PROLOG

1.3K 36 1
                                    

PELUH menitik!

Jantung berdegup kencang!

Kaki mula terasa kejang!

Namun, dia terus lari dan berlari. Sedaya upaya dia cuba untuk menjauhkan diri. Sesekali dia menoleh ke belakang. Risau sekiranya dia masih diekori. Bila tiada sesiapa di belakang, hatinya berasa sedikit lega. Lalu, dia kembali menoleh memandang hadapan.

"Arghhh!"

Dia berhenti mengejut daripada larian tadi. Kerana kedudukan badannya yang tidak seimbang, dia jatuh terduduk ke belakang. Kepalanya terhentak sedikit, membuatkan dia mengaduh kesakitan. Namun, sakit itu hanya seketika. Dia kemudian mendongak kepala, lalu terlopong melihat apa yang ada di hadapannya saat ini.

Seorang lelaki berwajah pucat sedang berjalan menghampirinya dengan wajah yang masam mencuka. Leher lelaki itu terkoyak seperti disembelih dengan senjata yang tajam. Kerongkongnya jelas kelihatan. Darah merah pekat mengalir tanpa henti sedari tadi. Matanya yang hitam pekat terbeliak memandang lelaki di hadapannya itu.

"Mana kau pergi? Sampai hati kau tinggalkan aku. Sampai hati kau biarkan aku keseorangan."

"Arghh! Pergi! Pergi! Jangan datang dekat dengan aku. Kau dah mati! Kau dah mati!"

"Memang aku dah mati! Semuanya salah kau! Kau punca!"

"Arghhh! Tidak! Tidak!"

Dia paksa diri untuk bangun. Dengan langkah permulaan yang hampir tersadung, dia kembali berlari. Sambil itu, air matanya mengalir laju.

Dia takut. Dia sedih. Dia tidak mampu menanggung semua dugaan ini lagi.

"Aku tak sangka kau khianati kami! Aku sangka kau kawan baik kami! Kami percaya kau. Tapi, kau khianati kepercayaan kami!"

Kali ini seorang lelaki lain pula muncul di hadapannya. Wajah lelaki kedua, sama seperti wajah lelaki pertama, pucat lesi seperti mayat. Cuma lelaki kedua, badannya penuh dengan darah. Terdapat dua lubang besar di dada dan perut lelaki itu. Seperti tembus ditusuk sesuatu. Kelihatan juga cebisan-cebisan daging yang tergantung daripada lubang luka di badannya.

"Bukan aku! Aku tak bunuh kau orang! Aku tak bunuh kau orang! Ini semua kerja syaitan durjana itu. Bukan aku!"

"Tapi kau puncanya! Kau yang cari pasal! Kau penyebab semua ini berlaku!"

Dia berkalih melihat ke belakangnya. Mencari tuan empunya suara yang memarahinya. Kali ini kelihatan seorang lelaki tidak berwajah berdiri di hadapannya. Muka lelaki ketiga itu hancur teruk. Hanya kelihatan cebisan-cebisan daging membusuk yang terkoyak tanpa bentuk wajah yang sempurna.

Ketiga-tiga mayat hidup itu kini mengelilingi dirinya. Tiada tempat lagi untuk dia melarikan diri. Dia terduduk melutut. Wajahnya hampir sahaja menyembam ke bumi. Dia menangis teresak-esak sehingga sesak dadanya.

Sungguh, dia rasa bersalah. Dia rasa berdosa. Namun, apakan daya, dia sendiri tidak mampu untuk menghalang kejadian itu daripada berlaku.

"Maa... maafkan aku semua... Maafkan aku! Maafkan aku, Shahrul! Maafkan aku, Azman! Maafkan aku, Akim!"

Ketiga-tiga pemuda itu memandang tanpa perasaan. Mereka kemudian menyatakan sesuatu serentak. Satu kata sumpah yang bakal menghantui dirinya buat selamanya.

"Tiada maaf bagimu Azril!"


"ARGHHH!"

Azril terjaga daripada tidurnya. Dadanya berombak deras. Seakan-akan baru sahaja melakukan aktiviti berat yang memerlukan stamina yang tinggi. Tercungap-cungap dia mencari nafas. Seluruh badan dan wajahnya basah dengan peluh.

Buat seketika dia berada dalam keadaan terpinga-pinga dan kemengahan sebegitu. Kemudian, dia tiba-tiba berkelakuan pelik.

"Hahaha... hahaha..." Azril ketawa sambil menepuk-nepuk tilamnya. Wajahnya yang keletihan tadi bertukar ceria serta-merta.

"Haha, apalah kau orang ni! Sudah mati pun nak kacau aku lagi! Tak guna punya kawan! Haha, tak boleh tengok aku senang langsung," kata Azril sambil ketawa suka.

Setelah puas ketawa, mukanya kembali muram. Perlahan-lahan air mata lelaki itu mula mengalir. Tangisannya pula kedengaran, menggantikan ketawa suka tadi. Daripada perlahan hinggalah semakin kuat. Dia meraung meratapi kematian rakan-rakannya.

Peristiwa yang berlaku kepada mereka itu sangat memberi kesan terhadap dirinya.

"Pergi! Pergi! Aku tak mahu ikut kau orang! Pergi!"

Jeritan, tangisan dan ketawa Azril berulang-ulang dan berganti-ganti. Menepis pergi kesunyian pada malam itu. Keadaan dirinya yang sudah berlarutan sekian lama itu semakin teruk daripada hari ke hari.

Mungkin, dia perlu kembali semula ke hospital sakit jiwa jika keadaan ini berterusan.

PRANKWhere stories live. Discover now