"Mana Liu ni pergi? Sudah sejam aku tunggu dia balik tapi tidak muncul pun dia. Kau tahu dia pergi mana, Bao?" soal Fen ke arah Bao yang ketika itu sedang membaca buku. Bao hanya menghembus nafas lalu menjawab pertanyaan Fen, abang segurunya itu.
"Aku tidak tahu dia pergi mana. Tak payahlah kau cari dia. Dia bukannya budak-budak lagi. Pandailah dia pulang rumah." kata Bao. Dia masih membaca buku tentang seni pertahanan diri yang dia pinjam daripada Han.
Baru sahaja Fen hendak membuka mulut membalas kata-kata Bao, terdengar suara Liu menjerit-jerit dari arah belakang rumah hingga mengejutkan semua penghuni rumah di puncak bukit itu. Fen dan Bao segera bangun dari tempat duduk apabila terdengar suara Liu yang kedengaran seperti dalam bahaya. Mereka terus menuju ke arah belakang rumah apabila semua orang berlari tergesa-gesa ke belakang rumah. Sebaik sahaja mereka tiba di sana, alangkah terkejutnya mereka apabila Liu datang bersama dengan guru mereka yang sudah lebih 10 tahun mengembara tanpa ada khabar berita. Sekarang, mereka bertemu kembali guru mereka dan rindu mereka terhadap lelaki tua itu terhapus jua.
"Tok guru!"
"Guru!"
"Atok!"
Semua orang begitu gembira apabila Cassius datang ke rumah mereka. Cassius pula walaupun dalam keadaan risau akan keadaan Nilsa yang sedang parah itu, dia sebak. Dia dapat berjumpa kembali semua anak muridnya. Semua masih ingat akan dirinya itu.
"Macam mana awak boleh jumpa atok Liu?" soal Li Xiu ke arah Liu. Liu yang mahu menjawab pertanyaan Li Xiu itu tidak jadi berkata-kata apabila Cassius terlebih dahulu bercakap.
"Atok jumpa dia di Tanah Galoran tadi masa melarikan diri daripada serangan musuh. Zelos sudah kembali!" kata-kata Cassius membuatkan semua orang di dalam rumah itu terkejut.
"Zelos?!" kata Fen sebagai abang yang paling tua di dalam rumah itu.
"Ya. Tok tidak ada masa hendak terangkan semuanya. Tolong. Tolong selamatkan dia." kata Cassius ke arah mereka.
Yuanxi yang nampak Nilsa dalam keadaan parah itu pun mula mendekati Cassius. Dia melihat gadis malang itu yang sudah tidak sedarkan diri. Dia memeriksa denyutan nadi gadis tersebut. Dia dapat rasa denyutan nadi gadis malang itu sangat perlahan. Dia terus pandang ke arah Cassius, gurunya itu dan mula bercakap.
"Guru. Serahkan pada saya. Saya dengan Jinyi akan rawat dia malam ini. Atok berehatlah. Liu bawa atok berehat. Bao tolong hantarkan perempuan ni ke dalam bilik kak. Li Xiu sediakan makanan untuk Tok Guru. Fen panggil pak cik Han dengan pak cik Zhu. Bagi tahu mereka yang Tok Guru ada dekat rumah kita. Yang lain berkumpul dekat ruang tamu bersama Tok Guru." kata Yuanxi. Dia berpaling ke belakang semula dan lihat ke arah saudara seperguruannya itu yang setia bersama sehingga sekarang.
"Baik!"
Semua orang menerima arahan Yuanxi selaku kakak seguru yang tua. Mereka terus beredar manakala Bao mendekati Cassius dan mendapatkan Nilsa. Kali ini Nilsa dibawa oleh Bao menuju ke arah bilik Yuanxi. Yuanxi dan Jinyi sudah pun menuju ke tingkat atas rumah mereka. Tinggallah Liu dan Cassius di luar rumah itu. Mereka belum masuk ke dalam rumah lagi. Cassius menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, Nilsa dapat diselamatkan. Dia percaya, Yuanxi dan Jinyi boleh sembuhkan Nilsa kerana mereka adalah anak muridnya yang paling berbakat dalam merawat orang. Dia juga berharap racun daripada tubuh Nilsa dapat dihilangkan dan anak muridnya itu sembuh. Liu terus memandang Cassius sebaik sahaja saudara segurunya yang lain sudah masuk ke dalam rumah.
