Bab 2

459 12 2
                                    

LELAKI itu menyarung sehelai t-shirt tanpa kolar berwana merah yang sudah kelihatan lusuh, dipasangkan bersama sehelai seluar jeans slim-fit, menampakkan bentuk kakinya yang kurus. Seluar jeans itu juga seakan-akan nyaris hilang warna kebiruannya. Entah ia memang dijual dengan gaya sedemikian atau sudah direndam dalam air campuran bahan peluntur.

Rambutnya sedikit serabai dengan ada sisa-sisa warna perang melekat di bahagian hadapan. Dia ingat, sebelum ini lelaki itu ada mengubah warna rambut yang asli kehitaman kepada kuning-kuning jingga. Padanya, rambut warna asing begitu tidak cocok dengan fizikal sedia ada. Sakit mata melihat. Apatah lagi, bayang lelaki itu sering muncul depan mata tanpa diminta. Dengan senyuman sumbing terlihat bersama kata-kata nakal mengusik, dia jadi menyampah.

Jika diikutkan rasa hati yang sudah lama membungkam geram, pasti mulut yang sering berbicara nakal itu tiada upaya hendak memuntahkan suara.

"Sudahlah, Haikal. Kau tak penat ke asyik kacau aku?" Suaranya sedikit keras. Langkah diatur laju-laju. Dia ingin segera sampai ke rumah.

Haikal berlari mengejar dari belakang. Kemudian dia mendepakan tangan, menghalangi laluan Humairah. Senyumannya terbentuk lebar. Roman kelat gadis itu direnung lama-lama.

"Salah soalan kau tu, Humairah." Sebelah tangannya menguak anak rambut. Gara-gara sakit telinga dibebeli emaknya, rambut terpaksa dicuci dan mengembalikannya kepada warna asal, tetapi sempat dia meminta tauke kedai itu untuk mewarnakan sedikit hujung rambut. Padanya gaya itu lebih menonjol bagi mata-mata yang melihat.

"Sepatutnya kau tanya... Abang Haikal, abang tak penat ke tunggu sayang? Haaa... Macam itu baru betul." Haikal mengekek kemudiannya.

Humairah menghela nafas yang terasa menyempit di rengkungan. Benarlah kalau emak Haikal mengatakan bahawa anak lelakinya seorang yang tidak makan dek cakap. Tahu pula lelaki itu dia sudah mula bekerja di sebuah kilang di hujung pekan. Kilang telur ayam. Seingatnya, nenek ada bercerita kepada Kamsiah, ibu kepada Haikal.

Dia pula pergi dan balik kerja menumpang Kak Azizah. Sekadar menumpang sampai ke simpang tiga, sebelum sampai ke rumahnya yang terletak agak jauh ke dalam. Hampir setiap hari Haikal akan menunggunya di simpang itu. Bertemankan senyuman yang membuatkan Humairah merasa jelek.

"Kau tahu kan, aku suka kau?" Hujung jari dibawa mendekati bahu Humairah namun segera ditepis kasar. Lentur otot muka tergubah halus. Dia suka melihat wajah garang milik Humairah. Bagai sudah terkena jampi, semakin Humairah menolak, semakin kuat perasaannya terhadap gadis itu. Perasaan ingin memiliki meski hatinya tidak pun tercuit dengan rasa cinta.

Humairah dikenali sejak kecil. Bahkan hubungan mereka tidak pernah baik. Namun semarah-marah Humairah, bicaranya tidak pernah sampai mencemuh. Sekadar melontar oktaf kasar dan garang begitu, dia sudah terbiasa.

"Aku rimaslah. Boleh tak jangan kacau aku?" Humairah sudah hilang sabar.

Senyum di wajah Haikal semakin melebar.

"Kita kahwin, nak?"

Giliran Humairah menabur suara. "Kahwin?"

"Siapa nak kahwin dengan kau, gila?"

Ekor mata Haikal mengekor hentak kasar gadis itu yang kian jauh ke hadapan. Tiada senyuman. Sengihan juga enggan berpaut di muka. Kali ini dia tidak mengejar langkah Humairah yang juga merangkap dua pupunya.

***

PANJANG leher Kamsiah apabila terdengar derap tapak kaki memasuki rumah. Tidak perlu melihat siapa, dia sudah dapat mengagak. Kakinya dibawa melangkah ke perut dapur. Dari tebing gerbang yang memisahkan ruang depan dan dapur, dia melihat bayang tubuh kurus dan tinggi seorang lelaki sedang membuka tudung saji.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 11, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

HATI YANG MEMANGGIL NAMAMU [TELAH TERBIT!!]Where stories live. Discover now