah bersua muka, sekadar mengenali bakal pendamping diri melalui emaknya sahaja. Demi melihat emak bahagia, dia turutkan niat orang tua tersebut. Tiada sebarang bantahan meski kata hati kuat mendesak agar segera berpaling daripada menuruti kehendak Rosnah.

"Aku akan mengahwini dia."

Bicara seterusnya itu membuatkan Melati hampir hilang nyawa.

"Abang mahu tinggalkan Melati?" Kolam mata Melati bergenang.

"Jangan, bang! Jangan tinggalkan Melati..." Tangisan Melati mulai bergema apabila lelaki tersebut lebih rela mengunci bicara.

"Maafkan aku, Melati," ujar Kamaruddin.

Melati menggeleng kepala. Pautannya semakin kemas.

"Melati isteri abang! Abang lupa kita sudahpun bernikah sebulan lalu? Abang lupa?" Bergetar hujung suara Melati.

"Melati sayangkan abang. Melati cintakan abang. Abang tahu, kan?" Bersungguh-sungguh Melati meluahkan rasa cintanya.

Kamaruddin membuang pandang ke arah Melati. Terbersit rasa kasihan ditangkai hati.

"Aku bukan lelaki yang layak untuk kau, Melati."

Mata Melati bergelintar liar di sekitar wajah lelaki itu. Gumpalan rasa kecewa dan marah telah bersatu sehingga mewujudkan apungan yang menyesakkan dada. Jantung terasa laju berdegup seakan-akan hendak meletup.

"Atau sebenarnya Melati yang tak layak berada di sisi abang?" Melati menyeka rakus airmata di pipi.

Lidah Kamaruddin seakan terbelit mati.

Nafas terhembus kasar. "Abang! Beritahu Melati... Cakap pada Melati... Melati yang tak layak duduk di sisi abang, kan?"

"Aku... aku akan ceraikan kau."

"Abang!" Melati meraung.

"Tolong lupakan aku. Jangan cari aku lagi."

Langkah Kamaruddin terhayun laju meninggalkan Melati yang tersungkur di atas lantai bumi. Esakan mendayu-dayu wanita itu melayang sunyi tanpa ehsan.

"Sampai hati abang..." Melati menghambur tangis yang kian melebat. Lencun pipinya dibasahi airmata.

"Abang..."

Melati menyentuh perut. Ada nyawa yang sedang membesar di dalamnya.

***

Bersambung

Notahujungkaki: YDPA ini merupakan versi baru yang hanya ditambahbaik sahaja. Plot dan keseluruhan hikayat ini masih sama seperti versi asal. Doakan saya berjaya revamp YDPA menjadi sebuah kisah yang lebih baik berbanding sebelum ini :)

HATI YANG MEMANGGIL NAMAMU [TELAH TERBIT!!]Where stories live. Discover now