TEKUN Wanda mendengar penerangan dari salah seorang ahli jawatankuasa yang mengelola mesyuarat khas fakulti mereka pagi itu. Program-program yang bakal mereka lakukan perlukan penelitian secukupnya. Mereka tidak mahu walau sekecil kesilapan sekali pun berlaku sepanjang perlaksanaan program-program tersebut. Nama baik fakulti mereka harus dikekalkan sebaiknya.
"Wanda, printing semua aku serah pada kau. Siap banner dan bunting, kita dah boleh buat hebahan," ujar Farhan.
Wanda hanya mengangguk. Tangkas jari-jemarinya mencatat sesuatu sebelum diangkat muka, memerhati ke arah Farhan yang masih lagi berkata itu dan ini. Tidak lama kemudiannya, mesyuarat khas tersebut berakhir. Laju Wanda menyusun segala kertas yang ada di atas meja sebelum diselitkan ke dalam fail biru. Dia bangkit dari duduk, berjalan menuju ke arah pintu lalu pergi meninggalkan bilik tempat mereka mengadakan mesyuarat khas tersebut. Kolej Tun Fatimah dituju dengan kadar segera.
Laju langkah kaki Wanda mendapatkan pintu biliknya. Sebaik tiba, segera dia memulas tombol pintu itu lalu menguaknya lebar. Sekejapan panorama bilik menjadi santapan mata. Perlahan Wanda melangkah ke dalam sebelum fail biru yang dikepit sedari tadi diletakkan di atas meja belajar. Seketika dia merapati katil lalu dicabut laju tudung yang melekat di kepala sebelum disangkut di kepala katil.
Wanda memerhati sekeliling, mencari-cari kelibat Iddrin. Namun, gadis itu tiada di dalam bilik. Setahu Wanda, seperti dirinya Iddrin juga tidak punya apa-apa kelas waktu itu. Sudahnya Wanda merebahkan badannya di tengah katil. Menunggu Iddrin yang tidak tahu menghilang ke mana.
"Lambat pulak si Idd ni. Mana pergi pun tak tahu," gumam Wanda seorang diri.
Wanda segera mencapai telefon bimbitnya lalu aplikasi Instagram dibuka. Belum pun sempat berbuat apa-apa, Iddrin muncul sambil menggenggam tangkai baldi yang kosong tidak berisi. Wajahnya jelas kemerahan dipanah matahari pagi. Sebaik pandangan mata mereka berlaga, Iddrin mengulum senyum kecil. Diletakkan baldi kosong tersebut di sebelah almari pakaian sebelum dia mendapatkan katilnya.
"Aku ingatkan kau balik lewat. Awal pulak meeting fakulti habis kali ni," ujar Iddrin memulakan kata.
"Meeting khas aje, bincangkan beberapa perkara berkenaan program. Buat agihan tugas semua," balas Wanda menjelaskan.
Iddrin mengangguk sebelum turut merebahkan badannya di katil. Sekejapan dirasakan sendi-sendi yang keletihan lega dengan sendirinya. Iddrin merenung syiling. Agak lama dia sebegitu sebelum dia mengiringkan badan ke arah Wanda. Diperhatikan sahabat sebiliknya itu. Menunggu-nunggu apa yang ingin dikatakan Wanda. Melihatkan dari tingkah gadis itu, Iddrin tahu ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Wanda.
"Idd, kau tahu tak mana-mana tempat printing murah?" soal Wanda tiba-tiba.
Pantas dia bangkit dari pembaringan lalu duduk bersila di tengah-tengah katil. Iddrin yang melihat tingkah Wanda turut sama mengatur sila di tengah katilnya. Kata-kata Wanda segera menghentak kotak ingatannya. Seingat Iddrin, bahagian pengiklanan bukanlah bahagian yang dikelola Wanda semester lepas.
"Tempat printing murah? Kau kena bahagian advertisement pulak ke, Wanda?" balas Iddrin membuatkan Wanda mengangguk kecil.
Iddrin berjeda seketika memikirkan pertanyaan Wanda. Otaknya kosong saat itu. Berkerut-kerut mukanya berfikir, mencari lokasi sesuai yang diinginkan Wanda. Murah dan berkualiti? Di mana? Dia berfikir sendiri. Lama dia berkeadaan seperti itu. Wanda hanya menanti penuh sabar. Dia sekadar memerhatikan tingkah Iddrin yang beria-ia ingin mengingati sesuatu.
YOU ARE READING
PROJEK SERAM CINCIN - KHADAM
Terror"Dia hak aku!" Mimpi-mimpi aneh yang diterima Wanda setelah tiga bulan meninggalkan Kampung Serindit Emas seringkali mengganggu tidurnya. Semenjak dia didatangi mimpi-mimpi tersebut, hidupnya dirasakan tidak tenteram. Dia seringkali merasakan ada se...