Cassius menghembus nafas perlahan. Matanya dibuka dan mendongak ke atas. Kelihatan awan-awan di atas langit semakin gelap. Tidak lama lagi hujan akan turun. Angin juga sudah bertiup sedikit kencang. Pokok-pokok mula menari-nari mengikut arah angin bertiup. Telinganya berdesing mendengar bunyi angin tersebut.
Entah mengapa dia berasa tidak enak. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak beres. Tiba-tiba sahaja seekor burung cinta bertopeng mendarat di atas paha kiri Cassius yang ketika itu masih dalam posisi duduk bersila. Jarang sekali mana-mana burung atau pun haiwan akan mendekatinya sebegitu dekat. Baginya, jika ada mana-mana haiwan yang cuba mendekatinya secara dekat itu bermaksud ada petanda buruk sedang berlaku. Bagaikan haiwan itu ingin menyampaikan sesuatu berita yang tidak baik kepadanya.
Cassius merenung burung cinta bertopeng itu. Burung tersebut berbunyi dan berbunyi seperti sedang berkata-kata. Burung itu bagaikan mahu menyampaikan sesuatu kepada Cassius. Cassius menarik nafas lalu menghembusnya dengan tenang. Tangan kiri dan kanannya mula bergerak ingin mengambil burung itu. Burung itu pula tidak takut atau pun tidak terbang apabila Cassius ingin menyentuh tubuhnya yang kecil itu.
Burung itu dengan tenang memijak tapak tangan Cassius dan berdiri di situ. Cassius pun mengangkat kedua belah tangannya separas dada dan perhatikan burung cinta bertopeng itu. Burung cinta bertopeng itu sekali lagi berbunyi-bunyi. Apabila burung itu berbunyi-bunyi, Cassius tiba-tiba sahaja mendapat satu penglihatan yang luar biasa.
Di dalam penglihatannya itu, dia dapat lihat Nilsa sedang berlari. Gadis itu kelihatan cemas. Kerap kali juga dia terjatuh dan memuntahkan darah yang banyak. Dia juga tidak henti-henti batuk dan muntah-muntah. Wajahnya juga sudah berubah menjadi pucat dan tidak bermaya. Bibirnya kelihatan biru keungu-unguan. Cassius juga dapat lihat Nilsa sedang menahan sakit pada bahagian dadanya. Lebih mengejutkan lagi, baju yang dipakai oleh Nilsa menampakkan tompokan darah yang banyak di bahagian dadanya itu. Cassius juga dapat mendengar suara rintihan Nilsa yang ketika itu menahan sakit. Wajahnya jelas menunjukkan gadis itu betul-betul terseksa.
Guruh berbunyi bertalu-talu di atas langit dan angin semakin kencang bertiup. Cassius mengelipkan mata sebaik sahaja dikejutkan dengan bunyi guruh yang sabung-menyabung. Burung cinta bertopeng yang berada di tangannya tadi sudah pun terbang sebaik sahaja guruh berbunyi dengan kuat. Cassius bangkit dari tempat pertapaannya. Nalurinya memang tidak salah lagi. Ada sesuatu yang tidak beres! Nilsa anak muridnya memerlukan bantuan. Dia sudah tahu keberadaan anak muridnya itu sekarang. Dia sangat berterima kasih kepada burung cinta bertopeng itu. Jika tidak, dia tidak tahu bahawa Nilsa berada dalam bahaya sekarang.
Tanpa melengahkan masa lagi, Cassius mengambil tongkat saktinya yang terletak di atas batu. Sesudah itu, dia dengan pantas mula berlari lalu melompat ke udara bagaikan dirinya sedang terbang. Melalui kuasa kebatinannya, dia boleh mengapungkan diri ke udara dan melompat pohon ke pohon seperti seekor tupai terbang. Dia bagaikan seekor tupai terbang yang boleh terbang ke udara dan mendarat dengan sempurna di atas dahan pokok. Begitulah Cassius ketika dia menggunakan ilmu kebatinannya. Dia tidak sekali pun tumbang atau jatuh kerana dia sudah mahir menggunakan ilmu kebatinannya sejak dari dulu lagi. Dia dapat menyeimbangkan diri dan bebas bergerak di udara.
Cassius mendarat di atas tanah setelah melompat dari pohon ke pohon itu apabila ternampak Nilsa sedang berusaha berlari. Dia memaksa dirinya itu berlari sedangkan keadaannya begitu parah. Cassius terus melaung memanggil Nilsa dan berlari menuju ke arah anak muridnya itu.
"Nilsa!"
Nilsa yang ketika itu ternampak Cassius berlari menuju ke arahnya mula berasa lega. Gurunya masih hidup! Dia mahu mendekati lelaki tua itu namun dia tidak mampu lagi meneruskan lariannya. Dia tumbang. Cassius terus mendapatkan Nilsa yang terjatuh itu. Apabila Cassius sudah berada di situ, Nilsa terus memegang tangan Cassius dan mendongakkan kepalanya memandang gurunya itu dan mula bercakap.
YOU ARE READING
Memoria [Sahabat Yang Hilang]
FantasyNilsa bertemu dengan Griselda ketika mereka berusia 5 tahun. Mereka mula menjadi sahabat akrab pada usia yang terlalu muda. Griselda yang mempunyai kebolehan istimewa itu hanya diketahui oleh Nilsa dan menyimpan rahsia itu. Ditakdirkan pada suatu ha...