14 Januari 2018
"BERHENTI!!!"
Zahirah menjerit akhirnya. Dan tindakannya itu berjaya menarik perhatian si pembunuh.
Tak disangka-sangka, tiba-tiba insan itu berdiri tepat bertentangan.
Zahirah terpanar. Dia ingin berundur, menjauhi insan bertopeng itu tetapi entah kenapa kaki serasa bagaikan dirantai. Dia ingin menjerit sekali lagi tapi suara tak dapat bebas dari kerongkong. Dia juga ingin panjangkan tangan dan menolak insan itu tetapi tangan Zahirah bagaikan lumpuh. Zahirah tak mampu lakukan apa-apa!
Dalam terpaksa, Zahirah merelakan pandangannya bersabung dengan mata insan itu. Zahirah menahan nafas sedayanya. Tatkala guruh munculkan diri, Zahirah dapat lihat sepasang mata dingin itu dengan lebih jelas. Bertambah terkesima Zahirah dibuatnya.
Pada sepasang mata itu... Zahirah seakan-akan melihat perkataan 'puas'. Tiada anggota lain yang kelihatan selain sepasang mata itu tetapi Zahirah bagaikan dapat melihat si pembunuh sedang tersenyum bangga. Jantung berdegup kencang manakala darah terus-terusan mengalir lebih laju daripada kebiasaannya.
"To... long..."
Suara lemah itu menyapa pendengaran Zahirah sekali gus menarik perhatian Zahirah kepadanya. Zahirah pandang si mangsa, kemudian Zahirah pandang si bedebah. Bergilir-gilir. Kaki mulai berundur, menjauhi si pembunuh. Zahirah terus dapatkan si insan malang dan duduk bersimpuh di sisinya. Terketar-ketar tangannya menyentuh tubuh yang sudah berdarah-darah itu.
Telinga dapat menangkap bunyi derapan langkah di belakang. Zahirah yakin pastinya si bedebah itu sudah melarikan diri. Lalu nafas dihela panjang, cuba menggali segala konsentrasi dan fokus.
"Aku doktor. Aku doktor. Aku tak boleh gelabah. Aku kena fikirkan keadaan dia..."
Zahirah berbisik kepada diri sendiri. Saat ketenangan mulai menyapa diri, spontan tangan Zahirah memeriksa nadi mangsa.
Lemah tapi masih bernyawa!
Adalah mustahil untuk Zahirah menekap dan memberi tekanan pada setiap bekas tikaman itu kerana firasat Zahirah memberitahu, jumlahnya terlalu banyak. Juring mata Zahirah serasa hangat tatkala rasa takut dan kasihan menerpa diri tapi dia menggeleng laju. Tak, dia tak boleh tewas dengan emosinya!
Tangan kanan mangsa cuba ditarik. Zahirah mahu membantu dia berdiri dan memapahnya masuk ke dalam kereta namun gagal. Barulah Zahirah perasan sebenarnya tangan itu sudah terikat ke belakang badan.
"Cik!" Tiba-tiba satu suara menegur dari belakang. Sepantas kilat Zahirah menoleh. Waktu itu jugalah kilat dan guruh bersabung lagi, sekali gus menampakkan wajah si pemilik suara.
"DOKTOR ANA ZAHIRAH."
Hanya dengan sekali seru, Zahirah menengadah. Seraut wajah yang tadinya hanya bermain di layar minda Zahirah, kini muncul di depan mata secara literal.
"Zaf..." Zahirah menyebut nama Muzaffar perlahan.
Ya, Muzaffarlah yang menghulurkan bantuan kepadanya malam itu. Kebetulan Muzaffar turut ada sama di kawasan itu. Muzaffar segera mencempung tubuh si mangsa dan seperti diarahkan Zahirah, mereka menaiki kereta Zahirah ke hospital terdekat.
"Dia akan selamat. Doktor Farhan boleh selamatkan dia."
Muzaffar yang duduk di sebelah Zahirah bersuara lagi, kali ini memetik nama pakar bedah yang ada di dalam bilik pembedahan sekali gus menjeda pita memori Zahirah. Sementara seluruh perhatian Muzaffar tertumpu pada Zahirah, wanita itu pula sekadar tunduk merenung lantai.
Doktor Farhan... Seorang pakar bedah di Hospital Sultan Ismail (HSI) ini. Mempunyai rekod bagus sepanjang perkhidmatannya dan sering menjadi buah mulut mereka yang bekerja dalam bidang ini. Zahirah boleh senaraikan sejuta kebaikan dan kebolehan Farhan. Seandainya itu mampu menenangkan hati Zahirah, dia mampu senaraikan bahkan dua juta! Tetapi...
YOU ARE READING
Jagakan Aku
Mystery / ThrillerTajuk: Jagakan Aku Penulis: Syu Ariani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-139-4 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2019