Suasana pada waktu petang di kampung Utopia itu begitu nyaman. Anginnya bertiup perlahan menyebarkan aroma harum bunga-bungaan yang sedang kembang mekar di kawasan perkampungan tersebut. Bukan setakat bunga yang ditanam di sekitar kawasan itu sahaja yang ada malah bunga liar juga hidup subur di kampung itu. Tidak hairanlah jika kampung itu berbau harum. Terlalu banyak bunga yang indah dan cantik!
Pada waktu itu, ramai yang mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti riadah di luar terutamanya kanak-kanak. Pusat melakukan riadah itu dilakukan di sebuah taman berdekatan. Taman itu indah. Ada tasik, pokok-pokok yang rendang sesuai untuk melakukan aktiviti berkelah, padang yang luas dan mempunyai tumbuhan berbunga di taman itu. Satu-satunya tempat orang-orang kampung Utopia singgah sama ada mahu menenangkan jiwa yang tengah kacau atau pun sekadar menghabiskan masa di kawasan indah tersebut.
Di taman itu, kelihatan ramai kanak-kanak dan orang dewasa yang datang bermain dan beriadah. Terdapat juga beberapa orang yang hanya duduk di bangku kayu yang disediakan di taman itu. Menghirup udara segar petang itu sambil ralit memerhati kerenah orang-orang di sekelilingnya. Di sudut taman, kelihatan dua orang budak perempuan yang comel sedang duduk di hamparan rumput. Seorang memakai gaun bewarna merah jambu dan rambutnya ditocang dua. Manakala seorang lagi memakai gaun bewarna merah dan rambutnya diikat satu dan dihiasi dengan reben merah yang sederhana besar. Mereka kelihatan agak berbeza daripada kanak-kanak lain yang aktif bermain. Mereka hanya duduk dan bersembang sesama sendiri dan adakalanya tertawa. Kanak-kanak yang lain bukan tidak mahu berkawan dengan mereka. Cuma mereka tahu, kedua-dua budak perempuan itu sangat nakal dan suka mengusik sesiapa sahaja. Ya. Siapa tidak kenal Nilsa dan Griselda. Kanak-kanak yang comel tetapi nakal dan degil.
“Griselda, mari kita kenakan budak-budak lelaki yang bermain bola itu. Awak boleh gunakan kuasa awak.” Nilsa yang bertocang dua berbisik kepada sahabatnya. Mereka masing-masing berumur 7 tahun.
“Bagaimana? Apa yang saya perlu buat?” Griselda yang berada di sebelahnya turut membalas dengan bisikan.
“Alah, itu mudah sahaja. Awak gunakanlah kebolehan awak untuk mengawal pergerakan bola itu. Mari kita tengok apa reaksi mereka.” Nilsa berbisik dalam nada teruja.“Tetapi ramai orang di sini sekarang. Nanti mereka sedar akan kebolehan saya.” Griselda ragu-ragu.
Nilsa menepuk bahu rakan baiknya itu.
“Tenanglah kawan. Ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali kita gunakan kebolehan awak untuk mengusik orang lain. Sampai sekarang tak ada siapapun yang tahu.” Nilsa mengangkat kening.Matanya dibesarkan. Dia mengangguk-angguk kecil sambil memandang tepat wajah sahabatnya yang duduk bersebelahan dengannya. Sama seperti Griselda, dia juga petah berkata-kata.
“Betul juga kata awak. Lagipun bosanlah asyik melihat mereka bermain. Elok kita cari hiburan sendiri.” Griselda mengalihkan pandangan ke arah sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain bola. Dia tersenyum senget.
Nilsa diam apabila melihat Griselda mula merenung tajam ke arah kumpulan budak lelaki tersebut. Dia tahu Griselda akan melakukan sesuatu yang bakal mengucar-ngacirkan semua budak lelaki itu. Dia mula tahu kebolehan sahabatnya itu sejak mereka mula menjadi kawan rapat dan hanya dia dan Griselda sahaja yang mengetahui akan perkara itu.Dari mana Griselda mendapat kebolehan itu? Griselda pun tidak pasti kerana katanya kebolehan itu seperti sedia ada dalam dirinya. Dia hanya menyedarinya setahun sebelum dia bertemu dengan Nilsa.
