BAB 3

424 12 0
                                    

"SIAPA kau?"

Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya berdiri kaku di hadapan Saiful. Wajahnya tidak jelas kelihatan. Seluruh tubuhnya, bermula daripada kepala hingga ke kaki, hanya kehitaman. Tiada rupa yang jelas. Namun, Saiful yakin makhluk itu bukan manusia. Bentuk tubuhnya besar seperti beruk, badannya berbulu, tingginya lebih kurang dua kali tinggi Saiful.

Pada wajahnya yang kehitaman, jelas kelihatan sepasang mata yang merah menyala. Atas kepalanya terdapat dua tanduk tajam di kiri dan kanan. Dua tangannya besar berotot dengan kuku panjang dan tajam meruncing. Sekali dilibas, pasti robek tubuh badan Saiful.

"Apa kau mahu daripada aku?" soal Saiful lagi.

Saiful tahu mahkluk di hadapannya itu bukanlah kawan, tetapi musuh. Musuh yang penuh dengan seribu satu tipu daya. Andai tidak kuat semangat, pasti akan terjerumus ke dalam perangkap yang di pasangnya.

"Grrr... " Makhluk itu menderam seraya melangkah ke hadapan selangkah demi selangkah.

Setiap langkahannya menghampiri Saiful, membuatkan nafas Saiful menjadi sesak. Dadanya seperti dihimpit oleh sesuatu yang ghaib. Ditekan kuat sehingga sukar untuk bernafas.

Saiful mula kepenatan. Dahinya mula mengeluarkan peluh. Tubuhnya kesakitan, seperti disiat-siat. Sebelum keadaan semakin melarat, mulut Saiful terkumat-kamit membaca sesuatu.

"Allahulailahailla huwalhaiyulqaiyum... La ta'khudhuhu sinatun wa la nawm, lahu ma fissamawati wama fila'rd, man dhalladhi yashfaui'ndahu illabiidhnih, ya'lamuma baina aidihim wama khalfahum, wala yuhitunabishaiim mini'lmihi illabimasha', wasia'kursiyuhus samawatiwalard, wala yauduhu hifdhuhuma, wahuwal a'liyula'zhim."

Selesai membaca ayatul kursi sebagai pendinding, mahkluk itu mula terbakar sedikit demi sedikit. Api merah membakar bermula dari kakinya, melarat ke seluruh tubuh.

Saiful mula terlepas daripada belenggu ghaib yang menghimpit dirinya. Perlahan-lahan sehingga dia rasa bebas sepenuhnya.

Sebelum hancur terbakar, mahkluk itu bersuara dengan kasar. "Kau takkan terlepas Saiful."

"Aku berlindung dengan nama Allah daripada makhluk yang terkutuk seperti kau," balas Saiful, membuatkan mahkluk itu semakin menderam marah.

"Aku akan kembali dan akan mengganggu hidup orang seperti kau. Sampailah tuan aku dibebaskan!" kata makhluk itu lagi.

"Siapa tuan kau?"


SAIFUL tersentak. Matanya terbeliak. Nafasnya disedut panjang seperti orang yang sedang nazak buat beberapa saat.

"Huh... " Saiful menghembus nafasnya dengan kuat. Seperti lehernya baru sahaja terlepas daripada dicekik.

Terus Saiful bangun, terduduk. Seluruh tubuhnya berkeringat. Nafasnya laju, dadanya berombak. Buat beberapa ketika, Saiful memejam dan membuka mata beberapa kali. Kepala tergeleng sesekali sebelum dia sedar bahawa dia hanya bermimpi.

"Allahhuakbar..." Takbir Saiful kemengahan sambil meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan.

Setelah hilang sedikit kepenatan, Saiful menjeling jam dinding yang bertentang dengan katil.

"Pukul 3.00 pagi... Astaghfirullah al-azim... Mimpi rupanya aku. Mainan syaitan," kata Saiful sambil meludah syarat ke sebelah kiri.

Ini bukan pertama kali Saiful bermimpi yang bukan-bukan seperti ini. Bahkan sebelum ini banyak lagi mimpi aneh dan menakutkan yang selalu mengganggu tidur Saiful. Bukannya dia tidak membaca doa mahupun berwuduk sebelum tidur. Semua itu sudah dilakukan.

Al-Fatihah, ayat Kursi, al-Mulk, empat Qul, semuanya menjadi rutin harian sebelum dia tidur. Namun, mimpi-mimpi pelik seperti ini masih lagi berterusan datang.