"Tok. Mari masuk. Sejuk di luar rumah ni." kata Liu. Cassius memandangnya lalu tersenyum. Dia pun mula berganjak masuk ke dalam rumah bersama dengan Liu.
_______
Yuanxi menarik nafas lega. Dia mengesat peluhnya lalu memandang Jinyi. Jinyi sedang menyelimutkan Nilsa yang sedang tertidur lena. Bibirnya yang biru keungu-unguan semakin hilang. Berkat usahanya mahu menyembuhkan gadis itu berjaya memulihkannya. Walau bagaimanapun, racun yang berada dalam tubuh gadis itu tidak pernah dia jumpa selama ini. Racun dalam tubuhnya bukan racun biasa. Dia dapat rasakan ada kuasa gelap ketika dia dan Jinyi menggunakan ilmu sihir mereka menyembuhkan Nilsa dan membebaskan dia daripada racun berbahaya tersebut. Gadis itu hampir mati. Jika Liu dan Cassius tidak bertemu di Tanah Galoran tadi, sudah pasti Nilsa mati dengan sia-sia.
"Yuanxi? Jinyi?"
Yuanxi tersentak daripada lamunannya. Dia melihat ke arah pintu bilik. Dia nampak Shufen berdiri di depan pintu itu.
"Kenapa?" tanya Yuanxi.
"Pak cik Han dengan pak cik Zhu sudah tiba. Pak cik Han mahu kamu berdua turun ke ruang tamu. Ada hal penting yang kita hendak bincangkan bersama dengan Guru kita." kata Shufen. Yuanxi menghembus nafas perlahan lalu menganggukkan kepala. Dia pandang ke arah Jinyi yang juga ketika itu memandangnya. Dia membuat isyarat supaya mereka berdua meninggalkan bilik itu. Jinyi faham akan maksud Yuanxi. Dia terlebih dahulu keluar dari bilik itu dan diikuti oleh Yuanxi.
Di ruang tamu pula, Cassius menceritakan hal sebenar mengapa dia melarikan diri bersama-sama dengan Nilsa, anak muridnya itu. Semua anak-anak muridnya begitu serius mendengar cerita sebenar tentang kejadian itu yang melanda Cassius dan Nilsa sepanjang mereka melarikan diri tadi. Pada masa itu jugalah Yuanxi, Jinyi dan Shufen turun dari tingkat atas dan menarik perhatian Cassius yang menunggu khabar tentang keadaan Nilsa. Sebaik sahaja mereka tiba di sana, Cassius pun mula bertanya tentang keadaan Nilsa.
"Bagaimana keadaan dia?" tanya Cassius. Yuanxi memberikan senyuman manisnya itu lalu menjawab pertanyaan Cassius.
"Dia baik-baik sahaja Tok Guru. Racun yang berada dalam tubuh dia berjaya kami hapuskan. Kalau kamu terlambat 30 minit, sudah pasti dia tidak bernyawa lagi." kata Yuanxi. Cassius menghembus nafas lega. Nilsa selamat.
"Menghairankan. Apa sebab Zelos mahu libatkan perempuan itu sedangkan dia langsung tidak ada kaitan dengan kejadian 20 tahun yang lalu. Perempuan itu tidak ada masalah pun pada dia. Kenapa harus melibatkan orang yang tidak terlibat dengan masalah kita?" kata Han selaku Pak Cik Ketujuh kepada saudara seperguruan di rumah itu.
"Tok tahu sebabnya." kata Cassius. Dia pandang satu demi satu anak-anak muridnya itu lalu mula berdiri dari tempat duduknya. Dia berjalan menuju ke arah jendela rumah lalu bercakap lagi.