Sementara Nilsa hanyalah seorang kanak-kanak biasa tetapi dia agak genius dan cepat belajar berbanding kanak-kanak lain. Griselda pernah cuba mengajar salah satu kebolehannya kepada Nilsa. Tetapi kuasa yang ada padanya seperti tidak boleh masuk ke dalam tubuh Nilsa. Akibatnya, apa yang diajarkannya tidak pernah menjadi. Mungkin kebolehan itu tidak sesuai untuk Nilsa. Mungkin.
Nilsa memandang muka Griselda dengan hairan. Dari tadi dia menunggu namun tiada apa-apa pun yang berlaku kepada budak-budak lelaki itu. Griselda hanya merenung mereka dengan tajam tanpa berkelip. Selalunya Griselda akan membaca mantera apabila mereka mengusik orang lain. Tetapi kali ini lain pula caranya. Dia tidak pernah menggunakannya sebelum ini.
Nilsa ingin menegur sahabatnya itu namun dia tidak jadi apabila tiba-tiba sahaja terdengar keriuhan suara budak-budak lelaki itu. Nilsa menoleh. Terbeliak matanya melihat bola sedang mengejar mereka itu. Tadi mereka mengejar bola. Kini bola pula yang mengejar mereka. Bola itu seperti ingin membalas dendam pula apabila sering disepak sana sini.
“Tolonggggggggg!!!”
Kelihatan seorang budak lelaki berlari laju sambil menjerit meminta tolong. Dia berlari lagaknya seorang pelari pecut sambil melihat bola yang mengejarnya. Dan...bupp! Dia terlanggar sebatang pokok sederhana besar di pinggir taman tu. Dia jatuh terduduk lalu menangis teresak-esak. Malang sungguh nasibnya. Sudahlah dikejar bola. Terlanggar pokok lagi. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Salahnya sendiri. Berlari pun tidak memandang ke hadapan. Sekarang tubuhnya pasti lebam akibat terlanggar pokok itu.
Bola itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Bola itu terus menyerang budak-budak lelaki yang lain. Mereka berteriak. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Sehingga ada yang berlanggar antara satu sama lain. Ada yang jatuh tersembam. Ada pula di antara mereka yang berjaya menyelamatkan diri dengan bersembunyi di balik rimbunan pokok-pokok bunga. Orang dewasa dan kanak-kanak yang lain kelihatan terkejut dan tergaman melihat bola itu bergerak sendiri seperti bernyawa.mereka sukar untuk percaya apa yang mereka lihat.
Taman yang tadinya riuh dengan suara riang kanak-kanak bermain, kini riuh pula dengan jeritan ketakutan dan tangisan budak-budak lelaki yang tadinya bermain bola. Setelah bola itu diam tidak bergerak di tanah lapang tempat mereka bermain tadi, barulah beberapa orang dewasa yang seperti baru tersedar berlari menuju ke arah budak-budak itu. Membantu mereka bangun dan berusaha menenangkan mereka. Budak-budak yang bersembunyi tadi pula sudah keluar dari tempat persembunyian mereka. Tetapi tiada sesiapa yang berani mendekati bola itu.
Griselda menghela nafas lalu memandang Nilsa di sebelahnya. Dia berusaha menahan ketawanya. Dia lihat Nilsa juga sepertinya. Berusaha menahan tawa. Mereka tidak boleh ketawa di situ. Nanti orang lain curiga pula. Dia bangun lalu menarik tangan Nilsa untuk bangun. Dia memberi isyarat untuk meninggalkan tempat itu. Mereka mula mengatur langkah pantas meninggalkan kekecohan di taman itu. Tergerak hati mereka untuk menoleh ke arah taman itu semula. Kelihatan seorang lelaki menendang bola tersebut dengan kuat. Entah macam mana bola yang ditendangnya itu tepat mengenai sebatang pokok di sudut taman itu. Bola itu melantun dan terkena kepalanya. Dia pengsan di situ juga. Nilsa dan Griselda tidak dapat menahan ketawa dan berlari meninggalkan taman itu.