Saiful bangun perlahan-lahan dan melangkah menuju ke bilik air. Lampu dibuka. Lalu dia berwuduk dalam kesejukan malam.

Semenjak dua menjak ini, Saiful kerap mengisi malamnya yang terganggu dengan solat sunat dua rakaat. Baginya, mimpi yang mengejutkannya daripada tidur itu mungkin hanyalah sebagai perantara daripada Allah supaya dia bangun menunaikan solat dan mendekatkan dirinya kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Sejadah dihampar dalam kegelapan malam. Sinar bulan mengambang pada malam ini menerobos masuk melalui tingkap dan memberi sedikit cahaya dalam bilik tidur Saiful. Membuatkan dia tidak perlu memasang lampu untuk menunaikan solat sunat tahajud.

"Allahuakbar..."

Selepas mengangkat takbiratulihram, Saiful mula membaca Al-Fatihah diiringi dengan surah Al-Baqarah. Surah yang panjang itu menjadi hafalan Saiful kerana dia mendengar akan nasihat seorang sahabatnya, Malik, yang merupakan pakar perubatan Islam.

Kata Malik, rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya sukar untuk ditembusi syaitan. Dalam satu hadis baginda Nabi Muhammad SAW turut menceritakan tentang kelebihan surah ini.

Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki Syaitan. Hadith Riwayat Muslim.

Saiful membaca satu per satu ayat-ayat surah Al-Baqarah dengan tenang. Dia cuba menghayati setiap maksud ayat yang dibaca walaupun ada yang terlupa. Sedang khusyuk menghadap pencipta-Nya, bulu roma di belakang leher Saiful menegak tiba-tiba. Meremang seluruh badannya.

Krekkkkk!

Bunyi almari pakaian baju Saiful terbuka. Secara spontan Saiful terjeling dengan ekor matanya. Melihat ke arah almari yang berada di sebelah kiri Saiful saat ini. Khusyuk yang hadir dalam solat tadi hilang dengan sendirinya.

Pap! Pap! Pap!

Dari ekor matanya Saiful dapat melihat satu demi satu baju yang tersimpan kemas di dalam almari melayang keluar. Seperti dibuang seseorang dari dalam almari. Bertimbun baju Saiful di atas lantai.

Saiful cuba mengabaikan gangguan tersebut. Dia kembali membaca surah Al-Baqarah yang terhenti buat seketika tadi. Dikuatkan sedikit bacaannya. Tanda memberi 'amaran' kepada tetamu tidak diundang itu.

Bam!

Pintu almari ditutup kembali dengan kasar. Seperti marah dengan perbuatan Saiful. Buat seketika bilik Saiful kembali sunyi, hanya kedengaran lunak suara Saiful membaca ayat-ayat suci al-Quran. Saiful sangka 'tetamu' itu sudah pergi, rupanya dia beralih kedudukan.

Krekkk!

Bunyi keriuk itu datang daripada siling. Seperti ada sesuatu yang berat sedang memijak-mijak siling bilik Saiful. Beberapa saat kemudian, kipas siling di bilik itu berayun pelik daripada kedudukan asal, seperti ada sesuatu yang sedang bergayut di situ. Ke kiri dan ke kanan dengan bilah kipas yang masih berpusing.

Saiful memejam mata. Tidak sanggup lagi mahu melihat permainan 'makhluk' itu. Solat diteruskan. Bacaan dikuatkan. Saiful paksa diri untuk khusyuk dengan bacaan solat sehingga ke tahiyat akhir.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Kepala dipalingkan ke kanan.

"Assalamualaikum warahmatullah... " Salam kedua diiringi oleh palingan wajah ke arah kiri.

Selesai solat Saiful meraup wajahnya hingga ke bawah dagu. Dia kemudian melihat sekeliling biliknya. Tiada apa yang aneh. Tiada apa yang berubah. Almari tertutup kemas. Tiada baju yang bertaburan di lantai bilik. Kipas siling berpusing seperti normal.

"Jahat betul..." rungut Saiful.

Saiful melipat sejadah. Diangkat lalu diletak di hujung bucu katil. Dia kemudian menuju ke meja di dalam biliknya dan duduk di kerusi yang ada di situ. Laptop dihidupkan. Dia mula menulis.

PRANKWhere stories live. Discover now