"Tok tahu sebabnya mengapa Zelos hantar orang-orang suruhan dia untuk bunuh Tok termasuk Nilsa, perempuan yang Tok bawa itu tadi. Dia ada kaitan dengan kejadian 15 tahun yang lalu." Semua orang di rumah itu diam. Telinga sudah siap mendengar penjelasan Cassius yang ketika itu mulai serius.
"Sejak Tok ambil dia sebagai anak murid Tok, Tok perasan sesuatu pada anak murid Tok yang paling muda diantara kamu semua. Tok dapat rasa Nilsa bukan seorang perempuan yang biasa-biasa. Auranya dapat Tok rasa sewaktu kali pertama kami berjumpa di Hutan Silantoria. Aura dia begitu kuat tapi sayang kuasa dia tidak menonjol. Bernasib baik, dia sendiri yang mahu berlatih dan mahu menjadi anak murid Tok pada 8 tahun yang lalu." jelas Cassius sambil mengingat kembali memorinya berkaitan dengan Nilsa yang hingga kini masih menimba ilmu daripadanya.
"Tapi, setelah 5 tahun berlalu, Tok didatangi oleh Ratu Viloreq, adik kepada Puteri Silantoria si pengkhianat dan sepupu kepada Puteri Lineray. Tok masih ingat, kedatangan Ratu Viloreq itu ada kaitannya dengan rancangan Zelos yang mahu membunuh Tok dan Nilsa hari ini. Ratu Viloreq mengatakan bahawa, Nilsa anak murid terakhir Tok selepas Liu mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Dia dilahirkan ke dunia untuk menghapus kuasa kegelapan yang sudah bermaharajalela di dunia ini. Tok diamanahkan untuk menjaga dia dan cari seorang lagi manusia yang sama mempunyai kuasa yang tidak terbatas seperti Nilsa. Katanya lagi, jika Nilsa dan seorang lagi manusia terpilih itu bersatu, maka terjadilah gabungan kuasa yang sangat hebat. Demi kemakmuran dan kedamaian dunia, Tok perlu melindungi dia dan cari seorang lagi yang mempunyai kuasa itu. Mereka perlu bersatu untuk menghapuskan kejahatan." terang Cassius dengan panjang lebar.
"Maknanya, Zelos juga sudah tahu akan hal itu dan mahu membunuh dia sekali?" soal Han yang bergelar sebagai Pak Cik Ketujuh itu. Cassius mengangguk. Dia pusing ke belakang dan lihat ke arah Han. Dia menghembus nafas lalu mula bercakap lagi.
"Satu hal lagi yang kamu perlu tahu. Nilsa itu anak kepada Jiahao dan Yuyi. Manusia terpilih yang dilahirkan ke dunia untuk menghentikan kekejaman Zelos. Seorang lagi manusia terpilih itu adalah... anak kamu sendiri Han. Anak kamu juga adalah manusia terpilih itu. Ratu Viloreq mengatakan anak kamu masih hidup tapi Tok tidak tahu di mana dia sekarang."
Kata-kata Cassius mengejutkan semua orang. Lebih terkejut lagi adalah Han sendiri. Berita yang didengarnya daripada mulut Cassius membuatkan dia menahan sebak. Anaknya masih hidup. Setelah 15 tahun berlalu, baru dia tahu anak dia masih hidup. Malangnya, Cassius tidak mengetahui siapakah anak Han itu. Yang dia jumpa dan kenal sampai sekarang adalah anak kepada bekas anak muridnya iaitu Jiahao dan Yuyi iaitu Nilsa.
______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Collaboration Story By Yna & Ema
YOU ARE READING
Memoria [Sahabat Yang Hilang]
FantasyNilsa bertemu dengan Griselda ketika mereka berusia 5 tahun. Mereka mula menjadi sahabat akrab pada usia yang terlalu muda. Griselda yang mempunyai kebolehan istimewa itu hanya diketahui oleh Nilsa dan menyimpan rahsia itu. Ditakdirkan pada suatu ha...