Berlaku pada '13, tapi aku tuliskan pada '17.
Cerita tentang makhluk ghaib yang dijasadkan.
8 February, jam 2253;
Berempat. Ayah, Pakcik Bahar, Pakteh dan Aku. Berborak kosong sebagai pemanas badan. Cerita-cerita ringkas diluahkan.
Ayah suka cerita tentang zaman Kerahan Tenaga tahun 1970-1973. Cerita tentang beberapa laras senapang yang dia pernah guna. Juga dia imbas kembali momori-memori lama semasa berkonfrontasi dengan komunis.
Merungut juga dia tentang harga peluru yang meningkat. Purata Rm2 untuk sebiji. 6 bearing. Kalau setakat halau beruk, baik dan jimat pakai mercun.
Jam 2345;
Ayah buka beg berisi beberapa kelongsong peluru. Ada merah dan biru. Dikiranya satu persatu. Empat ratus bola guli diguna.
Yang lain, termasuk aku juga mula memeriksa alatan. Parang pendek, lampu kepala dan lampu suluh. Semuanya lengkap, rasanya. Ohh lupa pula, beg plastik hitam.
Selaras senapang patah dibawa bersama. Ayah aku yang memikulnya. Aku cuma menggendong beg berisi plastik hitam besar dan parang pendek.
9 Feb, Jam 0005;
Kami bergerak dari rumah Pakcik Bahar. Kawasan kampung. Sunyi, nyaman dengan bau selepas hujan, malam yang cerah dengan terjahan cahaya bulan.
Diawal perjalanan, suasana sebenarnya kelihatan gelap. Sangat gelap ditambah pula dengan nyanyian koir cengkerik dan katak. Setengah jam berjalan diatas tar, kami mula masuk ke jalan tanah.
Beberapa minit, mata aku mula dapat melihat dalam gelap, langit nampak cerah. Lampu masih tidak dipasang.
Ayah melarang.
Jumpa beberapa ekor kucing di dalam semak tepi jalan. Bermain sesama mereka. Aku perhatikan jam, untuk pastikan masanya tepat.
Sampai ke pintu masuk dalamnya, kami keluar dari jalan tanah. Seakan ada gerbang yang dibina dengan pokok melengkung. Mula masuk ke hutan. Keadaan mula gelap semula, aku cuma nampak bayang pokok.
Kami berjalan dalam sebaris. Pakteh paling hadapan, kemudian ayah aku, aku dan pakcik Bahar dibelakang.
Lampu belum boleh dibuka.
Gusar sedikit. Aku tak takut, cuma risau tersadung akar. Aku cuma memerhati tapak Ayah, gunakan tapak yang sama elakkan tersadung.
Berlecak juga tapak tanah itu. Sampai di satu titik, lampu sudah boleh dibuka. Kami berpecah, dalam radius 50 meter.
Tapi aku ikut rapat ayah aku. Sebab itu tugas aku. Senarai tugas untuk penjelasan;
Ayah: Penembak
Pakteh dan Bahar: Penyuluh
Aku: Pembawa
Pakteh menyuluh, terpancar satu cahaya putih memantul. Siulan pertama dihasilkan oleh Pakteh. Isyarat memanggil.
Ayah membidik, tembakan pertama dilepaskan, dari Baretta 682 krom hitam.
Ayah berjalan ke sasaran, mengeluarkan parang. Putuskan urat merih agar halal dimakan.
Kancil dibelah, isi perut dibuang. Hasilnya dimasukan kedalam beg yang aku bawa. Mungkin 4 kilo, anggarku. Baru seekor.
Kami teruskan menapak dalam gelap. Aku juga berusaha untuk menyuluh. Satu cahaya merah memantul, aku bersiul. Ayah membisik, "Merah, burung."
KAMU SEDANG MEMBACA
KOLEKSI CERPEN SATU MUKA SURAT
HumorSebuah Cerita Pendek dan Singkat dengan Tema yang bercampur.