TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 2

1K 27 1
                                    

SYED Haidar mendukung Cik Mafia masuk ke dalam klinik. Dia sedar ada beberapa pasang mata yang memandang. Namun sebaik sahaja terlihat kecederaan Cik Mafia, mereka tak ambil peduli seakan-akan faham dengan situasi yang dihadapi. Wajarlah kalau dia mendukung orang yang tercedera. Sebaik tiba di kaunter pendaftaran, dia perasan kaunter itu kosong, tiada jururawat.

"Apa yang kau tercegat ni? Baik kau turunkan aku. Kalau tak aku tumbuk karang!"

Syed Haidar memandang Cik Mafia. Dari tadi asyik ugut nak tumbuk saja. Badan kecil, muka comel tapi ganas ya amat. Dia perasan ada tahi lalat halus di bawah kening sebelah kiri gadis itu. Terletak cantik hampir ditutupi bulu kening. Kenapa tadi dia tak nampak tadi? Comel sangat. Dah kenapa pula dia asyik sebut comel?

"Cepat turunkan aku. Aku boleh daftar sendiri!"

Sibuk menilik kening Cik Mafia, Syed Haidar

terleka. Cepat-cepat dia menurunkan gadis itu sebelum dia kena tumbuk betul-betul. Seorang jururawat muncul dan menghadiahkan senyuman. Namun riak muka jururawat itu tiba-tiba berubah. Syed Haidar angkat tangan.

"Sempat lagi nak menggatal. Pergi duduk sana."

Syed Haidar membiarkan Cik Mafia berjalan berdengkot-dengkot ke kaunter pendaftaran. Orang sombong tak perlu ditolong. Dia duduk di kerusi menunggu. Matanya melihat gadis seperti lelaki itu berjalan ke arahnya. Dibuat tak tahu. Sudah selesai dengan pendaftaran agaknya. Syed Haidar keluarkan telefon bimbit. Tentu mamanya risau kenapa dia masih belum pulang.

"Orked Adelia... sila masuk bilik satu." Kedengaran jururawat memanggil nama seseorang.

Mata Syed Haidar masih melekat pada skrin handphone. Sedang berbalas WhatsApp dengan Datin Hanis. Saat dia risaukan Suhaila, dugaan lain yang timbul. Pengumuman tadi dia tak ambil peduli. Pesakit lain agaknya.

"Orked Adelia, sila masuk bilik satu." Jururawat mengulangi pengumuman sekali lagi. Kali ini dengan nada lebih keras.

Syed Haidar mengangkat kepala. Jururawat yang memanggil nama Orked memandangnya dengan senyuman pelik sambil ibu jari menunjuk ke arah gadis di sebelahnya. Baru dia perasan hanya dia dan Cik Mafia yang sedang menunggu giliran. Ditoleh sebelah memandang gadis itu. Melihat pandangan tajam Cik Mafia, dia terfikir sesuatu. Takkanlah...

"Gelaklah kalau berani. Rongak gigi depan tu kang!" Cik Mafia angkat kening sebelah dengan muka garangnya. Matanya disepetkan.

Syed Haidar tutup mulut. Janganlah Cik Mafia ni tumbuk dia di sini. Hilang ketampanannya nanti. Gadis ini

pun satu, tak reti ke cakap elok-elok.

"Papah aku cepat! Nanti lambat-lambat nurse marah pulak."

"Tadi elok je boleh jalan sendiri." Syed Haidar tak puas hati.

"Kaki aku dah sakit sebab banyak berjalan tadi. Jangan banyak cakap boleh tak. Cepat papah aku!"

"Baik Cik Orked." Syed Haidar menurut arahan gadis itu. Dia memapah tubuh kecil molek itu menuju ke bilik rawatan.

"Orked Adelia... hmm... cantik nama tu," gumam Syed Haidar. Senyuman terukir di bibir.

"Panggil aku Del. Aku tak suka nama Orked!" Orked mendengus. Mujur dia sedang sakit. Kalau tidak memang kena pijak kaki mamat handsome ini.

"Nama Orked cantik," ujar Syed Haidar yang tidak mahu mengalah. Dia suka nama Orked. Unik dan menarik.

"Kalau kau mengada-ada panggil aku Orked... bukan setakat gigi rongak, aku simbah asid kat muka kau nanti."

Syed Haidar sengih sekilas. Nama dah cukup cantik. Rupa pun boleh tahan tapi sayang mulut berbisa. Garang sungguh! Rasa tak sesuai nama Orked dengan Cik Mafia ni. Tuan punya badan langsung tak ada ciri-ciri sekuntum bunga. Perangai tak cantik.

Tukang Masak Cik Mafia - Aein DhiyauddinWhere stories live. Discover now