Januari 2019,
Kampong Serindit Emas, Kota Tinggi...
REMANG senja perlahan-lahan bertukar warna membuatkan langit petang sekejapan dijala pekat malam. Angin kencang yang berdesir membawa hawa sejuk seakan memberi petanda untuk lebih berjaga-jaga. Tidak lama, serentak dengan dentuman guruh di dada langit, hujan turun mencurah-curah membasahi lantai bumi.
Perkampongan yang terletak agak tersorok dan dikelilingi dengan ladang kelapa sawit itu menjadi sunyi sepi. Yang terdengar hanyalah deruan air hujan yang membelasah bumi. Sesekali terdengar dentuman guruh di dada langit. Razak sudah tidak tentu arah. Peluh yang bercampur dengan air hujan sudah tidak terseka lagi. Pucat wajahnya memerhatikan Khalid yang sedang merenung ke bawah.
"Betul ke apa yang kita buat ni, Lid? Kalau orang kampong tahu, mampos kita."
Razak meluah kata. Debaran yang mengasak dada seakan tidak terbendung lagi. Keberanian yang tinggal sedikit semakin lama semakin menyusut. Khalid pula diam membatukan diri. Cuba menyakinkan rasa hati yang semakin kuat dirasuk ketakutan. Mereka tidak punya pilihan. Arahan yang diterima dari Mak Minah perlu disegerakan secepatnya. Jika tidak, pasti padah akan menimpa mereka.
"Lagi baik kita patah balik. Aku rasa tak sedap hati ni," luah Razak lagi.
"Patah balik dan mati di tangan Mak Minah? Aku lagi rela kena tetak dengan orang kampong dari merana, Zak!" bidas Khalid.
Laju tangannya mencapai batang cangkul sebelum diangkat tinggi. Tanah yang masih merah itu digali semula tanpa menghiraukan Razak yang sudah menggeletar. Mahu tidak mahu Razak terpaksa membantu. Kalau hendak diharapkan kudrat Khalid seorang, pasti tugasan itu akan mengambil lebih banyak masa. Ditambah dengan curahan hujan yang semakin lebat, membuatkan tugas mereka semakin sukar.
Tanah terus-terusan digali hinggalah mata cangkul menikam sesuatu yang keras di dalam sana. Razak beradu pandangan dengan Khalid. Keduanya semakin dihurung ketakutan. Mahu atau tidak, mereka perlu meneruskan kerja yang tergendala. Dengan sasi-baki keberanian yang ada, kerja penggalian kembali diteruskan.
"Naik Razak! Biar aku yang uruskan di bawah ni," laung Khalid kuat. Cuba beradu suara dengan tujahan hujan yang semakin menggila.
Tidak berlengah, Razak segera memaut sebatang kayu yang sempat dipacaknya sebelum memulakan penggalian sebentar tadi. Badannya yang kebasahan diinjak ke atas sebelum dia melompat naik. Tenaga yang tersisa semakin menyurut. Dia termengah-mengah sendiri di atas sambil melihat Khalid yang sudah mula membongkokkan badan dengan tangan yang menjangkau ke dalam tanah.
"Cepat sikit, Lid," gesa Razak dengan suara yang kedengaran menggeletar.
Khalid menarik nafas panjang sebelum dilepaskan perlahan. Cuba diraih segala keberanian yang tinggal. Dengan hati yang walang, dibuka satu demi satu papan yang disusun rapi lalu dihulur ke arah Razak. Serentak itu juga meruap bau yang kurang menyenangkan di lubang hidung. Khalid tidak mengendahkan. Selesai tiga keping papan dibuka, segera dia memaut sesuatu di dalam sana lalu dengan bersusah payah dia cuba berdiri semula.
Semangat Razak bagaikan direntap sebaik melihatkan Khalid yang sedang berdiri sambil mencempung mayat di atas bahu kanan. Seluruh tubuhnya merinding dengan tidak semena-mena. Hatinya semakin dirusuh ketakutan sebaik terfikirlam wajah si mati yang jelas pucat-pasi dan membiru. Serentak itu juga deria baunya dihinggap satu rasa yang tidak menyenangkan. Bau mayat yang jelas hanyir dan meloyakan hingga menyesakkan dada.
