KENING berkerunyut dan bebola mata sentiasa memfokuskan ke hadapan. Bebola mata itu juga tidak terlepas daripada melihat bulu tangkis itu terbang. Kedua-dua belah tangan digenggam erat. Perasaan kini begitu berdebar-debar mengalahkan pemain sahaja.
"Ahhhh... alaaa terlepas pulak!"
Tangan kanan yang digenggam sebentar tadi mula menepuk dahi sendiri. Rasa kesal mula menyelubungi hatinya yang sudah sememangnya melebihi pemain sendiri.
"Bola dekat depan net saja kut. Itu pun boleh terlepas."
Setiap kali pemain tidak mendapat mata, setiap kali itulah dia membebel. Bunyi sorakan gemuruh daripadan penyokong lawan begitu membuatnya rasa geram dan tidak betah. Selepas kekalahan yang dia terima daripada pemain itu, terus dia menutup laptopnya. Rasa bengang terhadap pemain yang banyak kehilangan mata itu sungguh membuatkan hatinya geram. Mahu sahaja dia berlawan dan menggantikan pemain yang tak berapa bagus itu.
"Lawan dengan Indon saja pun. Itu pun boleh kalah."
Mulutnya terkumat-kamit sambil mengeluarkan buku-buku dari beg sandang. Rasa penat selepas pulang dari kelas sebentar tadi masih lagi tersisa. Disebabkan mahu melihat pertandingan akhir perlawanan kejohanan badminton terbuka yang memaparkan pemain Malaysia dan Indonesia, terus dia meluru ke dalam bilik tanpa menjamah makan tengah hari yang disediakan oleh ibunya terlebih dahulu. Tetapi hampa pula jadinya selepas pemain berseorangan itu tidak berjaya menewaskan pemain dari Indonesia. Boleh murung satu hari.
Bunyi ketukan dari luar bilik menghentikan kelakuannya.
"Masuklah mama."
Pintu dikuak. Kelihatan mamanya, Puan Inessa sedang berpeluk tubuh di hadapan pintu.
"Dah habis dah tengok badminton?"
"Dah."
"Macam mana? Menang ke tak?"
"Tak." Jawab Astrella dengan hampa.
Puan Inessa senyum sinis.
"Lain kali, jangan letak harapan yang terlalu tinggi dengan pemain-pemain dari Malaysia. Mereka bukannya boleh pergi jauh pun."
"Mama." Bukan sekali dua dia mendengar kritikan itu.
"Sudahlah El. Mama dah bosan tengok kamu yang terlalu asyik dengan sukan tu. Kamu tu seorang pelajar perubatan haiwan. Bukannya seorang atlet yang mendambakan populariti manusia."
"Mama, apa salahnya El minat bidang sukan ni. El sokong sahaja, bukannya ikut main sekali."
"Yang sokong itulah mama tidak berkenan. Sudah, mari turun makan."
Seketika, Puan Inessa beredar dari situ. Astrella menghela nafas berat. Banyak kali dia menerima nasihat itu. Nasihat untuk tidak lagi menaruh minat terhadap bidang sukan yang paling digemarinya dari kecil.
"Sampai bila mama nak salahkan papa?"
Keluhan kecil yang sering meniti dibibirnya. Buku-buku teks mengenai perubatan haiwan ditatapnya sekilas.
"Bagaimanalah aku boleh end up ambil kos ni? Kos yang langsung aku tidak minat dari kecil."
Dia mengomel sendirian. Padahal dia tahu apa asbabnya.
Mestilah sebab mama.
Dia membuka laci meja. Frame foto dikeluarkan. Satu foto yang dia tidak pernah tunjuk kepada Puan Inessa kerana dia tahu apabila Puan Inessa melihat foto ini, sudah pasti ibunya akan membuang foto itu ke dalam tong sampah. Cukuplah segala peralatan badmintonnya sebelum ini sudah dibuang dan dibakar oleh Puan Inessa sendiri selepas mendapat tahu yang anaknya menyimpan barangan terlarang tersebut.
YOU ARE READING
BIARKU TAWAN BINTANG ITU
RandomAstrella atau El seorang anak yang mendambakan kasih sayang daripada seorang ayah dan adik kembarnya yang sudah terpisah berbelas tahun lamanya. El mempunyai misi untuk ke Kuala Lumpur demi mencari jejak mereka tanpa pengetahuan Puan Inessa, ibunya...