Setelah agak jauh, mereka berhenti berlari. Mereka berhenti sebentar untuk menghabiskan ketawa yang masih tersisa. Setelah keadaan mereka menjadi reda, mereka mula berjalan beiiringan untuk pulang ke rumah.
“Saya tak boleh lupalah kejadian tadi. Lucu sangat.” Nilsa berkata sambil mengelap air matanya yang keluar akibat ketawa tadi.
“terutamanya budak yang terlanggar pokok tu.” Griselda pula berkata dalam nada lucu. Dia turut mengelap air matanya.
“Tapi saya peliklah. Cara awak kali ini lain. Awak tak baca mantera pun seperti sebelum-sebelum ni. kuasa apa awak pakai?” Nilsa meluahkan persoalannya yang sejak tadi terpendam. Dia memandang sekeliling. Bimbang jika perbualan mereka didengari oleh sesiapa.
“Tadi saya tidak gunakan mantera tetapi saya gunakan kuasa telekinesis.” Griselda memperlahankan nada suaranya. Matanya turut memerhati sekeliling.
“Telekinesis? Apa tu?” Nilsa ingin tahu.
“itu adalah kebolehan baru saya. Saya baru mendapatnya semalam. Kuasa itu memerlukan tumpuan yang tinggi kepada objek yang ingin digerakkan tanpa menyentuhnya. Sebab itu saya mengambil masa yang lama untuk mengawal pergerakan bola itu. Tambahan lagi bola itu bergerak ke sana sini.” Griselda berbisik. Nada suaranya semakin diperlahankan.
“Wah! Awak mendapat satu lagi kemahiran baru. Bagaimana awak melakukannya? Saya ingin cuba juga.” Nilsa tidak pernah berputus asa mahu mempelajari kebolehan yang ada pada sahabatnya itu. Bukan dia cemburu tapi dia memang suka belajar perkara baru. Griselda pula tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu dengan kawan baiknya itu.
“Senang sahaja. Awak cuba fokuskan pandangan pada satu objek yang awak mahu gerakkan. Beri tumpuan penuh. Sekiranya ia bergerak seperti yang awak mahu, bermakna awak telah berjaya menguasainya.” kata Griselda separuh berbisik.
Nilsa hanya menganggukkan kepalanya perlahan. Dia tidak bertanya apa-apa lagi kerana mereka sudah tiba di simpang masuk ke rumahnya.
“Selamat tinggal Griselda. Hati-hati berjalan tu ya. Esok kita jumpa lagi.” Katanya perlahan.
“Baiklah. Terima kasih Nilsa. Jumpa esok.” Griselda tersenyum menampakkan lesung pipitnya.
Nilsa berlari menuju ke rumahnya. Tiba di pintu rumah dia berpaling sekali lagi ke arah Griselda. Dia tersenyum dan melambaikan tangan. Griselda membalasnya. Griselda meneruskan langkah untuk pulang ke rumahnya setelah Nilsa masuk ke dalam rumah. rumahnya tidaklah bergitu jauh dari rumah Nilsa. Apabila tiba di rumahnya, dia cepat-cepat masuk kerana hari sudah beransur gelap.
Tanpa mereka sedar, mereka sedang diperhatikan oleh sepasang mata. Di mata itu terpancar sinar kejahatan.______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Collaboration Story By Yna & Ema
YOU ARE READING
Memoria [Sahabat Yang Hilang]
FantasyNilsa bertemu dengan Griselda ketika mereka berusia 5 tahun. Mereka mula menjadi sahabat akrab pada usia yang terlalu muda. Griselda yang mempunyai kebolehan istimewa itu hanya diketahui oleh Nilsa dan menyimpan rahsia itu. Ditakdirkan pada suatu ha...