"Cepat tolong aku angkat mayat ni ke atas! Kita dah tak banyak masa lagi!" laung Khalid kuat.
Razak sedikit tersentak mendengarkan laungan Khalid. Meliar matanya memerhati sekeliling. Mengawasi kawasan tanah perkuburan kampong mereka yang terletak agak tersorok dan terperosok di hujung kampong. Tiada apa yang mampu dijangkau pandangan mata. Semuanya dilatari suasana gelap-gelita. Razak menghempas keluhan kasar sebelum dia membongkokkan badan, cuba menyambut Khalid yang sedang menghulurkan mayat yang digali mereka. Saat itu, bau hamis dan meloyakan semakin menyentak isi perut. Tekak Razak mula mengembang. Bila-bila masa sahaja segala apa yang ada di dalam perutnya akan dimuntahkan keluar.
Dengan bersusah-payah, Razak dan Khalid saling berpaut kekuatan antara satu sama lain untuk membawa naik mayat yang mereka gali. Hujan yang turun menggila turut sama menyukarkan keadaan yang ada. Sebaik mayat itu berjaya dinaikkan, tanpa bertangguh kubur yang digali dikambus semula. Segala pergerakan perlu dibuat dengan pantas. Segala perlakuan mereka malam itu tidak boleh terbongkar. Jikalau tidak, nahas pasti akan terus-terusan memburu mereka berdua.
"Cepat Zak! Kita kena bawak mayat ni ke rumah Mak Minah. Dah hampir pukul sepuluh malam ni!"
Suara Khalid membuatkan Razak menjadi serba-salah. Dia diserang rasa takut kalau-kalau mereka akan terserempak dengan penduduk kampong saat memikul mayat itu. Tetapi dia tidak punya pilihan lain selain dari membawa mayat tersebut ke rumah Mak Minah. Melanggar kata-kata Mak Minah sama sahaja seperti menggali kubur sendiri. Pasti mati!
Langkah diayun laju walau kepenatan badan semakin mencengkam tulang-temulang. Baik Khalid mahupun Razak, keduanya langsung tidak bersuara. Rapat kedua-duanya mengunci mulut dari berbicara. Semakin jauh mereka melangkah meninggalkan tanah perkuburan, semakin kuat juga gelojak di dalam dada. Sebaik cahaya samar keputih-putihan terbias di hadapan mata, keduanya mula menghembus nafas lega. Rumah Mak Minah semakin deras dirapati.
"Mak Minah! Buka pintu ni! Kami dah sampai!" laung Khalid kuat.
Serentak itu juga daun pintu rumah papan dua tingkat itu terbuka luas. Mak Minah berdiri tegak di depan pintu rumahnya. Diperhatikan langit yang sedang dimamah gelita. Diperhatikan juga juraian air hujan yang sakan membasahi lantai bumi. Ditilik sebaiknya suara alam malam itu. Setiap petanda kebenaran dicari hinggalah dia berpuas hati sendiri. Sinis senyuman tercalit di bibir tuanya sebelum dihirup udara malam sepuasnya.
"Naik! Bawa dia ke atas! Aku sudah menyiapkan semuanya!"
Suara Mak Minah kedengaran sedikit garau. Khalid hanya mengangguk lalu menurut kata. Razak pula terlihat teragak-agak. Lemah rasa semangatnya melihatkan Mak Minah yang sedang menjilat garang segala tingkah-laku mereka. Berdentum guruh membakar dada langit sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Memberi petanda bahawa segala amalan hitam akan bermula bila-bila masa sahaja. Memberi syarat bahawa segala ilmu syaitan durjana akan mula bermaharajalela!
YOU ARE READING
PROJEK SERAM CINCIN - KHADAM
Horror"Dia hak aku!" Mimpi-mimpi aneh yang diterima Wanda setelah tiga bulan meninggalkan Kampung Serindit Emas seringkali mengganggu tidurnya. Semenjak dia didatangi mimpi-mimpi tersebut, hidupnya dirasakan tidak tenteram. Dia seringkali merasakan ada se...